Bila anda hendak hidup berpasangan, pasti anda akan melalui proses dalam adat melayu seperti Merisik, Meminang, Bertunang dan Kahwin. Semasa melaksanakan proses ini, pastinya perlu dilantik seorang 'jurucakap' bagi mengadakan perbincangan dengan pihak yang satu lagi.
Alhamdulillah, aku telah berpengalaman menjadi jurucakap bagi urusan ini sebanyak dua kali. Entah la, aku berpendapat aku bukan orang yang sesuai untuk menjadi jurucakap bagi urusan ini, sebabnya masih ada orang tua yang sepatutnya mengambil tanggungjawab ini. Tetapi atas faktor tiada keyakinan, maka mereka telah meminta aku untuk mengambilalih tugas ini.
Kali pertama, aku menjadi jurucakap semasa urusan pertunangan adik lelaki aku. Jodohnya orang Melaka, memang rombongan keluarga kami di kalangan anak beranak sahaja. Yang menunggu di pihak perempuan, adalah ketua taman. Wah, walaupun agak berdebar tapi aku teruskan jua. Sebenarnya urusan ini lebih kepada perbincangan keluarga bagi mengesahkan perkara yang telah dibincangkan awal oleh pasangan yang hendak berkahwin. Proses ini selesai, dan berjalan dengan jayanya. Antara perkara yang dibincangkan adalah jumlah wang hantaran, tempoh pertunangan, bila hantaran perlu diserahkan dan syarat-syarat bila berlaku kemungkiran. Adik aku tu telah selamat berkahwin, dan dah ada baby pun.
Kali kedua, pertunangan anak saudara perempuan aku. Kali ini, urusan sebelah perempuan. Lagi berat aku rasakan, sebabnya kita secara tidak langsung sebagai tuan rumah. Tentulah kita yang kena mengalu-alukan kedatangan rombongan daripada pihak lelaki. Tapi seperti biasa, aku hanya membincangkan perkara-perkara yang telah dipersetujui oleh anak saudara aku dengan pasangannya. Cuma wakil kepada pihak lelaki, aku lihat seorang Tuan Haji yang sangat berpengalaman, tetapi kebetulan beliau adalah bapa kepada kawan. Kecilkan dunia ini. Proses ini jua telah aku lalui telah jayanya, hasil sokongan daripada sepupu aku yang jua telah mempunyai sedikit pengalaman. Hasilnya anak saudara aku selamat bertunang, moga mereka akan selamat berkahwin nanti.
Walaupun menjadi jurucakap nampak mudah, tetapi bagi kena pandai melihat keadaan. Nasib aku baik, sebabnya perbincangan lebih kepada untuk meneruskan proses ini, maknanya kedua-dua keluarga secara tidak rasmi telah bersetuju untuk menyatukan anak mereka.
Satu lagi, memang kerja menjadi jurucakap, kita akan mencari ahli keluarga yang paling tua. Sebab itu, dua-dua kali aku kena berurusan dengan orang yang lebih tua. Mungkin ianya nampak lebih afdal, tetapi tidak ada masalah jika diberikan kepada orang muda, asalkan pandai untuk menguruskan keadaan.
Bagi aku pengalaman bukan sesuatu yang boleh dijual beli, ianya perlu kita cari dan hadapi. Insyallah, jika niat kita betulkan, Allah akan permudahkan.
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.