PENGENALAN
Masalah rasuah telah menjadi satu wabak penyakit dan jenayah yang telah lama menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Tidak ada negara yang boleh mendakwa dirinya bebas dari rasuah, cuma yang boleh dibezakan pada tempoh satu-satu masa hanyalah dari segi tahap keseriusan jenayah rasuah yang berlaku.
Rasuah ini boleh ditakrifkan sebagai perbuatan sogokan dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang akan dan sudah ditunaikan dengan cara yang salah atau tidak betul. Perbuatan rasuah ini merupakan perbuatan terkutuk yang bukan saja satu kesalahan besar di sisi undang-undang dunia, malahan satu amalan yang bakal mengundang azab diakhirat kelak. Ini kerana dalam perbuatan rasuah, terselit unsur kezaliman dan penganiayaan kepada diri sendiri dan orang lain. Dari sudut perundangan, perbuatan rasuah menjadi satu kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu :
1. Meminta / Menerima Rasuah
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta / menerima / bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.
2. Menawar / Memberi Rasuah
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta / menerima / bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.
3. Membuat Tuntutan Palsu
Mana-mana orang memberi kepada ejen atau ejen memberi kepada prinsipal/majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir matan palsu, yang mana prinsipal/majikannya mempunyai kepentingan, dengan tujuan untuk mengeliru/memperdayakan prinsipal/majikannya.
4. Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
Mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutu - nya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.
Penyelewengan pula merupakan satu tindakan yang menyimpang dari arah yang betul dan lari dari tujuan asal manakala salah guna kuasa pula merujuk kepada seseorang yang dilantik dan diberi amanah untuk menjalankan sesuatu tanggungjawab telah bertindak diluar kawalan dengan skop tugas yang diberikan tersebut. Sungguhpun perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa hanya dilakukan oleh segelintir individu yang tamak, mementingkan diri sendiri atau mahu kemewahan segera, namun perbuatan mereka boleh mendatangkan malapetaka kepada sesebuah organisasi, masyarakat dan negara. Ini kerana rasuah yang berleluasa boleh mengakibatkan ketidakadilan, pengabaian tugas dan tanggungjawab, pecah amanah dan pengkhianatan. Dalam sesebuah jabatan ataupun organisasi misalnya, amalan rasuah sesetengah pekerjanya boleh menyebabkan sistem tugas menjadi lintang-pukang dan seterusnya menjejaskan usaha murni pekerja lain yang bekerja dengan ikhlas dan jujur. Demikianlah juga halnya dengan sebuah negara, ia boleh runtuh dan dihancurkan oleh musuh bilamana rakyatnya mengamalkan rasuah. Ini kerana orang yang sudah terbiasa mengamalkan perbuatan rasuah tergamak melakukan apa saja asalkan mendapat wang, pangkat dan kemewahan. Justeru, tidak keterlaluan kalau dikatakan pengamal rasuah umpama duri dalam daging kerana dalam diam-diam sanggup mengorbankan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat demi harta dan kesenangan duniawi yang bersifat sementara.
PENDEKATAN KERAJAAN DALAM MENCEGAH DAN MENGAWAL RASUAH
Dengan tujuan untuk mencegah dan mengawal, pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan pegawai awam.
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009
Usaha penting yang signifikan adalah dengan penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang telah diluluskan oleh Parlimen dan telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2009. Matlamat utama akta ini adalah untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan satu badan pencegahan rasuah yang bebas, Akta ini juga turut bertanggungjawab mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran awam, swasta dan komuniti. Melalui pengenalan akta, keanggotaan SPRM seramai 5,000 orang akan ditambah dalam tempoh 5 tahun bagi mempercepatkan proses penyiasatan dam memberikan perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat.
Insititut Integriti Malaysia (IIM)
Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) juga selari dengan hasrat kerajaan mengurangkan rasuah disamping ianya adalah untuk meningkatkan tahap integriti sebagai suatu cara hidup rakyat Malaysia melalui prinsip-prinsip etika yang sesuai. IIM juga menjadi jentera penggerak dan pelaksana Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada tahun 2004 yang antara lain mensasarkan peningkatan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui dwi objektif pengukuhan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang terbaik disamping peningkatan integriti pengurusan dan pentadbiran perkhidmatan awam.
