22 April 2024

Raya Tahun 2024 ... part 2

Raya kedua, hari khamis, dalam kul 9.30 pagi kami bergerak ke Endau, Johor. Anak-anak masak ramen je. Ye la raya kedua, mana ada kedai makan buka. Tanya wife, kita nak ikut jalan mana ni. ada dua pilihan, ikut kuala pilah atau kuala klawang. Kami decide ikut kuala pilah, jammed juga sikit kat area ulu bendul. Singgah beli lemang. Kami makan tengah hari di Muadzam Shah. Kami singgah Marry Brown. Kedai makan banyak yang masih tutup. Kami sampai Endau lebih kurang pukul 5 petang.

Raya ketiga, Jumaat. Awal pagi hujan rahmat dah turun. sebelum solat jumaat, kami g beraya rumah Mak Ngah dan lepas solat g beraya Rumah Mak Su. Hujan turun sampai ke petang. Ingatkan lepas beraya, nak g bergambar di tepi pantai. Dalam hujan renyai kami bergambar di Kampung Stay, Teluk Buih.

Raya keempat, Sabtu. Hari ni kena hantar kakak pulang ke asrama. Kami direct dari endau ke Muar. Ikut Kluang, kereta banyak jadi perjalanan agak slow. Sempat juga singgah beli baju kurung untuk jamuan raya sekolah kakak di Nafas Mall. Makan kt kedai asam pedas area Tanjung Agas. Setelah hantar kakak ke Asrama, dalam kul 6 petang kami bergerak ke Puchong. Ikut jalan biasa muar, keluar di Jasin. Sekali masuk highway, memang jadi pesta lampu merah. Kami sampai rumah dalam kul 12 malam. Alhamdullillah, dapat rest satu hari.

18 April 2024

Raya Tahun 2024

Tetiba pulak rasa nak menulis di blog ini. 

Raya tahun 2024, tahun ini beraya di Perak. Kami balik kampung pada hari Ahad. seperti biasa, kami tak guna Plus Highway. Kami lalu ikut GCE the masuk jalan lama terus ke Pekan Ijok, terus ke Bestari Jaya ambil simpang ke Unisel, masuk kiri terus sri tiram, tembus di jalan besar Pekan Tanjong Karang. Nak lepas jambatan Tanjong Karang jalan sangkut, tak bergerak langsung. Dekat 1 jam hanya bergerak beberapa meter je. aku pun lagi, check google maps tgk jalan pintas. rupanya jambatan tg karang tu, ada kerja-kerja pembaikan sebab lori accident. Lepas jambatan, jalan smooth sampai ke kampung.

Setelah sampai di kampung, aku dah plan nak berbuka di Taman Melor. Rumah akak aku nombor 2. Anak-anaknya masih belum balik lagi. Pujuk mak untuk ikut kami berbuka sekali, mak setuju. Akak aku ni jenis rajin memasak, macam2 lauk ada. Kuih pun 3 jenis yang akak aku buat sendiri. Mak pun nampak selera je makan.

Hari Isnin, Awal2 pagi dah ajak wife g Pasar Halida. Tanya mak, barang-barang dapur yang nak dibeli. Anak2 tinggal. Depa pun dok ghalit main phone je. Petang tu, adik no 8 datang berbuka sekali. Suka anak2 dapat jumpa sepupunya. Nanti masa raya tak sempat jumpa, sebab kita orang bergerak ke Endau, Johor. Malam tu anak sempat main mercun dan bunga api. Malam tu sempat bersembang ngan Pendi, EG, Khairi dan Pozi. Semua kawan2 kampung masa kecik aku. Sedap bersembang sampai kul 1 pagi

Hari Selasa, sehari sebelum raya. Pagi tu kami g beli daging. Wife pun nak buat sup tulang. Daging 4 kilo, tulang 1 kilo. Lemang kami dah order ngan akak no.2. Mak tempah 5 batang. Pagi tu, aku kemas sekitar rumah mak, wife masak rendang dan sup tulang. Petang tu abang no. 1 sampai dari Kedah. Dia 4 beranak je. 2 orang yang dah kahwin raya umah mertua. Kiranya kami berdua la yang balik beraya ngan Mak tahun ini. Petang tu, kami ke Teluk Intan. Nak ambik lemang dan beli kasut raya untuk mak. Singgah bazar teluk intan. Tak banyak pun yang buka sebab hari last kot. Malam tu menyembang lagi sampai kul 2.30 pagi. 

Hari Rabu. Pagi raya, g solat subuh berjemaah di masjid. Lepas solat, aku panaskan lauk rendang, sup dan potong lemang. Pagi tu aku g sembahyang raya di Masjid Air Mati. kt masjid, ada la jumpa kawan2 kampung yang jarang2 jumpa. Sham memang dah sediakan breakfast dan air sekali. Sebelum tu, aku singgah kubur arwah apak. Sayu je tgk kampung yang dah semakin sunyi. singgah umah arwah opah, yang nampak makin uzur. Lepas solat raya, balik umah. Wife ajak bergambar keluarga. G join tahlil kt rumah ijat dan rumah arwah sidang mail. Kt rumah, akak no. 2 dah datang beraya. Lepas zohor, kami ke Kg Gajah g beraya rumah wan chu bitah. Jambatan kg gajah sesak. Petang tu, Akak no. 1 sampai dari Bukit Beruntung. Lepas Maghrib, kami dah bertolak ke Kinrara. Sampai kinrara dalam kul 12.00 tengah malam. Nasib jalan tak jem, cuma mata sangat la mengantuk.

