Aku dibesarkan dalam sebuah keluarga yang hidup sederhana, makan dan minum semua cukup, cuma yang kurangnya dari segi wang atau duit. Kurang duit bukan la sesuatu yang isu besar kepada bapak dan mak aku. Bagi mereka, yang penting keperluan untuk makan, pakai dan tempat tinggal untuk anak-anaknya, sentiasa mencukupi.
Walaupun kurang duit, rasanya mak aku tak pernah gagal untuk memberikan duit belanja sekolah sebanyak 20 sen kepada aku setiap hari. Dan, aku ada menyimpan duit tersebut di dalam tabung buluh, yang dibuat sendiri. Dan akhirnya, hasil dari tabungan ini dicampur dengan duit raya, aku pun telah membuka Akaun Nuri, di Bank Rakyat.
Di waktu itu, aku tak pasti sama ada wujudnya kesedaran atau mungkin atas faktor tidak mampu, keluarga aku tak menyediakan apa-apa simpanan khas untuk anak-anaknya.
Berbeza dengan situasi pada hari ini, keperluan dan kempen kerajaan sering kita dengar supaya mak bapak hendaklah menyediakan tabungan atau simpanan khas untuk anak-anak mereka. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) merupakan contoh terbaik kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan. Bagi memastikan kejayaan SSPN ini, kerajaan telah memberikan pelepasan cukai mengikut kadar tertentu bagi yang menyimpan untuk anaknya dalam SSPN.
Bagi aku, ada 3 isu pokok berkaitan perkara ini, iaitu, satu, kesedaran ibu bapa dan kedua, keperluan untuk menyediakan, ketiga, kemampuan.
Ibu bapa tidaklah terikat untuk masuk dalam SSPN semata-mata, mungkin simpanan melalui Amanah Saham Didik atau menyertai program insuran yang mempunyai pelan simpanan untuk anak-anak.
Hakikatnya, kesedaran ini disokong dengan kemampuan, diikuti dengan keperluan. Suka atau tidak, ibu bapa pada hari ini perlu untuk mengambil langkah menyediakan tabungan untuk anaknya, khususnya untuk keperluan pendidikan.
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.