Seramai 1058 individu kumpulan pertama pembeli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memfailkan saman pemula terhadap agensi tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. Kumpulan itu yang diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tindakan itu dibuat selepas PR1MA menawarkan rebat sehingga 20 peratus kepada pembeli rumah baru menyebabkan pembeli rumah terawal mengalami kerugian sehingga RM100,000.
“Kerajaan melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC) beri sepuluh peratus pengecualian duti setem kepada pembeli rumah, itu tak apa, manakala PR1MA pula bagi rebat tambahan antara 15 hingga 20 peratus lagi terhadap diskaun yang diberikan.
“Jadi, dia dah jadi rebat 30 peratus, disebabkan itu, ada diantara pembeli rumah pertama yang mengalami kerugian sehingga RM100,000.
“Ketika awal dulu mungkin mereka beli rumah dalam sekitar harga RM350,000 dan selepas tambahan diskaun, rumah yang dulu berharga RM350,000 kini menjadi
RM250,000 dan ini menyebabkan mereka tak puas hati kepada PR1MA,” katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah, hari ini.
Pembeli kediaman itu membeli rumah dari 24 projek PR1MA antaranya PR1MA Kuala Ketil Kedah, PR1MA Marudu Sabah, PR1MA Melaka Tengah, PR1MA Jubilee Kuala Lumpur, PR1MA Tebrau Johor, PR1MA Padang Siding Perlis, PR1MA Gambang Pahang dan PR1MA Bintawa Sarawak.
30 Jun lalu, kerajaan mengumumkan persetujuan untuk meneruskan tempoh pengecualian duti setem sebanyak sepuluh peratus bagi pembelian rumah kediaman Kempen HOC untuk tempoh enam bulan lagi, bermula 1 Julai sehingga 31 Disember. Menteri Kewangan berkata lanjutan tempoh adalah bagi terus menggalakkan lagi peningkatan jumlah pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia dan bagi mencapai objektif untuk mengurangkan bilangan rumah yang tidak terjual. Manakala PR1MA turut mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 20 peratus melalui kempen sama terhadap pembelian rumah di bawah agensi berkenaan.
Sementara itu, Azam melalui permohonannya memohon perintah supaya rebat yang diberikan PR1MA yang diperkenalkan bersama program HOC adalah tidak sah dan terbatal.
“Selain itu, kami memohon perintah untuk prosiding taksiran bagi plaintif diberi pampasan setara dengan kadar nilai rebat PR1MA mengikut harga pembelian perjanjian jual beli masing-masing.
“Kami juga memohon perintah bahawa plaintif-plaintif secara keseluruhannya diberi pampasan dengan kerugian atau diberikan jumlah yang menyamai rebat tersebut mengikut harga belian mereka bagi setiap projek PR1MA,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.