18 January 2024

Tahun 2024

Masuk 2024
Blog tidak lagi menjadi medan menulis.
Ramai yang memilih FB,Instagram, X
Yang terbaharu, tiktok makin popular.

09 June 2021

Beli Kereta : Booking (Langkah 2)

Setelah puas survey-menyurvey, pastinya anda akan membuat keputusan pembelian. Tak kiralah keputusan pembelian ditentukan oleh siapa, yang penting anda telah berminat untuk membeli kereta tersebut. Siapakah yang selalunya mempengaruhi keputusan pembelian kita. 

Ok, ikutkan pengalaman aku, pasangan dan anak-anak banyak mempengaruhi keputusan pembelian kita. Contohnya, kita akan membeli kereta yang lebih besar apabila ahli keluarga kita semakin bertambah. Kapasiti kereta sedia ada, agak sempit yang memerlukan kita membeli kereta dengan kapasiti yang lebih besar. Pengaruh kawan pun ada, cuma peratusnya aku rasa rendahnya. 

Selain itu, rasa jemu dan inginkan pengalaman baru juga boleh menjadi sebab kita membuat keputusan pembelian. Ini adalah naluri biasa bagi seorang manusia, suka kepada benda baru, yang lama dirasakan bosan.

Untuk booking kereta, prosesnya sangat mudah. Anda cuma perlu cakap, 'saya setuju nak booking Bezza, warna silver'. Pastinya SA yang anda berurusan akan mengisi borang booking kenderaan anda. Selalunya untuk booking, kita perlu bayar booking fees. Dulu aku cuma bayar RM100 je, dan duit booking ini akan menjadi sebahagian daripada bayaran pembelian kereta tersebut.

Semasa booking ini, anda akan ditawarkan oleh SA sama ada hendak menambah aksesori lain bagi kereta yang hendak dibeli. Aksesori ini macam-macam, ikutlah kemampuan anda.

Dalam masa yang sama, anda perlu take note berapa lama dijangkakan anda dapat kereta idaman anda. Kalau ready stock, cepat la sikit. Biasanya yang menjadikan lambat, sebab warna pilihan anda tiada dalam simpanan ready stock. Hendak pula warna yang menjadi pilihan ramai. Memang kena masuk que la jawabnya. SA boleh estimate untuk tahu bila anda akan dapat kereta.

Disini penting juga untuk booking dengan car dealer yang besar, sebabnya mereka selalunya akan simpan stock kereta yang lebih banyak berbanding dealer yang kecil. 

Selesai booking, boleh la anda berangan memandu kereta impian. Selalunya bila kita terjumpa model kereta tersebut, dengan warna yang sama kita berasa gembira dan tak sabar untuk memiliki kereta tersebut. Itulah antara keseronokan membeli kereta, keseronokan berangan. 

08 June 2021

Proses Membeli Kereta : Survey Kereta (Langkah 1)

Salam semua. Lama sudah tidak berkongsi maklumat diruangan ini. ELoklah aku kongsi pengalaman langkah-langkah bagi membeli sebuah kereta. Sebenarnya membeli kereta tidaklah complicated kalau nak dibandingkan dengan membeli membeli rumah. Proses agak straight forward. Namun aku cuba juga kongsikan diruangan ini, mana tau masih ada rakan-rakan yang blur, apa nak buat buat bila nak beli kereta.

Pertama, anda perlu tau kereta apa yang anda hendak beli. Ada pelbagai pengeluar kereta yang beroperasi di negara kita. Proton, Perodua, Honda, Toyota, Nissan, Audi, Peugeot, BMW, Mercedez, Haval dan macam-macam lagi. Selalunya dalam minda kita, kita sudah ada jenama kereta yang kita suka. Mungkin berdasarkan perkongsian pengguna kereta sedia ada mahupun minat kita sendiri berdasarkan harga dan rupa bentuk kereta tersebut.

Ambil contoh pengalaman aku membeli sebuah kereta Bezza. Masa tu ada tax holiday, jadinya harga lebih rendah sedikit. Apa perkara yang kita akan tanyakan semasa membuat survey? Antaranya;

  • Berapa harga on the road.
  • Road tax berapa.
  • ada ready stock tak
  • Agak-agak berapa bayar bulan2.
  • kalau booking sekarang, berapa lama boleh dapat kereta.
  • bank mana yang memberikan interest yang rendah.
  • Warna apa yang ada.
  • Apa beza setiap varians kereta yang ada.
  • Minyak jimat tak.
  • No plat boleh bookingkan
  • Boleh pindahkan NCD kereta lama.
Yakinlah bahawa setiap soalan yang kita tanya, pasti dijawab dengan baik oleh Sales Advisor kat Perodua. Jika anda telah hampir pasti nak beli kereta tersebut, sebaiknya minta test drive. Dapatkan feel yang lebih. Ada elemen keseronokan dalam membuat keputusan tersebut.

Survey ini adalah langkah pertama. Ianya tidaklah mengikat kita untuk membeli kereta tersebut. Boleh je survey sekadar hendaklah mengenali kereta tersebut.

