02 December 2010

KIAMAT ITU PASTI

  1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikatyang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
  2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNyasebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
  3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
  4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
  5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
  6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
  7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
  8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
  9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit- bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
  10. Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
  11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
    ⅰ - Pemimpin yang adil.
    ⅱ - Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
    ⅲ - Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
    ⅳ - Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
    ⅴ - Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
    ⅵ - Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
    ⅶ - Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
  12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
  13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.
  14. 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
  15. Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
  16. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.
  17. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
  18. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
  19. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
  20. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
  21. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
  22. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
  23. Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
    1. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
    2. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
    3. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
    (Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
  24. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
  25. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
  26. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
  27. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka. Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
    “Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. “ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
    ① Sedekah/amal jariahnya.
    ② Doa anak²nya yang soleh.
    ③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

25 November 2010

Sijil Halal


... nie satu lagi masalah yang selalu kita hadapi, penipuan sijil halal. tapi berapa ramai yang concern sangat dengan sijil halal... selalu bila kite nak pilih kedai makan, apa yang kite akan tengok? rasanya yg pertama, tengok nama kedai die,ader ciri-ciri kemelayuan atau keislaman tak..... pastu tgk pekerja die samada orang melayu ke, cina atau orang indon.... kite jugak tengok ramai orang ke tak, ader gak yang tengok kedai tu bersih atau tak....

jarang sangat yang akan tengok sijil halal kedai makan tu.. yg ori atau yg tiruan... tambah pulak bile kedai dapat recommendation dr ramai org.... yg baiknye, masak la kt umah, dah tentu yakin bab halal haram... leh jimat skit belanja... klu tak pun, pegi la makan kat kedai makan yang memang orang melayu islam yang punye... kedai2 mamak pun kite kena perati baik2 gak sebab depa dok main wayang... letak ayat2 suci semua tapi bukan islam.... fikirkanlah...

Laporan Akhbar

Restoran vegetarian tipu sijil halal

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerbu sebuah restoran berasaskan sayur-sayuran (vegetarian) kerana mengaburi mata pelanggan beragama Islam dengan menampal logo halal di premis mereka tanpa mendapatkan sijil halal sah di Jalan 8/1E di sini, semalam. Restoran itu didapati menggunakan bahan masakan dipercayai mengandungi alkohol bagaimanapun menampal logo halal bersaiz besar di pintu masuk hadapan premis terbabit bagi mengaburi mata pelanggan Islam. Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, berkata serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Shah Alam hasil aduan orang awam dan risikan. “Keadaan dalam premis itu tersusun, bagaimanapun hasil pemeriksaan di ruangan dapur, kami mendapati tukang masak lelaki warga Myanmar memasukkan cuka arak yang diragui penggunaannya ke dalam masakan yang disajikan,” katanya di sini, semalam.
[ Berita Harian : 25/11/2010 ]

24 November 2010

Bangunan Parlimen Malaysia Bocor

Bangunan Parlimen bocor ... pas nie ramai la yang akan kata ... nie kena report kt SPRM la.. ye la, baru je baiki, bocor lagi... apa punya kualiti pembaikan, sapa nak disalahkan, kontraktor atau penyelia kontraktor.... harap pas nie tak bocor lagi dah... Ye la, malu gak la.... Bangunan Parlimen nie jadi tumpuan dunia gak rasanye.... tah2 dah ader negara yang gelak... tgk kt Malaysia, tempat ahli parlimen bersidang pun buleh bocor, camaner nak bangunkan negara...


Laporan Akhbar

JKR sahkan bangunan Parlimen bocor akibat hujan lebat.


KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kebocoran di kafeteria Ahli Parlimen di bangunan Parlimen hari ini berpunca daripada hujan lebat dan bukannya kebocoran paip air. Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim berkata, laporan awal pegawai JKR di bangunan Parlimen mendapati kejadian tersebut berpunca daripada limpahan takungan air di salah sebuah pusat takungan utama air hujan di bangunan tersebut. "Ini bukannya kejadian bocor tetapi limpahan takungan air hujan berikutan hujan lebat sepanjang petang hari ini. "Bangunan Parlimen ini besar dan kawasan-kawasan tertentu dijadikan tapak pengumpulan air hujan. "Salah satu tapak pengumpulan di kawasan yang dikatakan bocor itu melimpah akibat jumlah air hujan yang terlalu banyak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah 'kebocoran' yang dikesan di kawasan kafeteria Ahli Parlimen hari ini. Kejadian sama turut dilaporkan berlaku pada 7 Mei 2008 apabila air mencurah-curah keluar daripada saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat yang berhadapan dengan bilik Yang Dipertua akibat hujan lebat. Pada 28 April 2005, masalah kebocoran bumbung di Parlimen berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang kecil iaitu penutup kabel elektrik (cable trunking) pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan. Judin berkata, kakitangan JKR telah mengambil tindakan segera mengalihkan dua paip saliran air hujan ke pusat pengumpulan air yang lain bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada langkah yang diambil mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah kebocoran yang berlaku atau cuma langkah penyelesaian sementara. "Saya masih menunggu laporan penuh daripada pegawai JKR yang bertugas. Mengenai langkah penyelesaian masalah bocor ini, kita sebenarnya mahu mengubah suai keseluruhan bangunan Parlimen tetapi sedang menanti kebenaran pihak berwajib," jelasnya. [ Utusan Malaysia 24 November 2010 ]

