Disini saya ambil satu pendapat mengenai tanggungjawab seorang guru yang menarik untuk dibaca (Sumber : Berita Harian, 10/02/10).
Saya menyokong penjelasan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang antara lain menegaskan kerja pentadbiran juga sebahagian tugas guru. Tulisan Akmal Fairuz dalam ruangan ini baru-baru ini bertajuk 'Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran' ternyata salah, menyimpang dan amat bahaya, jika menjadi pegangan serta amalan. Guru berbeza daripada kerjaya profesional lain kerana mereka ialah ejen sosialisasi masyarakat yakni 'menginsankan' individu dan memasyarakatkan manusia. Hal ini terkandung secara nyata dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Saudara Akmal Fairuz mungkin teruja dengan teori pengkhususan yang menjadi begitu popular di kalangan pengamal ekonomi industri. Menurut teori ini, jika seseorang hanya melakukan sebahagian kecil daripada produk tertentu, maka produk keseluruhannya dapat dioptimumkan. Hal ini ternyata berjaya dalam industri pembuatan, misalnya industri kenderaan. Bahagian kenderaan tertentu diusahakan secara khusus dalam industri berbeza. Kesan akhirnya, kenderaan yang dikeluarkan bertambah dari semasa ke semasa.
Pendekatan teori ini tidak boleh dipraktikkan di sekolah kerana ia bukan kilang atau industri yang memproses manusia untuk menjadi seperti yang kita harapkan. Proses tumbesaran dan menjadikan manusia amat berbeza dan kompleks sifatnya. Jika guru bahasa sekadar mengajar bahasa atau guru pendidikan jasmani sekadar mengajar Pendidikan Jasmani, kesudahannya kerja berkaitan dengan sifat manusia dan kemanusiaan murid bagaimana pula? Siapa yang akan bertanggungjawab hal berkaitan pembangunan jiwa, emosi, kebajikan dan soal berkaitan potensi, bakat, minat serta kecenderungan murid? Paling penting murid yang belajar bahasa tidak semestinya menjadi pakar bahasa. Demikian juga, murid yang belajar Matematik belum tentu menjadi pakar matematik. Justeru, guru bahasa, Matematik dan guru lain perlu berkompromi dalam usaha menentukan proses kemenjadian murid. Sehubungan itu sama ada mahu atau tidak, guru perlu melakukan kerja pentadbiran supaya aspek pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan kecekapan murid dalam bidang tertentu dapat dibentuk bersama di kalangan mereka. Paling penting, Akmal Fairuz dan rakan guru sepertinya perlu faham jiwa pendidik tulen terdahulu. Akronim kata, 'guru' yakni 'Guru Untuk Rakyat Umum' sudah berakar umbi sejak lama dulu. Guru melakukan apa saja yang terdaya untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.
Itulah sebenarnya kerja guru sejak dulu, kini dan insya-Allah akan begitulah selama-lamanya. Guru berjiwa besar tidak saja berdepan dengan muridnya, sebaliknya perlu menghadapi ibu bapa dan masyarakat, berganding bahu dengan agensi masyarakat dan memberi sumbangan tenaga serta fikiran bernas ke arah membangunkan masyarakat dan negara ini. Anda ditakdirkan menjadi guru, maka jadilah guru sebenar-benarnya untuk masyarakat dan negara.
DR ISMAIL ABD RAHMAN,
Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun,
Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.