27 May 2021

BDR

Bulan ini merupakan PKP 3.0. 
Salah satu elemen yang menjadi kebiasaan dalam PKP ini adalah Bekerja Dari Rumah (BDR).

24 May 2021

2021

Assalammualaikum
Di era ini blog tidak lagi menjadi medan untuk masyarakat berkongsi pengalaman.
Namun, aku masih berasa sayang untuk meninggalkan.
Semoga apa yang tertulis masih memberi manfaat kepada semua pembaca.
Insyallah.



26 August 2019

Hakmilik Tanah

Penulisan ini bertujuan untuk menerangkan tentang konsep hakmilik tanah yang terdapat didalam Kanun Tanah Negara (selepas ini dirujuk sebagai KTN ). Pada tanggapan masyarakat umum terdapat dua bentuk hakmilik yang dikeluarkan iaitu hakmilik pegangan bebas (freehold) dan hakmilik pajakan (leasehold). Kedua-dua hakmilik ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. KTN telah berkembang pesat sejak penggubalannya, tanggapan umum tentang tanah freehold dan leasehold masih lagi tidak berubah walaupun undang-undang berkaitan dengan hakmilik ini telah berubah. Rencana ini cuba untuk memberi perspektif sebenar apakah itu hakmilik freehold dan leasehold mengikut undang-undang masa kini. Pendekatan yang digunakan didalam penulisan rencana ini adalah berbentuk naratif-sederhana sesuai dengan matlamat iaitu untuk memberikan satu ‘overview’ ringkas mengenai hakmilik tanah yang terkandung didalam KTN. 

Sejarah Hakmilik Tanah 

Sebelum penjajahan British, tanah pertanian diberi kepada hamba rakyat oleh pihak Istana untuk diusahakan dengan syarat sebahagian daripada hasil tanah tersebut diberikan kepada pihak Istana. Berikutan dengan Perjanjian Pangkor dan beberapa siri perjanjian yang lain Negeri-Negeri Melayu telah mula menerima kemasukan dan campurtangan pentadbiran pihak British. 2 Agenda utama penjajah dikala itu ialah untuk membuka tanah lading terutamanya ladang getah dan juga membuka kawasan-kawasan perlombongan bijih timah. Untuk tujuan ini pihak penjajah telah pun membawa masuk ramai pendatang dari luar terutama dari benua kecil India dan China dimana kisah-kisah mereka ini telah pun menjadi sebahagian dari sejarah Tanah Melayu. Demi mempastikan kesejahteraan dan keselamatan pendatang ini , pihak Istana dengan nasihat penjajah British telah menjanjikan satu jaminan keatas harta benda yang dimilikki iatu melalui satu suratan hakmilik milik. Dari itu lahirkan konsep suratan hakmilik keatas tanah-tanah yang dimilikki. Bermula dengan penggubalan Peraturan Am Tanah di Perak (1879), Selangor (1882), Negeri Sembilan (1887) dan Pahang (1888 ) dan juga Peraturan Pendaftaran Hakmilik disekitar tahun yang sama maka wujudlah sistem pemberimilikan tanah yang berdasarkan kepada suratan hakmilik. Kemudian pada tahun 1911 set undang-undang ini telah digabungkan menjadi dua iaitu Enakmen Tanah dan Enakmen Pendaftaran Hakmilik Tanah ekoran dari wujudnya pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.. Melalui undang-undang ini, tanah –tanah yang dimilikki oleh rakyat biasa direkodkan didalam Mukim Register yang diuruskan Pejabat Tanah dan tanah ladang, lombong dan Bandar yang biasanya dipegang oleh Pegawai Ekspatriat British dan kaum Cina direkodkan didalam Buku Daftaran Pendaftar yang diurus di Pejabat Pendaftar Hakmilik. Juga hartanah adalah terletakhak kepada pihak Pemerintah dan boleh diberimilik selama lamanya atau pun pajakan selama 999 tahun. Tanah desa kurang dari 100 ekar terletak dibawah kawalan Pejabat Tanah manakala tanah Bandar,pekan dan 3 tanah desa melebihi 100 ekar dan tanah estet terletak dibawah jagaan Pejabat Pendaftar. Justru lahirlah Hakmilik Pejabat Tanah (EMR) dan Hakmilik Pejabat Pendaftar ( CT ). Kedua-dua undang-undang ini kemudian digabungkan menjadi Kanun Tanah 1926 berkuatkuasa pada tahun 1928 dan lebih dikenali sebagai Cap 138 dengan sedikit perbedaan dimana tanah tidak lagi diberi pajakan selama 999 tahun sebaliknya 99 tahun. 

Kanun ini kemudiannya diterima pakai oleh Negeri – Negeri Melayu yang lain. Apabila Tanah Melayu diambang kemerdekaan Suruhanjaya Chick telah mencadangkan supaya undang-undang tanah di Tanah Melayu diseragamkan dan penekanan yang sama dibuat oleh Suruhjaya Reid yang memggubal Perlembagaan Persekutuan lantas pada tahiun 1965 KTN telah digubal dan mula berkuatkuasa diseluruh Semenanjung pada tahun 1966 dengan mengambil Cap 138 sebagai acuan utamanya. 