Garis Panduan Bagi Mempertingkat Tadbir Urus Dalam Perkhidmatan Awam
Kerajaan juga telah menyediakan satu Garis Panduan Bagi Mempertingkatkan Tadbir Urus dalam Perkhidmatan Awam dengan 4 prinsip utama yang dinyatakan dalam garis panduan tersebut iaitu integriti, akauntabiliti, pengamanahan dan pengawasan serta ketelusan. Dari aspek integriti, ianya berdasarkan kepada kejujuran dan objektiviti, tahap tatasusila yang tinggi dan penuh tanggungjawab dalam pengawasan dana dan sumber awam serta pengurusan hal ehwal jabatan/agensi. Amalan integriti ini adalah bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan Perintah Am Perkhidmatan Awam dan juga kepada etika peribadi dan profesional Pegawai Awam. Integriti turut dipaparkan dalam prosedur bagaimana jabatan/agensi membuat keputusan.
Dari sudut akauntabiliti pula menekankan kewajipan untuk memberi jawapan dan penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada sesiapa yang berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan. Ianya adalah satu proses di mana jabatan/agensi adalah bertanggungjawab ke atas semua keputusan yang dibuat dan tindakan yang diambil. Pegawai pengurusan berkenaan adalah tertakluk kepada pemeriksaan luar yang wajar. Semua pihak perlu mempunyai kefahaman yang jelas mengenai tanggungjawab ini. Ketua jabatan/agensi hendaklah memastikan tanggungjawab ini diamanahkan kepada semua pegawai dengan memperjelaskan peranan masing-masing supaya ianya dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pengamanahan dan Pengawasan (stewardship) merupakan pelaksanaan kuasa pegawai awam yang telah diamanahkan oleh pihak Kerajaan. Pegawai Kerajaan adalah pemegang amanah dan pengawas ke atas penggunaan kuasa dan sumber yang dipertanggungjawabkan. Tanggungjawab ini merangkumi keupayaan untuk memastikan kecekapan pengurusan kewangan secara berterusan dan pengurusan sumber secara ekonomik dan berkesan melalui dasar-dasar yang bersesuaian. Adalah penting untuk sektor awam sentiasa mengekal dan meningkatkan kemampuannya bagi memenuhi kehendak kerajaan dan kepentingan awam.
Ketelusan merujuk kepada keperluan untuk memberi keyakinan kepada orang awam terhadap proses pengambilan keputusan dan tindakan pegawai awam yang telah diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab. Hubungan yang erat dan perkongsian maklumat yang lengkap, tepat dan jelas dengan stakeholders akan memastikan tindakan yang diambil itu adalah berkesan dan menepati waktu di samping membolehkan pegawai awam menangani sebarang penilaian awam.
Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP)
Dalam tahun 2008 yang lalu juga, Kerajaan telah mengarahkan agar digerakkan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) yang bertujuan untuk mengukuhkan integriti sektor awam di peringkat persekutuan, negeri dan daerah bagi mencegah rasuah, amalan salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan pegawai awam.
Laporan Ketua Audit Negara
Laporan Ketua Audit Negara disediakan pada setiap tahun adalah untuk mengesahkan sama ada penyata kewangan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Agama Islam telah disediakan secara teratur mengikut piawaian perakaunan yang diterima pakai. Selain itu, pengauditan prestasi kewangan ini dapat menilai sejauh mana pelbagai program dan projek Kerajaan telah dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program dan projek ini telah tercapai. Penilaian sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat tanpa pemborosan dan pembaziran juga akan dapat dikenalpasti. Agensi Kerajaan digesa supaya mengambil iktibar daripada kelemahan-kelemahan dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan terhadap program dan projek yang dibangkitkan dalam laporan-laporan audit prestasi yang disediakan, selaras dengan prinsip-prinsip akauntabiliti dan integriti dalam perkhidmatan awam.
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kedua – Memerangi Rasuah
Y.A.B Perdana Menteri semasa mengumumkan 6 teras NKRA telah meletakkan usaha memerangi rasuah sebagai salah satu daripada teras tersebut. Ini menunjukan kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004. Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemaskini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Dari segi penguatkuasaan, langkah kerajaan menaiktaraf Badan Pencegah Rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif turut diletakan sebagai strategi untuk mencapai NKRA ini.
IMPAK RASUAH KEPADA ORGANISASI DAN MASYARAKAT
Rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa memberi pelbagai kesan sosial yang boleh dikenalpasti seperti berlakunya ketidakadilan sosial. Jenayah rasuah secara jelas mengakibatkan ketidakadilan sosial, yang mana berlaku penindasan ke atas golongan miskin dan menafikan hak golongan tertentu. Mereka yang miskin dan tidak berpengaruh akan lebih tertindas kerana tidak mampu membuat bayaran rasuah dan dinafikan hak-hak mereka sebagai warganegara. Gejala rasuah juga meninggikan kos hidup dengan para peniaga yang memberikan rasuah terpaksa meninggikan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos tambahan ini. Ini boleh menyebabkan inflasi dan kos hidup meningkat. Kajian mendapati rasuah menyebabkan peningkatan harga barang dan perkhidmatan antara 10% hingga 20%. Selain itu, rasuah membawa risiko yang boleh membahayakan nyawa. Ini adalah merujuk kepada pemaju dan kontraktor yang memberi sogokan kepada mereka yang terlibat terpaksa mengurangkan kualiti bahan binaan dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Ini akan menyebabkan bangunan atau jalan raya yang boleh membahayakan nyawa orang ramai.
