Ramai diantara kita bila merancang membeli rumah baru, tidak pasti akan keperluan untuk kita menyemak sama ada projek perumahan yang hendak dibeli tersebut mempunyai lesen pemajuan, permit iklan dan jualan daripada kerajaan. Kita mengandaikan pemaju pasti telah mematuhi keperluan perundangan ini. Namun begitu, sama ada anda percaya atau tidak memang ada pemaju yang berani memulakan penjualan projek perumahan mereka walaupun masih belum diluluskan permit iklan dan jualan atau memang pemaju tidak memohon permit iklan dan jualan tersebut.
Apa kesannya jika kita membeli rumah daripada projek perumahan tanpa lesen. Tiada masalah jika projek perumahan tersebut siap mengikut jadual dan tiada kecacatan (pembinaan sempurna). Namun begitu, jika projek tersebut lewat disiapkan, kualiti rendah atau terbengkalai, hak pembeli seakan dinafikan kerana pemaju tersebut tidak diikat dibawa Akta Pemajuan Perumahan kerana tiada lesen tersebut. Kerajaan melalui Pengawal Perumahan sukar untuk mengambil tindakan ke atas pemaju tersebut melainkan tindakan mahkamah . Namun ianya pasti akan mengambil masa yang lama dan tertakluk kepada beban pembuktian. Hakikatnya, Pengawal Perumahan tidak mempunyai data mengenai projek perumahan tersebut, tidak dapat menjalankan kerja-kerja pemantauan kemajuan fizikal, pemantau kewangan projek dan akhirnya, jika projek tersebut terbengkalai sukar untuk kerajaan mengambil tindakan intervensi.
Pemaju sebegini biasanya memberikan fokus kepada kelulusan Kebenaran Merancang (Development Plan) dan Pelan Bangunan (Building Plan) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja. Dengan kelulusan daripada PBT, pemaju dibenarkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan, tetapi penjualan unit rumah tidak dibenarkan selagi tidak mendapat kelulusan permit iklan dan jualan daripada Pengawal Perumahan. Tanpa kelulusan PBT, PBT mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan berhenti kerja jika kerja-kerja pembinaan dilaksanakan juga.
Sebagai pembeli bagi mana-mana projek perumahan, memang sewajarnya anda bertanyakan berkaitan permit iklan dan jualan daripada pihak pemaju supaya hak anda sebagai pembeli dikawal. Projek perumahan yang berlesen bukan sahaja perlu menggunakan 'Perjanjian Jual Beli' yang seragam seperti dinyatakan dalam peraturan dibawah akta, pemaju juga perlu membuka Akaun HDA (Housing Development Account) yang juga dikawal selia oleh Pengawal Perumahan. Selain itu, pemaju juga perlu menghantar laporan kemajuan fizikal dan laporan kewangan setiap suku tahun kepada pengawal perumahan. Sememangnya projek perumahan berlesen dipantau walaupun ada juga berlaku kegagalan menyiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Namun begitu, tahukah anda siapa Pengawal Perumahan?
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.