Ciri-Ciri Baru Hakmilik Tanah 

1. Kepentingan Hakmilik. 

Hakmilik yang didaftarkan bagi sebidang tanah adalah sebagai bukti pegangan dimana tercatat namanya didalam hakmilik berkenaan. Hakmilik yang didaftarkan menggambarkan perihal tanah tersebut, tempat, luas, kedudukan, sempadan-sempadan, tuanpunya dan apa-apa kepentingan lain yang diwujudkan ke atas tanah berkenaan. 

2. Faktor-Faktor Yang Menentukan Hakmilik 

Dibawah Kanun Tanah Negara terdapat banyak perkara yang menentukan jenis hakmilik. 

Perkara-perkara tersebut ialah:- 

TEMPAT ; samaada tanah tersebut terletak di BANDAR, PEKAN ATAU DESA. Ciri-ciri ini telah digunakan didalam Cap 138. 

KELUASAN; jika tanah tersebut terletak di kawasan Desa, samaada keluasannya lebih atau kurang dari 4.0 hektar (10 ekar). Berbeza denagan Cap 138 yang menyatakan tanah desa seluas 100 ekar. 

TEMPOH PEGANGAN; samaada tanah itu diberi milik untuk selama-lamanya atau untuk satu tempoh. Biasanya selama 99 tahun. Disamping itu, dari pejabat yang akan mendaftarkan hakmilik tanah juga bertanggung jawab didalam penentuan hakmilik dan ianya terbahagi kepada dua iaitu:-

Hakmilik PEJABAT PENDAFTAR :- ia didaftarkan oleh PENDAFTAR HAKMILIK. (Satu Pejabat Pendaftar bagi satu negeri) 

Hakmilik PEJABAT TANAH:- ia didaftarkan oleh PENTADBIR TANAH (Satu Pejabat Tanah bagi satu Daerah) 

3. Hakmilik Pejabat Pendaftar 

Hakmilik Pejabat Pendaftar didaftarkan bagi tanah-tanah seperti berikut:- 
a) Tanah Bandar 
b) Tanah Pekan 
c) Tanah Desa yang luasnya lebih dari 4.0 hektar 
d) Tanah tepi pantai atau dasar laut 5 
e) Tanah Desa yang luasnya kurang dari 4.0 hektar tetapi pada pandangan Pihak Berkuasa Negeri perlu dikeluarkan dalam bentuk hakmilik Pejabat Pendaftar. 

Hakmilik Pejabat Tanah. 

Hakmilik Pejabat Tanah pula didaftarkan bagi tanah-tanah berikut:- 
a) Tanah Desa yang luasnya kurang dari 4.0 hektar 
b) Tanah yang diluluskan di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, tanpa mengambil kira keluasannya walaupun melebihi 4.0 hektar 

4. Hakmilik Sementara 

Bagi tanah yang telah diluluskan pemberimilikan tetapi belum diukur halus mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara, tanah tersebut akan didaftarkan dalam bentuk HAKMILIK SEMENTARA bergantung kepada jenis tanah tersebut samaada ia didaftarkan dalam bentuk hakmilik sementara bersamaan dengan hakmilik Pejabat Pendaftar atau hakmilik sementara bersamaan dengan hakmilik Pejabat Tanah. Konsep hakmilik ini tidak ada didalam Cap 138, ianya baru diperkenalkan didalam KTN. 

5. Hakmilik Tetap 

5.1 Apabila sesuatu tanah telah diukur halus dan keluasannya yang muktamad telah ditentukan, maka tanah tersebut akan didaftarkan HAKMILIK TETAP, dengan membawa maksud keluasannya telah ditetapkan.  

5.2 Bagi hakmilik Pejabat Pendaftar terdapat dua jenis hakmilik tetap iaitu:- 
a) GERAN NEGERI dalam BORANG 5BK bagi tanah yang diberimilik untuk SELAMA-LAMANYA.
b) PAJAKAN NEGERI dalam BORANG 5CK bagi tanah yang diberimilik untuk SESUATU TEMPOH. 

5.3 Bagi hakmilik Pejabat Tanah juga terdapat dua jenis hakmilik tetap iaitu:- 
a) GERAN MUKIM dalam BORANG 5DK bagi tanah yang diberimilik untuk SELAMA-LAMANYA. 
b) PAJAKAN MUKIM dalam BORANG 5EK bagi tanah yang diberimilik untuk SESUATU TEMPOH. 

6. Apakah Hakmilik Pegangan Bebas ? Dulu ( 1966 – 1984) 

Daripada ciri ciri hakmilik yang telah dibincangkan diatas, sesuatu tanah berhakmilik pegangan bebas mestilah terdiri daripada hakmilik tetap dengan taraf pemberimilikan untuk selama-lamanya dan bebas dari sebarang bebanan dan sekatan kepentingan. Justru Geran Negeri (Hakmilik Pejabat Pendaftar) dan Geran Mukim (Hakmilik Pejabat Tanah) adalah hak milik pegangan bebas. Kini. (1984 – 2009 ) Pada tahun 1984 melalui warta kerajaan Akta A 587 KTN telah dipinda. Pemberimilikan hakmilik tanah untuk individu dan badan tidak lagi diberi milik secara selama-lamanya lagi malahan secara bertempoh dengan tempoh yang tertentu sahaja. Jadi tuan-tuan akan mendapati hakmilik didalam bentuk 7 Geran Mukim dan Geran Negeri yang dikeluarkan selepas ini akan mempunyai tempoh pegangan yang tertentu. Ini bermakna syarat asas hakmilik pegangan bebas itu telah tidak dipatuhi dan juga bermakna hakmilik sebegini bukanlah hakmilik pegangan bebas lagi. 

