07 March 2011

PERSEPSI MENANTU IKUT NEGERI


“Rohani dan Aziz, pasangan kekasih sama cantik dan sama padan. Keserasian mereka memang terserlah dan sesiapa yang melihat, tidak dapat tidak pasti berasa kagum dan cemburu melihat mereka. Selepas bercinta hampir empat tahun, Aziz yang berasal dari Pahang mengambil keputusan untuk berkahwin dan suatu hari membawa Rohani bertemu kedua ibu bapanya. Sebaik saja diperkenalkan, kedua orang tuanya gembira dan sangat berkenan kerana melihat kecantikan rupa paras Rohani, selain senang hati bakal bermenantukan seorang wanita yang penuh sopan santun, berbudi bahasa dan begitu menghormati orang tua. Pendek kata, tiada cacat cela Rohani. Tetapi segala-galanya berubah sebaik mereka mengetahui Rohani, orang Negeri Sembilan. Hilang terus kecantikan paras rupa, kehalusan budi bahasa sebaliknya timbul rasa takut. Aziz didesak memutuskan hubungan dengan Rohani “

Trauma menyelubungi perasaan ibu bapa Aziz gara-gara banyak mendengar cerita negatif mengenai orang Negeri Sembilan. Terlalu kuat mengamalkan Adat Perpatih, yang kononnya membolot harta benda lelaki (suami). Kisah cinta tidak kesampaian Rohani dan Aziz, bukan perkara biasa dan sehingga kini, dalam dunia serba moden, masih ada lagi masyarakat yang mempunyai tanggapan begini. Ada yang terlalu fanatik dan mempunyai persepsi negatif mengenai asal pasang dari negeri tertentu. Seringkali, ada ibu bapa yang bukan saja takut bermenantukan orang Negeri Sembilan malah negeri lain juga, khususnya Kelantan, Kedah, Johor, Sarawak dan Sabah.
Jika anak lelaki berkahwin dengan orang Negeri Sembilan dikhuatiri harta dibolot menantu perempuannya, selain bersifat queen control seperti asyik ingin pulang ke kampungnya saja berbanding kampung suaminya.

Ada yang takut bermenantukan orang Johor kerana hantaran yang begitu tinggi iaitu serba berdiri, bermakna dari persalinan dan kelengkapan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, perlu disediakan, termasuk rantai gelang dan cincin emas. Malah, jika mahu berkahwin dengan wanita Johor, hantaran sama perlu diberi kepada adik beradik lebih tua yang masih bujang sebagai bayaran ‘langkah bendul’ ( berkahwin dulu sebelum adik beradik yang lebih tua).
Berkahwin orang kedah, hantaran dan mas kahwin juga tinggi manakala jika berkahwin wanita Sarawak, perlu menyediakan perbelanjaan tinggi, mengikut besar kediamannya. Jika rumah ada lapan tiang, bermakna perlu menyediakan lapan lembu atau kerbau. Akibat persepsi yang kuat dipegang ibu bapa ini, banyak saja perkahwinan yang dirancang tidak berlangsung dan lebih teruk, rumah tangga yang dilayari tidak direstui, perjalanannya tidak selancar yang diidamkan, ada saja yang tidak kena dengan menantu hingga akhirnya berakhir dengan penceraian. Setakat ini tiada ada kajian yang sahih mengenai persepsi masyarakat yang bersifat kenegerian dalam perkahwinan. Mungkin persepsi itu wujud apabila melihat pengalaman buruk orang lain bermenantukan wanita dari negeri tertentu.Hakikatnya pengalaman itu kes terpencil dan tidak adil apabila semua wanita dari negeri terbabit dikatakan bersikap buruk seperti yang digembar-gemburkan. Sebenarnya ia bergantung kepada keperibadian seseorang, jika memang mempunyai sifat terpuji, hasilnya juga baik tidak kira dari mana asal usul mereka.

Sebagai contoh, ramai beranggapan wanita negeri suka bolot harta. Itu tanggapan yang salah. Negeri Sembilan memang kuat berpegang kepada Adat Perpatih yang memihak kepad wanita, iaitu dari segi pemberian harta pusaka. Tujuan itu adalah menjaga kebajikan serta maruah wanita dan masyarakat perlu memahami maksud adat itu. Adat itu tidak menindas pihak lelaki. Namun, persepsi negatif itu yang membayangi sesetengah orang tua sehingga melarang anak teruna berkahwin dengan perempuan dari negeri itu. Kebanyakan ibu bapa zaman dulu lebih suka anak mereka berkahwin dengan orang yang tinggal berdekatan dengan mereka.
Masyarakat dulu juga tidak begitu terdedah serta bercampur dengan orang luar berbanding sekarang, yang mana ramai anak muda berhijrah dari kampung ke Bandar untuk mencari pekerjaan sekali gus membuka lebih peluang kepada mereka bertemu pasangan hidup yang berasal dari negeri lain. Bila hubungan semakin rapat dan serasi mereka mengambil keputusan untuk berkahwin tanpa memikirkan asal dari negeri mana. Tetapi kemudian dihalang apabila membawa pasanganya berjumpa ibu bapa terutama apabila ada antara keluarga yang gagal dalam perkahwinan atau mempunyai pengalaman buruk berkahwin dengan orang dari negeri terbabit. Kalau pun berkahwin, jika ada masalah rumah tangga, perkara negeri akan dibangkitkan dan mulalah berkata ini bala atau bagi berkahwin dari negeri itu. Bahagia atau gagal sesebuah perkahwinan bukan disebabkan isu negeri tetapi pasangan itu sendiri dan ibu bapa juga tidak boleh terlalu tamakkan kasih saying anak sehingga menjejaskan perkahwinan anak.
.
Apa yang penting, memilih pasangan dan membina perkahwinan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru. Cari pasangan yang bertanggungjawab, jujur, penyayang dan bagi umat islam, ikut sunnah islam yang menetapkan empat perkara utama iaitu dari segi harta, keturunan, kecantikan serta agama pasangan supaya bahtera perkahwinan lebih diberkati serta tidak mudah musnah dilanda badai.

1 comment:

  1. assalamualaikum..sy pelajar ukm bangi..saya sngt berminat untuk mengkaji tentang persepsi lelaki terhadap wanita adat..selain drpd itu sy juga sedang mencari maklumat tentang perkara ini utk tesis degree sy..sekiranya ada info yg dapt membantu sy..sy mohonn encik utk emel kepada sy di emy_jazs@yahoo.co.uk..terima kasih:)

    ReplyDelete

Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.