MEMBACA buku Meniti Zaman karya bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, teringat kita kepada sejarah berdarah di Pasir Salak pada 1875 yang membabitkan Residen Inggeris, JWW Birch, dibunuh ketika mandi di Sungai Perak kerana cuba campur tangan dalam hal ehwal pungutan cukai serta adat resam negeri itu.
Tindakan Inggeris membicarakan pembesar Perak, Datuk Seri Maharajalela dan Datuk Sagor di mahkamah Inggeris kerana dianggap sebagai pemberontak dan dikenakan hukuman gantung sampai mati menimbulkan kemarahan orang Melayu pada masa itu.
Inggeris mengambil keputusan meminggirkan penduduk di tepi Sungai Perak terutamanya keturunan Datuk Seri Maharajalela dan Datuk Sagor daripada arus pembangunan selepas peristiwa berkenaan, bagaimanapun keadaan berubah apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Peristiwa suka duka keturunan Datuk Seri Maharajalela dan Datuk Sagor turut dilalui moyang, datuk serta nenek bekas Menteri Besar Perak itu, lalu beliau mengambil kesempatan menceritakan sejarah dan sosiobudaya kehidupan sebahagian besar masyarakat Melayu di sekitar Pasir Salak.
Ramli dalam bukunya ini mengisahkan realiti kedaifan masyarakat luar bandar selepas Perang Dunia Kedua dan ia berdasarkan peristiwa benar pada zaman kanak-kanak dan dewasanya, selain turut memaparkan peristiwa sebelumnya yang membabitkan orang penting dalam sejarah.
Kebangkitan menuntut kemerdekaan negara yang bermula dengan Datuk Seri Maharajalela di Pasir Salak dan Datuk Seri Agar DiRaja (Datuk Sagor) di Kampung Gajah dikisahkan melalui cerita yang didengar secara langsung daripada datuk nenek dan moyang beliau.
Beliau yang mengambil masa hampir dua tahun, cuba mengingatkan peristiwa silam dengan mencatatkannya semula, di samping bertanya kepada beberapa individu yang masih hidup terutamanya ahli keluarga terdekat Ramli bagi memastikan bukunya memberi gambaran sebenar peristiwa pada masa itu.
Tujuan utama buku ini ditulis dan diterbitkan adalah untuk memberi peluang kepada generasi muda mengetahui sejarah mahupun sosiobudaya Melayu sebelum serta selepas merdeka sebagai ingatan kerana selama ini semua perkara terbabit banyak ditulis orang luar termasuk penulis Barat dengan sesetengah fakta sengaja ditulis tidak tepat bagi menghina Melayu.
Catatan peristiwa dalam Meniti Zaman ini patut dibaca dan diketahui generasi baru agar jati diri mereka kekal di sanubari masing-masing dan buku ini sewajarnya dibaca pelajar sekolah, guru, pensyarah, penyelidik dan mahasiswa mahupun orang awam bagi menggali sejarah serta sosiobudaya bangsa mereka.
Dengan membaca buku ini, pembaca dapat meningkatkan kefahaman sejarah dan sosiobudaya bangsa Melayu yang hidup pada zaman penjajah Inggeris dan selepas negara mencapai kemerdekaan, selain ia akan merangsang semangat patriotik dan jati diri masing-masing.
Penulis yang juga keturunan Datuk Sagor begitu yakin bahawa generasi akan datang tidak mungkin boleh menolak peristiwa sebenar yang berlaku sebelum mereka dan ia boleh membantu menyelesaikan pertikaian isu tertentu di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.