7. Isu 

1. Penggunaan perkataan hakmilik pegangan bebas secara meluas oleh pemaju-pemaju perumahan didalam iklan dan kain rentang sesuatu sekim perumaham yang bakal dimajukan dengan harapan dapat menarik minat ramai bakal pembeli. Pembeli yang tidak peka akan terperangkap dengan strategi ini. Ada baiknya bakal pembeli membuat semakan yang terperinci dengan Pejabat Tanah atau Pejabat Pendaftar Hakmilik Tanah untuk mengetahui status hakmilik tanah rumah yang bakal dibeli samada hakmilik pegangan bebas atau hakmilik pajakan. 

2. Hakmilik pegangan bebas mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi berbanding hakmilik pajakan. Pada kebiassaannya melebihi 100% daripada hakmilik pegangan pajakan.Ramai bakal pembeli mahu hartanya dipegang dibawah hakmilik pegangan bebas. Perlu juga diketahui bahawa hakmilik tanah diluar rizab Melayu adalah lebih tinggi nilainya daripada hakmilik tanah didalam kawasan rizab Melayu. 

3. Justru tanggapan umum mengenai tanah pegangan bebas telah berubah dengan perubahan undang-undang semasa. Hakmilik tanah perlu dikaji dengan lebih teliti lagi dengan mengambil kira baki tempoh atau hayat hakmilik yang masih berbaki lagi sebelum urusan pembelian dapat dilakukan. 

8. Kesimpulan 

Semak dahulu status tanah/rumah yang hendak dibeli. Lantik seorang Peguam bagi menguruskan perolehan hartanah tersebut. Selalu berhubung dengan Pemaju dan Pejabat Tanah dimana hartanah tersebut terletak. Sikap prihatin anda mungkin dapat membantu anda.daripada ditipu. Jika ada masalah bertanyalah. 

Nota : Artikel ini dipetik daripada sebuah laman yang lain. Ia dikongsikan disini sebagai manfaat bersama.

22 July 2019

Projek Perumahan Berlesen

Ramai diantara kita bila merancang membeli rumah baru, tidak pasti akan keperluan untuk kita menyemak sama ada projek perumahan yang hendak dibeli tersebut mempunyai lesen pemajuan, permit iklan dan jualan daripada kerajaan. Kita mengandaikan pemaju pasti telah mematuhi keperluan perundangan ini. Namun begitu, sama ada anda percaya atau tidak memang ada pemaju yang berani memulakan penjualan projek perumahan mereka walaupun masih belum diluluskan permit iklan dan jualan atau memang pemaju tidak memohon permit iklan dan jualan tersebut. 

Apa kesannya jika kita membeli rumah daripada projek perumahan tanpa lesen. Tiada masalah jika projek perumahan tersebut siap mengikut jadual dan tiada kecacatan (pembinaan sempurna). Namun begitu, jika projek tersebut lewat disiapkan, kualiti rendah atau terbengkalai, hak pembeli seakan dinafikan kerana pemaju tersebut tidak diikat dibawa Akta Pemajuan Perumahan kerana tiada lesen tersebut. Kerajaan melalui Pengawal Perumahan sukar untuk mengambil tindakan ke atas pemaju tersebut melainkan tindakan mahkamah . Namun ianya pasti akan mengambil masa yang lama dan tertakluk kepada beban pembuktian. Hakikatnya, Pengawal Perumahan tidak mempunyai data mengenai projek perumahan tersebut, tidak dapat menjalankan kerja-kerja pemantauan kemajuan fizikal, pemantau kewangan projek dan akhirnya, jika projek tersebut terbengkalai sukar untuk kerajaan mengambil tindakan intervensi. 

Pemaju sebegini biasanya memberikan fokus kepada kelulusan Kebenaran Merancang (Development Plan) dan Pelan Bangunan (Building Plan) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja. Dengan kelulusan daripada PBT, pemaju dibenarkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan, tetapi penjualan unit rumah tidak dibenarkan selagi tidak mendapat kelulusan permit iklan dan jualan daripada Pengawal Perumahan. Tanpa kelulusan PBT, PBT mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan berhenti kerja jika kerja-kerja pembinaan dilaksanakan juga. 

Sebagai pembeli bagi mana-mana projek perumahan, memang sewajarnya anda bertanyakan berkaitan permit iklan dan jualan daripada pihak pemaju supaya hak anda sebagai pembeli dikawal. Projek perumahan yang berlesen bukan sahaja perlu menggunakan 'Perjanjian Jual Beli' yang seragam seperti dinyatakan dalam peraturan dibawah akta, pemaju juga perlu membuka Akaun HDA (Housing Development Account) yang juga dikawal selia oleh Pengawal Perumahan. Selain itu, pemaju juga perlu menghantar laporan kemajuan fizikal dan laporan kewangan setiap suku tahun kepada pengawal perumahan. Sememangnya projek perumahan berlesen dipantau walaupun ada juga berlaku kegagalan menyiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Namun begitu, tahukah anda siapa Pengawal Perumahan? 

