22 February 2011

Senaman Baik Untuk Kesihatan

Kecergasan adalah keadaan seseorang mempunyai keupayaan untuk melakukan kerja hariannya dengan penggunaan tenaga minimum tanpa rasa lesu serta mempunyai lebihan tenaga bagi kegiatan riadah dan kecemasan umpamanya mampu lari jika dikejar anjing. Ia turut merangkumi aspek fizikal, mental, emosi, sosial dan kerohanian. Pendek kata, cara terbaik bagi menilai seseorang cergas atau tidak, jika seseorang bekerja lemah serta tidak mampu melakukan kerja lain, ini bermakna beliau tidak cergas.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan tahap kecergasan seseorang, senaman yang betul diperlukan, selain mampu mengelakkan perkara yang tidak diingini akibat senaman yang tidak sesuai. Senaman bukan sekadar membabitkan fizikal tetapi yang penting ialah emosi. Lazimnya, apa yang dikatakan senaman yang baik ialah apabila kita berupaya melakukan senaman dengan rasa seronok dalam tempoh 20 minit tanpa berhenti. Melakukan kerja rumah seperti membasuh baju, pinggan mangkuk dan mengemas rumah tidak boleh dijadikan kayu pengukur menentukan kegiatan berkesan dari segi kecergasan kerana biasanya ia tidak dilakukan secara berterusan selama 20 minit.

Lima komponen yang termasuk dalam kecergasan iaitu daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, kelembutan dan komposisi badan. Kelima-lima komponen perlu diimbangi bagi mendapatkan badan cergas. Selain itu, simpanan lemak dalam badan seseorang turut mempengaruhi kadar kecergasan setiap induvidu.

Di negara maju, kemudahan untuk senaman seperti laluan berjoging, alat bantuan senaman seperti basikal disediakan di tempat tumpuan awam termasuk kawasan perumahan, sekolah dan kawasan lapang. Ini antara langkah mempromosikan cara hidup sihat dikalangan masyarakat.

Di negara ini, kerajaan mengambil usaha berterusan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui kecergasan. Ini termasuk mengadakan kempen kesedaran mengenai pentingnya kecergasan terhadap manusia melalui media dan program kecergasan secara berterusan seperti program senamrobik hujung minggu di tempat tumpuan masyarakat oleh beberapa pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, kemudahan beriadah turut disediakan PBT atau pemaju perumahan terutama dikawasan perumahan baru. Misalnya, Pusat Pentadbiran Putrajaya adalah contoh kawasan penempatan yang menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai diguna bagi meningkatkan kecergasan penduduk di kawasan berkenaan. Antara kemudahan yang disediakan ialah laluan berjoging dan gimnasium.

Bagaimanapun, pelbagai kemudahan beriadah yang disediakan mungkin akan gagal memenuhi fungsinya jika masyarakat masih enggan menggunakannya dengan sebaik mungkin. Mungkin ramai yang beranggapan lebih baik berehat atau tidur atau berdiam diri tanpa melakukan apa-apa yang boleh mengeluarkan peluh. Hakikatnya badan yang cergas mampu menghindarkan pelbagai penyakit sekali gus mengurangkan kos perkhidmatan kesihatan.

No comments:

Post a Comment

Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.