10 February 2011

FAHAMI SURAT PERJANJIAN JUAL BELI RUMAH

Surat Perjanjian Jual Beli (S&P) adalah dokumen perundangan yang dimeterai dan dipersetujui kedua-dua pihak iaitu pembeli dan pemaju. S&P adalah seragam dan setiap pemaju dikehendaki mematuhinya. Ini selaras Peraturan 11 Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan & Perlesenan) 1989. Sekiranya pemaju tidak mematuhinya, ia adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan denda sebanyak RM 5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Perkara penting dalam S&P yang perlu dititikberatkan oleh pembeli ialah ‘preamble’ syarat tanah dan bebanan harga dan jadual bayaran pinjaman.


PREAMBLE PEMAJU MENCATATKAN
No. lesen pemaju perumahan, No. Permit Iklan dan Juala Perihal hak milik PT No, Bahagian, mukim, daerah, negeri dan keluasan. Nama Pemaju dan alamat keluasan lot yang dijual.
SYARAT TANAH DAN BEBANAN
Pemaju bersetuju menjual harta berkenaan bebas daripada apa-apa bebanan seperti syarat pertanian, perindustrian atau bangunan. Justeru, pembeli perlu memastikan harta (status tanah) itu ditukar kepada kategori perumahan serta bebas daripada syarat nyata atau tersirat atau sekatan pada tarikh S&P ditandatangani.

Selain itu, pemaju tidak boleh mengenakan apa-apa bebanan terhadap tanah berkenaan selepas tarikh penyempurnaan S&P tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada pembeli. Dengan kata lain, pemaju mengaku janji bahawa harta itu bebas daripada bebanan sebelum penyerahan pemilikan kosong bangunan tersebut kepada pembeli.

HARGA DAN JADUAL BAYARAN
Harga jualan dicatatkan dalam S&P dan jadual bayaran kemajuan ditetapkan dalam Jadual Ketiga S&P. Jadual pembayaran pembeli kepada pemaju adalah seperti 10 peratus daripada harga rumah perlu dibayar selepas selesai S&P ditandatangani.

Apabila menerima notis bertulis daripada pemaju bersama surat pengesahan arkitek, pembeli (dalam tempoh 14 hari ) perlu membayar peringkat berikut :

Sebanyak 10% apabila kerja menanam cerucuk dan kerja asas;
10% apabila rangka konkrit bertetulang dan kepingan lantai dipasang;
10% apabila dinding beserta rangka pintu dan tingkap terpasang di tempatnya.
Bayaran 10% juga perlu dibuat apabila kerja memasang bumbung/siling siap, pendawaian elektrik, saluran paip (tanpa lengkapan), paip gas (jika ada) dan penyaluran serta pengkabelan telefon dalam (jika ada) dipasang.
Bayaran 15 peratus pula apabila kerja melepa dalam dan luar siap,
15% apabila jalan, parit dan kerja saluran pembetungan siap,
15% semasa penyerahan pemilikan kosong. (5% akan dipegang oleh peguamcara penjual sebagai pemegang tangan untuk bayaran kepada penjual, 2.5% daripadanya akan dibayar setelah tamat tempoh 6 bulan selepas pemilikan kosong dan 2.5% lagi dibayar setelah tampat tempoh 18 bulan selepas penyerahan pemilikan kosong).

PINJAMAN UNTUK MEMBELI HARTA/RUMAH
Bagi pembeli bukan kakitangan awam, sekiranya berhasrat memperoleh pinjaman bagi membiayai pembelian rumah yang diuruskan oleh pihak pemaju, pembeli hendaklah dalam tempoh 14 hari selepas menerima salinan surat perjanjian yang bersetem membuat permohonan bertulis kepada pemaju.

Pemaju hendaklah sedaya upayanya berusaha memperoleh pinjaman bagi pembeli daripada bank, syarikat kewangan, persatuan pembinaan atau institusi kewangan.
Jika pinjaman itu diperoleh, pembeli hendaklah dalam tempoh munasabah menyempurnakan semua borang dan dokumen yang perlu dan membayar semua yuran, kos guaman dan cukai setem yang berkaitan.

Jika pembeli gagal setuju menerima pinjaman atau ingkar mematuhi kehendak yang perlu atau hilang kelayakan yang mengakibatkan pinjaman ditarik balik oleh pembiaya mengikut masa berkenaan, pembeli tetap bertanggungjawab membayar kepada pemaju semua harga beli atau mana bahagian yang masih belum dijelaskan.

Sekiranya pemaju tidak berjaya memperolehi pinjaman bagi pembeli, pemaju hendaklah memberitahu pembeli dalam masa 14 hari selepas penerimaan pemberitahuan penolakan pinjaman tersebut. Pemaju tidak akan bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku kepada pembeli dan kegagalan memperolehi pinjaman tidak boleh dijadikan alasan untuk lewat membayar ansuran harga beli pada tarikh yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga.

Bagi kakitangan awam, yang berhasrat untuk memperoleh pinjaman kerajaan hendaklah dalam tempoh 14 hari selepas penerimaan salinan surat perjanjian yang bersetem, memberitahu pemaju secara bertulis mengenainya dan pembeli hendak melakukan segala tindakan dan perkara yang perlu bagi mendapat pinjaman itu. Sekiranya pembeli gagal mendapat pinjaman, pembeli tetap bertanggungjawab membayar harga beli atau mana-mana bahagiannya yang pada masa itu belum dijelaskan.

No comments:

Post a Comment

Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.