17 July 2019

Beli rumah menggunakan joint loan.

Setiap proses membeli rumah, pasti melibatkan pinjaman perumahan. Biasanya, pinjaman perumahan ini dipohon dengan institusi kewangan dan perbankan. Satu persoalan yang sering ditanya disaat kita membuat pinjaman perumahan sama ada pinjaman perseorang (1 penama) sahaja atau pinjaman bersama (joint loan).

Joint loan ini tidak terhad kepada pasangan suami isteri sahaja. Kita juga boleh buat joint loan. antara anak dan bapa, adik beradik, saudara mara dan juga dengan kawan-kawan. Selalunya joint loan ini bertujuan untuk mengukuhkan profil kewangan peminjam dan peluang untuk untuk mendapatkan kelulusan adalah lebih cerah. Selain itu, hasil dari profil kewangan yang kukuh, mereka boleh membuat pinjaman bagi rumah yang lebih besar dengan amaun pinjaman yang lebih tinggi. 

Contohnya, sekiranya gaji suami sebanyak 3K sebulan, mungkin hanya layak membeli rumah berharga 200k, tapi bila join income menjadi sebanyak RM6k sebulan, jadi mereka mampu untuk membeli rumah berharga sehingga 500k. 

Namun begitu, jika menggunakan dua nama, dokumen berkaitan pembelian dan pinjaman perumahan tersebut perlulah dimasukkan dua penama tersebut. Dokumen tersebut adalah seperti Sale and Purchase Agreement, geran tanah, loan agreement mahupun MRTT/MRTA (takaful/insuran) juga perlu dua penama tersebut.

Selain itu, pertikaian akan mula timbul jika dua penama tersebut telah tiada sefahaman lagi, contohnya seperti perceraian, putus kawan atau bergaduh besar. Dari segi hak pemilikan dua penama tersebut adalah jelas dalam dokumen hartanah tersebut, disinilah risiko jangka panjang yang akan dihadapi dan memerlukan persetujuan bersama bagi penyerahhakmilik hartanah tersebut. Keadaan yang sama juga akan berlaku jika salah seorang dari penama tersebut meninggal dunia, bahagian penama yang meninggal tersebut akan ditentukan mengikut proses harta pusaka. Ini juga risiko jangka panjang yang akan berlaku. 

15 July 2019

Rumah Pangsa

Bila sebut rumah pangsa, mesti kita bayangkan rumah yang sempit, bilik yang kecil dan keadaan yang tidak selesa. Aku memang tinggal di rumah pangsa, dulu rumah pangsa kat Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur. dan sekarang aku masih duduk lagi di rumah pangsa di Bandar Kinrara, Puchong.

Sebenarnya duduk rumah pangsa nie tidak teruk sangat, memang ada yang kita rasa agak susah tapi ikut kena adjust gaya hidup kita, tak boleh terlalu demanding sangat.

Rumah PR1MA - isu dan cabaran baru?

Seramai 1058 individu kumpulan pertama pembeli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memfailkan saman pemula terhadap agensi tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. Kumpulan itu yang diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tindakan itu dibuat selepas PR1MA menawarkan rebat sehingga 20 peratus kepada pembeli rumah baru menyebabkan pembeli rumah terawal mengalami kerugian sehingga RM100,000.

“Kerajaan melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC) beri sepuluh peratus pengecualian duti setem kepada pembeli rumah, itu tak apa, manakala PR1MA pula bagi rebat tambahan antara 15 hingga 20 peratus lagi terhadap diskaun yang diberikan.

“Jadi, dia dah jadi rebat 30 peratus, disebabkan itu, ada diantara pembeli rumah pertama yang mengalami kerugian sehingga RM100,000.

“Ketika awal dulu mungkin mereka beli rumah dalam sekitar harga RM350,000 dan selepas tambahan diskaun, rumah yang dulu berharga RM350,000 kini menjadi 

RM250,000 dan ini menyebabkan mereka tak puas hati kepada PR1MA,” katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah, hari ini.

Pembeli kediaman itu membeli rumah dari 24 projek PR1MA antaranya PR1MA Kuala Ketil Kedah, PR1MA Marudu Sabah, PR1MA Melaka Tengah, PR1MA Jubilee Kuala Lumpur, PR1MA Tebrau Johor, PR1MA Padang Siding Perlis, PR1MA Gambang Pahang dan PR1MA Bintawa Sarawak.

30 Jun lalu, kerajaan mengumumkan persetujuan untuk meneruskan tempoh pengecualian duti setem sebanyak sepuluh peratus bagi pembelian rumah kediaman Kempen HOC untuk tempoh enam bulan lagi, bermula 1 Julai sehingga 31 Disember. Menteri Kewangan berkata lanjutan tempoh adalah bagi terus menggalakkan lagi peningkatan jumlah pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia dan bagi mencapai objektif untuk mengurangkan bilangan rumah yang tidak terjual. Manakala PR1MA turut mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 20 peratus melalui kempen sama terhadap pembelian rumah di bawah agensi berkenaan.

Sementara itu, Azam melalui permohonannya memohon perintah supaya rebat yang diberikan PR1MA yang diperkenalkan bersama program HOC adalah tidak sah dan terbatal.