23 November 2010

RAHSIA KEKAYAAN APEK

Aku belum baca lagi buku nie... nanti nak pi cari kat kedai buku.... based on ulasan kat utusan nie macam best je untuk dibaca... nanti bila dah baca, aku akan buat ulasan. TQ

ULASAN
Buku ini membongkar kisah kehidupan seorang lelaki Cina tua yang lebih dikenali sebagai Apek. Kehidupan seorang Apek sentiasa meniti dari mulut ke mulut di kalangan masyarakat Malaysia. Apek mempunyai kehebatan tersendiri yang mempersonakan sesiapa sahaja yang mengenali mereka.

Meskipun kehidupan Apek sering diperkatakan, namun kisah kehidupan Apek begitu sukar didapati dalam bentuk pembacaan atau dengan erti kata lain dibukukan. Buku ini diolah dalam bentuk dialog perbualan dengan Apek sendiri. Ayat-ayat yang digunakan dalam buku ini berbentuk santai dan mudah difahami serta menarik minat sesiapa sahaja yang ingin mengetahui cara-cara bagaimana untuk mengurus kewangan peribadi secara berhemah.
Amalan-amalan seharian Apek dikupas khas untuk tatapan pembaca. Melalui buku ini, pembaca akan dibawa untuk menyelami kehidupan Apek yang mementingkan kehidupan bersederhana sehingga menjadikannya seorang yang kaya raya.

Kehidupan yang kaya raya tidak menjadikan Apek bermewah-mewah dalam berbelanja tetapi menyedarkannya lagi untuk hidup lebih bersederhana. Dengan kekayaan yang ada, Apek mampu memiliki apa sahaja, tetapi beliau lebih mengemari dan memilih kehidupan bersederhana. Jarang sekali kita lihat orang yang kaya raya menjalani kehidupan yang sederhana tanpa bermewah-mewah. Inilah keistimewaan Apek yang mengatur kehidupannya mengikut keutamaan bukannya mengikut hawa nafsu dalam berbelanja. Pelbagai teknik untuk mengurus kewangan peribadi dinyatakan dengan jelas dan lebih praktikal berbanding sekadar menyatakan secara teoritikal yang mungkin mudah untuk didengar tetapi sukar untuk diamalkan.

Sinonim dengan amalan kehidupan bersederhana, teknik-teknik mengurus kewangan peribadi yang diamalkan oleh Apek menjadi antara kekuatan utama buku ini. Buku ini juga menyingkap sikap terlalu mahu cepat kaya di kalangan masyarakat kita sehingga terjebak dengan pelbagai skim penipuan kewangan. Bersama-sama dengan teknik-teknik mengurus kewangan peribadi secara berhemah, buku ini juga memperkatakan skim cepat kaya dan pelbagai teknik penipuan kewangan.

Tidak lengkap bagi sesebuah buku motivasi kewangan jika tidak membincangkan strategi-strategi pelaburan dan kewangan. Ini kerana strategi-strategi pelaburan dan kewangan yang tepat akan memberi kita kelebihan untuk meningkatkan pendapatan kita. Kita sering kali mengeluh tidak cukup wang, namun kita tidak sedaya upaya untuk memahami strategi-strategi pelaburan dan kewangan. Ilmu kewangan merupakan satu seni dalam kehidupan. Ia mustahil dapat diamalkan tanpa adanya pengetahuan yang mendalam mengenainya. Pengetahuan inilah akan membantu kita menggunakan strategi-strategi pelaburan dan kewangan yang tepat dalam menggandakan wang. Ia memerlukan usaha dan juga ilmu pengetahuan.

Buku ini amat sesuai untuk generasi muda yang masih terkapai-kapai dalam mengurus kewangan peribadi mereka. Menurut rekod Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005-2010 (selama lima tahun) sebanyak 83,389 kes kemuflisan dan 1,046 kes daripadanya melibatkan golongan muda berusia bawah 25 tahun.

