24 March 2011

PINJAMAN BANK BANTU BELI RUMAH


Memiliki rumah sendiri adalah satu keperluan kerana ia lebih ekonomi berbanding menyewa memandangkan kadar sewa rumah terus meningkat saban tahun khususnya kawasan Bandar. Ada sesetengah penyewa terpaksa membayar sehingga RM1,000 sebulan, sedangkan jika memiliki rumah sendiri dengan bayaran bulanan pada harga yang lebih kurang sama, akhirnya rumah itu akan menjadi milik sendiri.

Yang penting memiliki rumah sendiri adalah satu kepuasan, kerana selain kehidupan yang terjamin, kita boleh melakukan apa saja, termasuk mengubah suai rumah dan menghias mengikut cita rasa dan selera sendiri tanpa perlu mendapatkan kebenaran tuan rumah. Walaupun memiliki kediaman sendiri seolah-olah memerlukan perbelanjaan besar tetapi kenyataannya jika anda memiliki satu unit kediaman yang baik di lokasi yang baik adalah satu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.

Oleh itu, terpulanglah kepada kemampuan si pembeli, sama ada dia mampu membeli dengan tunai. Bagi yang kurang berkemampuan cara terbaik adalah menggunakan wang simpanan yang dijadikan wang pendahuluan, bayaran guaman, duti setem dan insurans kebakaran.

Bakinya jika boleh mengeluarkan caruman KWSP serta mengambil pinjaman dengan bank. Biasanya pakej pembinaan perumahan yang ditawarkan bank meliputi pinjaman bertempoh atau kemudahan overdraf atau gabungan kedua-duanya sekali.


Pinjaman bertempoh adalah kemudahan yang ditawarkan dengan pembayaran balik ditetapkan dalam tempoh tertentu, iaitu kebiasaannya berdasarkan bilangan baki tahun anda bekerja sebelum menghampiri persaraan. Bagaimanapun sesetengah bank akan membenarkan peminjam melanjutkan tempoh pembayaran balik melewati sehingga tempoh persaraan. Pinjaman jenis ini memerlukan anda membuat bayaran balik secara bulanan.

Sementara pinjaman overdraf pula adalah satu kemudahan yang diberikan bank untuk dijelaskan oleh peminjam dalam tempoh yang ditetapkan. Ia tidak ada bayaran bulanan tetap, tetapi peminjam tidak boleh berhutang sehingga melepasi tempoh masa yang ditetapkan.

Bagi yang kali pertama membeli rumah, anda tidak perlu gusar kerana wujud pelbagai produk pinjaman yang ditawarkan di pasaran. Malah kini pemaju perumahan menyediakan senarai bank yang anda boleh hubungi untuk mendapatkan pinjaman. Bagaimanapun memilih produk pinjaman perumahan, perkara penting yang perlu diambil kira adalah kadar faedah yang dikenakan.

Ini kerana ada sesetengah bank menawarkan pinjaman perumahan yang kadar faedahnya rendah pada tahun-tahun awal pinjaman untuk disesuaikan dengan tahap kewangan pembeli muda yang baru bekerja dan hanya ada bajet terhad.

Bagaimanapun, pinjaman jenis ini kadar faedahnya tinggi pada jangka masa panjang. Ada juga bank yang menawarkan pinjaman kadar faedah tetap sepanjang tempoh pinjaman bagi menarik peminjam yang mahukan kepastian dalam jumlah pembayaran balik bulanan mereka. Kadar faedah tetap ini biasanya tinggi berbanding kadar faedah terapung yang terikat dengan kadar Kadar Asas Pinjaman (BLR).

Selain kadar faedah, anda juga perlu melihat faktor jumlah pembiayaan keseluruhan kerana semakin tinggi jumlah pinjaman bermakna semakin tinggi bayaran bulanan yang perlu dijelaskan. Sesetengah bank memberikan jumlah pinjaman sehingga 95% daripada nilai rumah. Bayaran bulanan yang tinggi mungkin menjejaskan bajet bulanan anda pula. Bagi mengelakkan masalah, anda perlu bijak mengatur jumlah bayaran bulanan bagi pinjaman perumahan dan kereta hendaklah lebih melebihi satu pertiga daripada jumlah pendapatan bulanan isi rumah.
















No comments:

Post a Comment

Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.