“Selain itu, kami memohon perintah untuk prosiding taksiran bagi plaintif diberi pampasan setara dengan kadar nilai rebat PR1MA mengikut harga pembelian perjanjian jual beli masing-masing.

“Kami juga memohon perintah bahawa plaintif-plaintif secara keseluruhannya diberi pampasan dengan kerugian atau diberikan jumlah yang menyamai rebat tersebut mengikut harga belian mereka bagi setiap projek PR1MA,” katanya.

12 July 2019

Relevankah lagi?

Di era FB, Instagram dan Twitter yang semakin canggih, adakah blog masih relevan?

11 January 2018

Kenapa perlu sambung belajar?

Selalunya kita akan berhenti belajar di peringkat sarjana muda atau degree. Sebab apa? Kelayakan degree sudah memadai untuk kita memohon pekerjaan yang bertaraf pegawai atau executive. Tak ramai yang kita tu kawan2 kita sambung belajar di peringkat master mahupun PHD.

Jika ada pun kerana sebagai pelengkap kepada career development di tempat kita bekerja. Ada majikan yang menawarkan kita bantuan kewangan seperti biasiswa untuk pekerjanya menyambung pelajaran.

Dalam masa yang sama, ada juga pelajar fresh yang sambung terus master setelah tamat pengajian degree. Peratusannya mungkin kecil. Selalunya faktor yang mendorong adalah seperti bantuan keluarga dari segi kewangan ataupun sukar mendapat pekerjaan.

Mudah ke belajar diperingkat master?
Bagi pendapat aku, konsep belajar ini tertumpu kearah pembentukan pemikiran. Dengan kata lain, kita belajar untuk menambah ilmu, oleh itu kita kena sentiasa berfikir dan memahami subjek yang kita pelajari. Jika anda memenuhi perkara ini, ianya menjadi mudah.

20 September 2017

Engineering Business Management

Apa yang anda pikir bila terbaca tajuk engineering business management. 

Sure hebat ni, amik engineering ke? 

Jika itu yang anda fikirkan, anda perlu semak dan faham apa yang itu engeering business management?

EBM ini adalah satu bidang dimana anda didedahkan konsep pengurusan dalam kejuruteraan. 

17 September 2017

Perjuangan baru telah bermula

Lupakan dulu soal hartanah dan soal nak menambah rumah. rumah yang ada pun tak terurus dengan baik. Now, aku telah memasuki era baru, era mengenal semula kelas dan assignment. Doakan aku mempunyai kekuatan untuk berkongsi maklumat disini.

#doakankejayaansaya

23 May 2017

PENIPUAN JUAL BELI TANAH : TINDAKAN SEBELUM MEMBELI

Sejak akhir-akhir ini Kerajaan Negeri dan Pentadbir-Pentadbir Tanah mendapati kes-kes penipuan jual beli tanah telah meningkat dengan mendadak sekali. Di antara kes-kes yang paling kerap terjadi ialah terdapatnya sindiket menjual tanah kerajaan atau menjual tanah orang lain yang pemilik sebenarnya tidak mengetahui bahawa tanahnya telah dijual oleh pihak tertentu kepada orang lain. Sekiranya anda adalah bakal pembeli yang berminat untuk membeli tanah tanpa mengetahui asas-asas perundangan tanah, anda adalah mangsa yang bakal dipergunakan oleh sindiket-sindiket ini. Kami akan memberikan panduan ringkas sebelum membeli tanah untuk diambil tindakan kepada bakal-bakal pembeli bagi mengelakkan anda ditipu oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab ini.

1. JANGAN TERBURU-BURU

Tidak kira sama ada anda membaca iklan dari mana-mana laman web, Facebook, Whatsapp dan sebagainya, anda perlu berhati-hati dan meletakkan sedikit prejudis kepada tanah yang anda minati. Lebih-lebih lagi jika harga yang ditawarkan adalah lebih murah dari harga pasaran. Anda boleh membuat perbandingan harga pasaran tanah dengan melayari laman web seperti Mudah.my, laman web jual beli online atau laman-laman web hartanah yang lain. Adalah dimaklumkan bahawa Pejabat Tanah tidak mempunyai maklumat berkenaan harga pasaran sesuatu tanah, kerana maklumat berkenaan adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. Sekiranya anda berkemampuan, anda boleh juga melantik Penilai Hartanah Berlesen untuk menilai tanah berkenaan, tetapi tindakan ini tidak perlu di dalam peringkat sebelum membeli.

2. BERTEMUJANJI DAN MENYEMAK DOKUMEN 

Tetapkan temujanji di lokasi tanah dengan pemilik atau ejen pemilik. Minta mereka bawa salinan geran tanah semasa perjumpaan. Seelok-eloknya anda perlu bertemu dengan pemilik sendiri, tetapi ada kalanya pemilik tanah telah melantik ejen bagi menjual tanah berkenaan. Setelah anda sampai di lokasi tanah berada, anda perlu meminta dokumen iaitu :-

a) GERAN TANAH : Minta untuk melihat geran tanah. Geran tanah ialah perkara yang paling penting di dalam proses pembelian tanah. Jika ejen/pemilik gagal mengemukakan geran, kemungkinan untuk ada ditipu adalah sangat tinggi. Tetapi bukanlah semua ejen/pemilik yang gagal mengemukakan geran adalah penipu. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang boleh dimaafkan seperti :-
i. Geran berada di tangan orang lain yang mungkin pemilik bersama.
ii. Geran hilang/rosak.
iii. Geran digadaikan di bank.

