29 April 2008

PILIHLAH YANG TERBAIK

United Malays Nation Organisation ( UMNO ).

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu pada 11 Mei, 1946. UMNO melaungkan:- Hidup Melayu - Bersatu Padu, dan Selamatkan Sultan. Penubuhan UMNO, dengan Dato' Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju. Semenjak daripada awal penubuhannya UMNO telah menjadi parti yang dominan dalam Barisan Nasional yang telah memerintah tanah melayu dan seterusnya Malaysia.

Parti Islam Se-Malaysia ( PAS ).

PARTI lslam Se-Malaysia atau ringkasnya disebut PAS adalah sebuah parti politik yang diluluskan pendaftarannya pada 31hb. Mei 1955 dengan Registration No. 733 (Penang). Pada awalnya ia didaftarkan atas nama Persatuan lslam Se-Malaya dengan rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52. Matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara. Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:
PERTAMA :
Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.
KEDUA : Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA : Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT : Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Parti Keadilan Nasional merupakan sebuah parti politik Malaysia yang lahir daripada gelombang Reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO pada September 1998. Sekumpulan NGO dan parti pembangkang kemudian menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Pendokong reformasi kemudiannya menubuhkan Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) untuk memberi platform kepada perjuangan mereka. Usaha untuk menubuhkan parti politik menghadapi jalan buntu disebabkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Maka gerakan Reformasi mengambil keputusan untuk mengambil alih sebuah parti sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990. Pelancaran Parti Keadilan Nasional diadakan pada 4 April 1999. Pada bulan Februari 2003, Keadilan telah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan mengambil nama seperti sekarang iaitu Parti Keadilan Rakyat. Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti politik yang berjuang membentuk sebuah masyarakat yang adil dan negara yang demokratik, progresif dan bersatu-padu kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa ataupun agama.

Pandangan Ringkas :

UMNO, PAS dan PKR merupakan 3 parti yang dipimpin oleh orang melayu. Kita semua sedar bahawa pilihan yang ada hanya tiga. Maka, yang manakah merupakan pilihan yang terbaik. UMNO merupakan parti yang paling lama ditubuhkan, telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Walaubagaimanapun, tempoh pemerintahan yang terlalu lam menyebabkan perjuangannya mula dipertikaikan. Pelbagai isu dikaitkan seperti kronisme, rasuah dan pelbagai lagi, yang sedikit sebanyak menyebabkan masyarakat tidak suka dengan UMNO. Yang pasti keahlian UMNO adalah 100% melayu. Kalau kita memandang kehadapan, 10 - 20 tahun lagi pemimpin UMNO akan kekal dikalangan orang melayu.

PAS pula merupakan parti yang berteraskan Agama Islam. Cakap - cakap kosong mengatakan kalau nak masuk PAS, kena pandai membaca doa, mengaji dan mengimamkan solat jemaah. Satu pandangan yang sungguh bagus dalam masyarakat islam sejati. Sekurang- kurangnya penyokong PAS perlu mempunyai pegangan agama yang kuat. Keahlian PAS sudah tentu dikalangan orang yang beragama Islam, dan dalam konteks Malaysia, Orang Melayu adalah Islam dan Orang Islam adalah Melayu. Kalau kita memandang ke hadapan juga, 10 - 20 tahun lagi pemimpin PAS akan kekal di kalangan orang Melayu.

PKR pula parti yang lahir daripada pemecatan seorang bekas pemimpin kanan kerajaan. Parti ini sentiasa mencari tapak untuk memperjuangkan nasib rakyat. Kalau ditanya kepada masyarakat umum, banyak yang tak jelas dengan perjuangan PKR. Ramai yang berpendapat kepimpinan PKR pada hari ini adalah lahir daripada pemimpin yang pernah dikecewakan, samada dari kelompok parti lain atau NGO lain. Keahlian PKR pula adalah terbuka kepada semua rakyat malaysia, melayu, cina dan india. Kalau kita memandang ke hadapan, 10 - 20 tahun lagi kepimpinan PKR mungkin akan kekal ditangan orang melayu, tetapi peluang untuk bertukar tangan kepada orang cina atau orang india terbuka luas.

Marilah kita semua berfikir, yang mana satukah yang lebih baik bagi memimpin orang melayu. Sebagusnya, kalau kita marahkan UMNO, pilihan yang terbaik adalah PAS, PKR bukanlah pilihan yang terbaik, persaingan antara kaum akan berlaku dalam PKR.
Marilah kita berfikir agar nasib orang melayu 10 - 20 tahun tetap terbela di bumi Malaysia tercinta.

23 April 2008

Permulaan Ke Arah Yang Satu.

Blog dilihat telah membuka mata banyak pihak, samada pihak pemerintah ataupun pihak yang mahu memerintah. Pencetus revolusiblog mempunyai daya pemikiran yang jauh ke hadapan. Aku turut terpanggil untuk menceburi arena blogger ini dengan harapan dapat meningkatkan pengetahuan dan memahami nikmat sebenar sebagai seorang blogger.

Revolusi Politik melalui BLOG.

PRU 12 telah memperlihatkan, beberapa juara blog mampu keluar sebagai wakil rakyat, tak kira la dari parti mana, yang memerintah atau yang mahu memerintah. Situasi ini menggambarkan pengaruhnya ke dalam diri masyarakat. Tetapi adakah ianya benar - benar mempengaruhi masyarakat pada hari ini. Untuk itu, kita akan melihat perkara ini mulai saat ini hingga ke masa - masa mendatang.

Industri Hiburan di Malaysia dalam keadaan tenat.

Adakah kenyataan ini benar. Tiada fakta yang dapat menyokong, cuma berdasarkan pemerhatian ianya benar. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, hanya berapa album baru yang dikeluarkan. Bilangannya amat menyedihkan. Kenapa ini berlaku ? Adakah artis kita sudah ketandusan idea, tiada duit untuk buat album dan seribu satu alasan boleh kita berikan. Masyarakat Malaysia pada hari ini juga sudah tidak hairan ini. Banyak hiburan alternatif yang boleh diterima. Stesen radio swasta yang tumbuh bagaikan cendawan menyebabkan kita tak perlu membeli kaset atau CD untuk mendengar lagu - lagu baru yang keluar daripada pasaran. Cukup sekadar kita memilih radio swasta yang mampu menghiburkan. Mungkin juga terlalu banyak konsert terbuka secara percuma seperti jom heboh, konsert gegar, hot FM big jam. Maka kita tak perlu terkejar - kejar untuk menunggu album baru keluar.