Meskipun kehidupan Apek sering diperkatakan, namun kisah kehidupan Apek begitu sukar didapati dalam bentuk pembacaan atau dengan erti kata lain dibukukan. Buku ini diolah dalam bentuk dialog perbualan dengan Apek sendiri. Ayat-ayat yang digunakan dalam buku ini berbentuk santai dan mudah difahami serta menarik minat sesiapa sahaja yang ingin mengetahui cara-cara bagaimana untuk mengurus kewangan peribadi secara berhemah.
Amalan-amalan seharian Apek dikupas khas untuk tatapan pembaca. Melalui buku ini, pembaca akan dibawa untuk menyelami kehidupan Apek yang mementingkan kehidupan bersederhana sehingga menjadikannya seorang yang kaya raya.
Kehidupan yang kaya raya tidak menjadikan Apek bermewah-mewah dalam berbelanja tetapi menyedarkannya lagi untuk hidup lebih bersederhana. Dengan kekayaan yang ada, Apek mampu memiliki apa sahaja, tetapi beliau lebih mengemari dan memilih kehidupan bersederhana. Jarang sekali kita lihat orang yang kaya raya menjalani kehidupan yang sederhana tanpa bermewah-mewah. Inilah keistimewaan Apek yang mengatur kehidupannya mengikut keutamaan bukannya mengikut hawa nafsu dalam berbelanja. Pelbagai teknik untuk mengurus kewangan peribadi dinyatakan dengan jelas dan lebih praktikal berbanding sekadar menyatakan secara teoritikal yang mungkin mudah untuk didengar tetapi sukar untuk diamalkan.
Sinonim dengan amalan kehidupan bersederhana, teknik-teknik mengurus kewangan peribadi yang diamalkan oleh Apek menjadi antara kekuatan utama buku ini. Buku ini juga menyingkap sikap terlalu mahu cepat kaya di kalangan masyarakat kita sehingga terjebak dengan pelbagai skim penipuan kewangan. Bersama-sama dengan teknik-teknik mengurus kewangan peribadi secara berhemah, buku ini juga memperkatakan skim cepat kaya dan pelbagai teknik penipuan kewangan.
Di samping Rahsia Kekayaan Apek berorientasikan pengurusan kewangan peribadi, rahsia perniagaan yang diamalkan oleh Apek juga dibincangkan dalam buku ini. Amalan-amalan inilah yang menjadikan perniagaan Apek berkembang maju sehingga dapat diwariskan untuk anak-anaknya.








