Menengking, mengherdik dan menjerit mahupun memukul anak sehingga membawa kecederaan dan menggugat emosi mereka, bukanlah cara bagi menangani anak yang bermasalah.
Sekalipun anak berkenaan degil, tidak dengar cakap, lasak dan sebagainya, ibu bapa perlulah mempunyai kesabaran yang tinggi untuk mendidik, mengubah tingkah laku serta membentuknya ke arah lebih baik.
Dalam dunia moden hari ini, cabaran kehidupan semakin banyak. Ibu bapa sepatutnya mempunyai kemahiran dan pengetahuan keibubapaan. Ini penting, terutama dalam memahami emosi anak dan juga diri sendiri. Malah, kemahiran dan pengetahuan sedia ada wajar dipupuk dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Begitu juga kekuatan dan pegangan agama perlu ada dalam setiap diri manusia.
Cabaran ibu bapa pada hari ini tidak sama dengan zaman dulu. Tekanan dialami bukan saja di persekitaran tempat tinggal tetapi di tempat kerja dan diluar yang membabitkan banyak perkara termasuk tekanan ekonomi, kerja serta banyak lagi. Kita seharusnya kembali dan mempunyai kesedaran serta pegangan kepada agama dalam diri agar masalah dapat ditangani dengan baik.
Anak atau zuriat yang dikurniakan Allah adalah amanah, rezeki dan tanggungjawab yang berterusan yang harus digalas oleh semua ibu bapa. Dalam setiap tindakan atau perbuatan kita perlu dilakukan dengan waras dan berfikiran positif. Tindakan memarahi dan memukul anak biasanya bertujuan untuk mendidik, tetapi sebelum bertindak seharusnya rasional dan fikirkan dulu kesan serta akibatnya. Anak sepatutnya dididik dengan baik dan dikasihi.
Allah memberikan kita rezeki mendapat anak sedangkan masih terdapat orang lain yang merasakan kegetiran dan kekosongan tidak dikurniakan zuriat. Kita mesti bersyukur dan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya mendidik anak yang dikurniakan itu.
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.