Berdasarkan jumlah kemuflisan ini, masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda tidak boleh tidak, wajib mempelajari dan mendalami ilmu mengurus kewangan peribadi. Dengan cara mendalaminya, barulah mereka dapat mengurus kewangan secara mantap dan seterusnya mengecapi kebebasan kewangan yang diidam-idamkan oleh sesiapa sahaja.
Di samping Rahsia Kekayaan Apek berorientasikan pengurusan kewangan peribadi, rahsia perniagaan yang diamalkan oleh Apek juga dibincangkan dalam buku ini. Amalan-amalan inilah yang menjadikan perniagaan Apek berkembang maju sehingga dapat diwariskan untuk anak-anaknya.

Bukan sekadar berniaga untuk sesuap nasi, sifat keusahawanan Apek berorientasikan masa hadapan menjadi kekuatan kepada perniagaannya untuk berkembang maju. Penat- lelah beliau akhirnya terbalas apabila mempunyai sebuah perniagaan yang berdaya maju dan dikenali ramai.

Buku ini patut dibaca oleh sesiapa sahaja tidak kira sama ada ahli perniagaan mahupun bekerja makan gaji. Secara keseluruhannya, buku ini merupakan satu keperluan untuk semua lapisan masyarakat yang berkeinginan besar untuk keluar daripada belenggu kewangan peribadi dan mencapai kebebasan kewangan.

[Sumber Utusan Malaysia : 1 November 2010 ]

22 November 2010

Garam dan Kehidupan


Banyak ayat-ayat Al-Quran menyebut bahawa semua kejadian di muka bumi ini adalah untuk manfaat atau kegunaan manusia sejagat. Hadis Nabi Muhamad S.A.W menyebut GARAM adalah penghulu segala masakan/makan manusia. Makanan yang paling simple seperti ubi rebus dan jagung rebus akan dibubuh garam dan tidak benda-benda lain sehinggakan makanan/masakan yang mahal pun kena bubuh garam untuk menambah rasa/selera. Manusia dijadikan dari 4 unsur [ Tanah, Air, Api dan Angin ]. Garam datang dari unsur Tanah. Garam berasal dari laut dan dari bukit.

Antara kegunaan garam….
- pengawet ikan supaya tidak busuk.
- menghilangkan tahi kerang dengan merendam kerang ke dalam air garam sebelum merebusnya/masak.
- Kurangkan kemasinan ikan kering dengan merendamnya ke dalam air garam sebelum di masak.
- Mengurangkan pahit buah peria dengan merendamkan ke dalam air garam.

Kegunaan garam dalam perubatan Islam.

Garam yang berlebihan di dalam badan kita adalah dari makanan yang berlebihan dan akan tersimpan di dalam badan, maka jadi lah darah tinggi...kenapa jadi gitu.... kerana nafsu makan, balun apa saja. Dalam kitab perubatan Islam, untuk penyakit dari laut maka untuk keluarkannya dari badan/merawatnya dari laut juga iaitu menggunakan air garam. Antaranya:

1. Penyakit Gaut – timbus anggota badan atau bahagian yang bengkak dengan pasir laut ( tepi pantai ) 1 – 2 jam kemudian mandi air laut.
2. Kalau duduk bandar macam KL mana ada pantai… goreng 1 – 2 genggam garam kasar sampai kekuningan kemudian demah/tuam/tungku di bahagian yang bengkak atau sakit. Garam tu bungkus lah dengan kain.
3. Guna cara yang sama seperti di atas untuk penyakit lenguh-lenguh sendi, sakit kepala, senggugut. Kalu sakit lelah demah/tuam tapak kaki.
4. Elak mabuk semasa perjalanan dengan meminum madu dan secubit garam atau air suam dan secubit garam sebelum memulakan perjalanan
5. Mengembalikan tenaga untuk orang yang bekerja berat eg bertani, bersukan dll - minum air suam dan sedikit garam.
6. Cuci perut : minum air suam dan satu butir garam kasar sebelah pagi.

Rasulullah setiap kali mengembara akan memamah sedikit garam sebelum mengambil makanan atau minuman. Ini bertujuan untuk menstabilkan badan, meningkatkan ketahanan/imun badan kerana setiap bumi/ tempat mempunyai udara, magnetik dan hawa yang berlainan. Dalam kitab perubatan Islam ada menyebut ia dapat mengembalikan tenaga yang hilang semasa perjalanan. Cara Rasulullah ini telah menjadi amalan oleh pengembara/penuntut ilmu atau sesiapa sahaja yang bermusafir. Selain dari itu garam juga digunakan sebagai pagar dari gangguan jin/makhluk halus.

