09 July 2012

WANG PERLU DIURUS



Setiap hari kita memerlukan wang. Untuk mendapatkan wang, kita perlu bekerja tidak kira sama ada kerja makan gaji, berniaga, mengambil upah atau melakukan pelbagai bentuk pekerjaaan yang lain. Semua pekerjaan ini dilaksanakan dengan tujuan untuk mendapatkan wang. 

Hakikatnya, kita menggunakan wang setiap hari, tetapi kebanyakkan kita akan mendapat wang secara bulanan kecuali sebilangan kecil yang mendapat wang setiap hari seperti peniaga. Disini perlunya kita menguruskan wang supaya wang yang diperolehi untuk satu bulan, dibahagikan penggunaannya untuk perbelanjaan setiap hari, dan juga untuk pembelian barang yang mahal seperti rumah dan kenderaan.

Pepatah melayu 'ukur baju dibadan sendiri', boleh kita praktiskan dalam kita mengurus wang. Selalunya bila kita dapat gaji, kita sentiasa berangan-angan untuk membeli segala macam keperluan tak kira makanan dan pakaian. Sepatutnya, kita perlu meletakkan keutamaan dalam menentukan perbelanjaan kita, tentukan jenis barang yang hendak dibeli dan kos yang perlu dibelanjakan.

Berbelanja melebihi kemampuan sebenarnya mengundang masalah dan boleh membawa kemurungan kepada kita. Ini selalu terjadi bila kita membeli mengikut hawa nafsu, tanpa perancangan. Pada peringkat awal, membeli barang adalah satu terapi yang baik kepada minda, tetapi ianya akan memberi tekanan jika kita kehabisan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup seperti membeli makanan dan lain-lain barang keperluan.

Ramai dikalangan kita suka menyebut 'kita kena merancang perbelanjaan', tetapi hakikatnya berapa ramai yang benar-benar merancang perbelanjaannya. Aku sendiri suka merancang tetapi perancangan aku hanya tersimpan di minda sahaja. Sebaiknya ianya perlu ditulis, sebab perancangan diminda mudah untuk diubah.

Dalam menguruskan wang, aku akan pastikan setiap gaji akan mempunyai baki untuk simpanan sehinggalah mendapat gaji bagi bulan seterusnya. Untuk aku, ianya berhasil setakat ini tetapi bagi mengelakkan kita terpakai duit tersebut, pindahkan ke dalam satu akaun simpanan yang lain.

Kesimpulanya, kita perlu menguruskan wang melalui pendapatan kita. Menguruskan wang bukan bermakna kita kedekut sampaikan nak beli susu anak pun berkira, tetapi kita perlu mengetahui dan menyenaraikan keutamaan perbelanjaan kita. 

1 comment:

  1. praktis = amalan
    praktiskan = amalkan
    minda = fikiran

    he he

    ReplyDelete

Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.