Stress atau tekanan boleh mendatangkan pelbagai masalah negatif kepada individu sama ada dari segi fizikal dan emosi. Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan boleh mengundang risiko kepada masalah mental seperti kegelisahan dan kemurungan. Memang sukar untuk mengelakkan punca stress secara menyeluruh, tetapi kita mampu berusaha menangani tanda awalnya dengan menjana sikap positif melalui minda dan emosi. Jadikanlah matlamat hidup kita untuk mencapai keseimbangan dan keharmonian hidup dunia dan akhirat. Luangkan masa yang mencukupi untuk kerjaya, perhubungan, kemesraan dan aktiviti santai yang merehatkan.
Berurut atau mengunjungi Spa bagi merehatkan minda dan badan untuk yang berkemampuan adalah antara cara menghilangkan stress. Dengan urutan yang betul ia mampu mengurangkan tekanan darah dan melegakan kekejangan otot, di samping bauan segar yang boleh merehatkan minda.
Bercuti juga mampu mengurangkan stress terutama di tempat kerja kerana ia membantu melupakan seketika masalah dan tekanan kerja. Bersantai di hujung minggu atau mengambil cuti ini boleh menenangkan fikiran. Cubalah terokai keindahan air terjun, pantai, tanah tinggi dan pulau di Malaysia yang menjanjikan ketenangan.
Bagi yang beragama Islam, membaca al-quran adalah terapi terbaik untuk membuatkan jiwa menjadi tenang selain menunaikan solat sunat.
Selain itu, tidur mencukupi juga perlu kerana tidur adalah elemen rehat paling penting untuk tubuh serta minda supaya dapat kembali bertenaga secara fizikal dan mental keesokan harinya. Mereka yang berdepan masalah ini dinasihatkan berkongsi suka duka masing-masing bersama seseorang yang memahami kerana stress mampu dikurangkan dengan cara itu dan sebarang masalah lebih mudah diselesaikan secara perbincangan atau menulisnya dalam diari atau blog.
Ada yang mengatakan membeli belah adalah satu terapi untuk mengurangkan stress. Tidak salah untuk mencuba kerana ia juga sedikit sebanyak mampu menjana ekonomi negara tetapi hendaklah berpada-pada supaya hutang tidak menimbun. Amalkan gaya hidup sihat seperti bersenam secara teratur dan elakkan pengambilan kafein serta alkohol secara berlebihan selain memilih pemakanan sihat dengan melebihkan bijiran, sayuran dan buah.
Lebih menjimatkan, jika anda mempunyai pengisar buah dan menggunakannya untuk menghasilkan jus buah atau sayur. Minumlah setiap pagi jus buahan dan sayuran yang segar bagi menambah kesihatan minda dan badan.
Berkebun juga antara aktiviti yang boleh menghilangkan stress. Walaupun ia kadang kala memerlukan tenaga tetapi apabila peluh keluar badan menjadi lebih sihat yang ditanam dapat dituai. Stress juga boleh dihilangkan dengan mempunyai hobi yang berfaedah seperti memancing, merakam gambar, berenang dan membaca.
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.