1. Anak yang selalu mengigau, ambil segenggam garam kasar diletakkan di dalam piring kemudian diletakkan di sebelah atas kepala anak tersebut semasa tidurnya. Insyallah tidak mengigau lagi.
2. Tabur garam di tempat tidur bagi mereka yang suka berkelah di hutan/pantai. Elakkan dari tidur di atas tanah/bumi, sebaiknya lapik dengan benda/kain tebal kerana udara yang keluar dari bumi akan masuk ke liang roma bersama-sama jin.

Semoga dengan ilmu yang disampaikan ini dapat menjadi panduan dan diamalkan. Insyaallah semoga kita dirahmati oleh Allah.

16 July 2010

TV: Kiblat Kedua Masyarakat

TELEVISYEN (TV) dalam masyarakat hari ini bukan suatu perkara baru dan menjadi kemestian untuk setiap rumah memilikinya sekurang-kurangnya sebuah kerana ia digunakan bagi mengisi masa lapang, melepaskan tekanan dan penghubung yang mengeratkan seisi keluarga. Bagaimanapun fungsinya yang positif termasuk sebagai alat mendidik bertukar kepada yang membimbangkan apabila terlalu banyak program hiburan ditayangkan sehingga ada yang ketagihan jika tidak dapat menonton. Lebih menakutkan apabila ketagihan sedemikian membabitkan umat Islam kerana ada kalanya program ditayangkan pada waktu solat yang masanya tidak panjang, tetapi perhatian ditumpukan kepada program sehingga TV tampil sebagai kiblat kedua mereka.

TV merupakan satu bukti kecanggihan teknologi dan idea kreatif yang wujud dalam minda penciptanya. Bermula daripada satu bentuk reka cipta bagi memindahkan imej melalui visual, ia akhirnya memberi kesan mendalam kepada penonton apabila kewujudannya menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat. TV adalah ejen pembudayaan dan boleh diibaratkan sebagai ahli keluarga pada masa ini kerana diletakkan di tempat khusus dalam setiap rumah. Masyarakat yang bijak pasti dapat membahagikan masa antara waktu solat dan masa menonton.

Sebenarnya pemilik stesen TV hanya memanipulasi keadaan semasa mengikut apa yang menjadi pilihan dan kegemaran masyarakat. Kebanjiran program berunsur hiburan tidak kira masa di TV adalah disebabkan sikap masyarakat yang lebih cenderung kepada program sedemikian, lalu ia satu peluang perniagaan bagi pemilik stesen TV.


Ada pendapat mengatakan memang wajar jika TV digelar kiblat kedua masyarakat kerana boleh dibilang jumlah jemaah di masjid atau surau pada waktu Maghrib. Kita berpandangan sedemikian kerana melihatnya dari konsep ibadat. Mengapa siaran berita ditayangkan antara solat Maghrib dan Isyak sedangkan masanya boleh dianjak pada jam 9.30 malam atau 10 malam. Apabila berita ditayangkan pada jam 8 malam, jemaah akan pulang ke rumah untuk menonton siaran berita sebaik solat Maghrib hingga ada kalanya mereka tidak kembali ke masjid semula pada waktu Isyak Apabila TV sudah menjadi kiblat kedua kepada masyarakat, maka ia menyebabkan ‘lahirnya’ kelompok yang tidak mementingkan agama, malah ada yang datang lewat ke pejabat kerana berjaga lewat malam bagi menonton rancangan kegemaran mereka.


Terdapat cadangan agar kerajaan mencontohi Arab Saudi dari segi penyusunan program TV dengan memperbanyakkan program agama dan mengurangkan hiburan kerana pendekatan ini selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Program Imam Muda contohnya, satu ikon baru yang perlu menjadi budaya dalam masyarakat. Ada baiknya program Islami dan ilmiah diperbanyakkan agar minda rakyat Malaysia lebih terarah kepada kebaikan dan lebih bermotivasi berbanding ke arah melalaikan. Pemilik stesen TV juga perlu lebih bertanggungjawab dengan memperbanyakkan program berunsur pendidikan dan Islami kerana mampu memberi impak positif kepada jati diri masyarakat terutama kanak-kanak dan generasi muda. Ibu bapa juga perlu memantau apa yang ditonton anak mereka, terutama ketika mereka sedang meningkat remaja kerana pada usia sedemikian, mereka lebih mudah terpengaruh dengan persekitaran.

13 July 2010

FLORIA 2010

Disini aku nak berkongsi pic yg aku amik kat FLORIA 2010 yang aku pegi kat Putrajaya....