25 March 2011

PENGURUSAN BANJIR


Perubahan iklim, pembangunan pesat dan kehilangan kawasan hutan antara punca negara mengalami banjir yang ekstrem kebelakangan ini. Banyak pihak berpendapat banjir tidak boleh dibasmi, hanya boleh dikawal. Sejauh mana kecanggihan teknologi, mustahil untuk memastikan dengan tepat bila banjir akan berlaku.

Pada masa sekarang apa yang ada, dengan menggunakan model kebarangkalian berdasarkan pergerakan awan atau taburan hujan untuk membuat ramalan kejadian banjir.

Bagi menghadapi kemungkinan bencana alam ini, negara kita mempunyai sistem kawalan banjir dalam bentuk berstruktur dan bukan berstruktur. Kawalan berstruktur membabitkan binaan termasuk empangan, benteng, rumah pam, pintu air dan pembetungan. Sistem amaran banjir ialah contoh kawalan bukan berstruktur membabitkan pemasangan sensor di kawasan berhampiran sungai bagi memastikan paras air tidak melebihi tahap bahaya kepada penduduk.

Langkah kawalan sedia ada boleh ditingkatkan keberkesanan dengan memanfaatkan teknologi. Sistem amaran awal ialah satu cara mengesan banjir dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini, sekali gus langkah pertama ke arah usaha menangani bencana itu. Paling mudah ialah menggunakan telefon bimbit yang dimiliki hampir semua orang. Kita boleh gunakan alat telekomunikasi itu untuk menyebarkan maklumat dan amaran banjir dengan lebih berkesan dan segera.

Contohnya, apabila paras air sungai meningkat kepada paras bahaya, amaran yang terhasil daripada sensor disalurkan kepada satu stesen dan seterusnya ia disebarkan kepada pengendali telekomunikasi untuk menyebarkan maklumat itu kepada pengguna talian berhampiran.

Menerusi penyebaran ini, masyarakat lebih bersiap sedia untuk berpindah. Sistem ini juga membantu melicinkan pergerakan pengurusan kawalan banjir di sesebuah kawasan membabitkan penggemblengan kerjasama semua pihak.

Permukaan boleh resap air semakin berkurangan akibat pembangunan pesat apabila banyak kawasan lapang dijadikan tapak membina bangunan atau dijadikan jalan raya. Akibatnya, apabila hujan lebat, air tidak meresap ke dalam tanah, sebaliknya terus ke sungai dan membuatkan banjir berlaku dengan segera.

Bagi menggantikan kawasan telap air yang semakin berkurangan itu, penggunaan tangki terbuka yang diletakkan di atas bangunan komersial mahupun kediaman untuk menakung air. Dengan meletakkan tangki di atas bangunan, jumlah air hujan yang mengalir terus ke sistem saliran dapat dikurangkan dan melengahkan masa berlaku banjir atau mungkin mencegahnya.

Air hujan yang tidak dirawat ini akan mengalir ke saluran paip yang berbeza dengan saluran air dirawat untuk dikhususkan bagi kegunaan tertentu sahaja seperti mencuci kereta atau berkebun. Ini kerana secara purata kegunaan air domestik untuk memasak atau minuman hanya 20%, manakala 80% untuk tujuan lain seperti di bilik air dan membasuh pakaian.

Menggunakan kaedah ini kos merawat air dapat dikurangkan dan dapat memastikan pengurusan air lebih optimum berbanding statistik ketika ini yang menunjukkan taburan hujan yang tinggi tetapi hanya 10% daripadanya dimanfaatkan sebaiknya.

Walau secanggih mana teknologi yang kita bangunkan bagi mengawal banjir tidak akan bermakna jika tiada kesedaran mengenai kepentingan menghargai sumber bekalan air yang begitu kaya di negara ini.

Aspek pendidikan perlu dititikberatkan dalam usaha membudayakan pengurusan air berkesan dalam kalangan masyarakat negara ini terutama generasi muda. Peranan menguruskan air membabitkan kepakaran semua bidang termasuk jurutera , pendidik, peguam dan ahli sains.

Pengurusan air juga seharusnya di bawah kerajaan pusat kerana dikhuatiri menimbulkan kerumitan untuk diselaraskan terutama apabila membabitkan pentadbir yang berbeza dari segi ideologi politik.

No comments:

Post a Comment

Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.