Dari perspektif yang lebih luas, rasuah juga boleh mengancam keselamatan negara dengan berlakunya kebocoran rahsia kerajaan, penjualan senjata api secara haram, membiarkan kebanjiran pendatang asing tanpa izin kerana pegawai penguatkuasa telah menerima rasuah. Kelemahan penguatkuasaan undang-undang juga akan terus berleluasa kerana rasuah, penguatkuasaan peraturan dan undang-undang dilaksanakan secara tidak adil dan pilih kasih. Pihak yang menjadi mangsa adalah mereka yang tidak mampu memberi sogokan. Gejala rasuah boleh mempengaruhi dasar pembangunan dengan akibat perbuatan rasuah, keputusan untuk pelaburan dan pembangunan akan lebih dipengaruhi oleh keuntungan peribadi pihak-pihak atau individu tertentu daripada kepentingan dan keperluan masyarakat dan ini boleh mempengaruhi dan memberi kesan kepada kadar pelaburan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
PROGRAM UNTUK MENANGANI GEJALA RASUAH
Bagi memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, penekanan kepada usaha meningkatkan integriti dan jati diri individu adalah sangat penting. Secara mikronya, usaha ini dibahagikan kepada dua sasaran iaitu fokus kepada jabatan/agensi yang memberikan perkhidmatan kepada orang awam dan fokus kepada individu-individu yang berkhidmat dalam organisasi kerajaan tersebut.
Di peringkat jabatan/agensi, kajian semula prosedur yang panjang, sukar dan lambat perlu dikemaskini dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Penggunaan borang, proses saringan dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak membebankan orang awam khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses. Manakala di peringkat individu, langkah-langkah yang boleh diambil adalah dengan memantapkan dan mengukuhkan jati diri dalam diri setiap pegawai awam. Keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membanteras gejala kerana sekiranya setiap individu bencikan rasuah maka amalan ini dapat diatasi. Kekuatan jatidiri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa yang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.
Peningkatan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman adalah cadangan asas yang sering diberikan oleh banyak pihak. Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Ianya juga membuatkan para pengamal rasuah akan berfikir panjang sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima. Empat perkara utama yang boleh gunapakai dalam memastikan SPRM berkesan dalam menangani rasuah iaitu :
i. merangka strategi pencegahan yang komprehensif;
ii. bebas daripada diberikan rasuah dalam menjalankan tugas;
iii. tidak diletakkan di bawah pengawasan pemegang dasar atau polisi; dan
iv. mengurangkan ruang dan peluang untuk memberi dan menerima rasuah dalam agensi-agensi yang strategik.
Pendekatan pendidikan dengan memasukan konsep bahaya rasuah dalam sistem pembelajaran juga dirasakan mampu meningkatkan tahap kesedaran golongan muda diperingkat awal. Ini kerana sikap benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri mereka sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik ini akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah dan ikhlas. Pendekatan menggunakan sistem pendidikan diharap mampu membentuk generasi muda yang bebas daripada rasuah.
KESIMPULAN
Berdasarkan pendekatan dan langkah yang dinyatakan diatas, jelas menunjukkan komitmen kerajaan adalah serius ke arah memastikan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dihapuskan. Prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti juga perlu diserapkan ke dalam ketetapan minda (mind set) masyarakat terutama penjawat awam. Ini membolehkan wujudnyua rasa tanggungjawab dalam diri disamping akan meningkatkan tahap motivasi, kecekapan dan mutu kerja mereka. Memang agak sukar mencapai tahap rasuah sifar di negara kita di era kebendaan dan glamor ini. Namun tidak sukar untuk membenci perbuatan rasuah. Oleh itu, kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa dalam membasmi gejala rasuah adalah penting tanpa mengambil kira sektor awam mahupun di sektor swasta dan badan badan bukan kerajaan. Pokoknya adalah kesediaan, keazaman dan komitmen yang bersungguh-sungguh dan berterusan dari semua pihak dalam mengajak masyarakat melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti rasuah.