14 December 2010

Berhati - Hati Dengan Interpretasi Globalisasi

  1. Dr Mahathir mengingatkan pemimpin negara supaya berhati-hati terhadap interpretasi globalisasi kerana ia adalah idea dicetuskan negara maju untuk melabur atau berdagang tanpa sebarang sekatan ke mana-mana negara.
  2. Dr Mahathir berkata, pemimpin negara perlu bijak, berfikiran kritis dan pantas bertindak balas terhadap sebarang perubahan interpretasi globalisasi yang mungkin dimanipulasi negara maju untuk menjajah negara sedang membangun.
  3. Katanya, apa yang penting dasar atau peraturan yang digubal kerajaan dalam era globalisasi perlu mengutamakan kepentingan negara dan rakyat supaya tidak menjejaskan usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.
  4. Ahli politik kita perlu lebih berhati-hati dalam menerima interpretasi globalisasi. Anda perlu ingat idea ini bukannya datang dari kita tetapi datang dari luar iaitu negara kaya. Apabila mereka (negara kaya) melontarkan idea globalisasi, mereka hanya fikir bagaimana ia akan menguntungkan mereka dan bukan memberi manfaat kepada kita. “Sebaliknya, kita perlu membuat interpretasi sendiri yang dapat menguntungkan kita dan tidak menerima bulat-bulat interpretasi yang dibuat mereka,” katanya.
  5. Dr Mahathir bagaimanapun berkata, kerajaan tidak boleh memisahkan negara dengan proses globalisasi jika mahu memastikan pertumbuhan ekonomi terus mantap iaitu sekitar tujuh atau lapan peratus setahun menjelang 2020.
  6. Katanya, globalisasi membantu Malaysia memperluaskan pasaran eksport terutama di negara sedang membangun di samping membantu meneroka pasaran baru. Beliau berkata, Malaysia perlu menggunakan globalisasi untuk membawa masuk lebih banyak teknologi tinggi baru yang dapat membantu negara mengeluarkan produk berkualiti tinggi untuk pasaran eksport.
  7. Dr Mahathir turut mengingatkan golongan muda supaya berpegang kuat kepada nilai murni dalam kepercayaan agama masing-masing bagi menghadapi ledakan globalisasi.

[ Dipetik dari Berita Harian - 14 Disember 2010 ]

No comments:

Post a Comment

Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.