Bagi kes-kes ini, mungkin mereka adalah ejen/pemilik yang jujur tetapi anda perlu meminta dokumen lain iaitu Salinan Carian Persendirian atau Salinan Sah Geran sebagai ganti kepada geran asal.

b) SALINAN CARIAN PERSENDIRIAN / SALINAN SAH GERAN : Jika geran tiada atas alasan-alasan yang diberikan seperti di atas, minta Salinan Carian Persendirian atau Salinan Sah Geran. Kedua-dua dokumen ini boleh dibeli dari Pejabat Tanah di mana tanah itu berada. Tiada alasan bahawa Pejabat Tanah tidak mengeluarkan dokumen ini.
Jika ejen/pemilik gagal mengemukakan sama ada Geran, Carian Persendirian atau Salinan Sah Geran apabila diminta, anda perlu tahu bahawa anda sedang masuk perangkap. Berpura-puralah anda masih berminat dengan tanah berkenaan tetapi lupakanlah hasrat untuk membelinya.

NOTA : Pentadbir-Pentadbir Tanah ingin memaklumkan bahawa di setiap bahagian bawah kanan Geran/Salinan Carian Persendirian/Salinan Sah Geran terdapat tarikh dokumen-dokumen itu dikeluarkan. Lebih terkini tarikh yang dipaparkan maka lebih meyakinkan untuk pengesahan dokumen berkenaan. Anda perlu berhati-hati jika tarikh yang tertera itu melebihi 1 tahun dari tarikh anda berminat membeli, kerana mungkin dokumen itu sudah ada pengganti yang lebih baru di Pejabat Tanah.

c) KAD PENGENALAN PEMILIK : Jika yang datang mendakwa mereka pemilik tanah, minta kad pengenalan mereka dan bandingkan dengan geran. Tanpa pengecualian, semua nama pemilik tanah akan tertera di dalam geran. Jika nama pemilik tiada dalam geran, anda sedang berurusan dengan orang yang salah. Jika pemilik itu mendakwa bahawa nama mereka tiada dalam geran kerana tanah itu ialah kepunyaan ayah/ibu atau sesiapa sahaja yang telah mati dan pemilik mendakwa mereka adalah waris, arahkan mereka membuat perintah pesaka terlebih dahulu. Perintah pesaka mengambil masa dan tidak boleh diselesaikan di dalam tempoh 1 atau 2 minggu.

3. KENALPASTI LOKASI TANAH

Semasa lawatan tapak, minta ejen/pemilik tunjukkan dengan tepat kawasan tanah yang berkenaan. Minta mereka tunjukkan batu sempadan (ada tanah bergeran yang sah tetapi tidak mempunyai batu sempadan kerana masih hakmilik sementara. Itu masih dikira sah). Minta mereka tunjukkan dari mana ke mana tanah itu menganjur. Ingat dengan teliti kawasan berkenaan dan jika boleh letakkan pancang.

4. SEMAK SEMULA DOKUMEN DI PEJABAT TANAH

Selepas lawatan tapak, datanglah ke Pejabat Tanah yang berkenaan untuk menyemak semula dokumen berkaitan. Ada masanya walaupun dokumen yang ditunjukkan oleh ejen/pemilik adalah sah, ia bukanlah dokumen terkini. Berkemungkinan tanah itu mempunyai halangan seperti kaveat, gadaian atau sebagainya yang mana maklumat itu disimpan di Pejabat Tanah dan tidak tertera di geran atas sebab-sebab tertentu. Tanpa kompromi, dapatkan nombor hakmilik, nombor lot dan mukim mana tanah itu berada (butiran bagi 3 perkara ini tertera di dalam Geran/Salinan Carian Persendirian/Salinan Sah Geran) untuk memudahkan urusan. Kakitangan Pejabat Tanah akan membantu anda untuk menerangkan perkara-perkara yang anda tidak pasti. 

5. LANTIK JURUUKUR BERLESEN

Selepas anda berpuas hati dengan dokumen di Pejabat Tanah, anda boleh melantik juruukur berlesen untuk menyukat semula dan memastikan kedudukan tanah yang sebenar. Tindakan ini tidak wajib tetapi perlu terutamanya jika anda tidak tahu langsung undang-undang berkenaan tanah. Ada kalanya pemilik tanah menunjukkan kawasan yang salah kerana tidak tahu atau tidak pasti berkenaan sempadan. Ada juga kes apabila pembeli sudah selesai membeli, mereka sebenarnya terbeli tanah yang bukan ditunjukkan oleh pemilik. Juruukur berlesen mempunyai kepakaran di dalam menentukan kawasan tanah berdasarkan lot dan nombor hakmilik. Memang diakui kos untuk melantik juruukur berlesen adalah tinggi, tetapi adalah lebih baik untuk melabur sedikit wang kepada mereka daripada kerugian lebih tinggi kerana masalah tanah.

Selepas anda berpuas hati dengan dokumen, pemilik dan kedudukan tanah, anda boleh meneruskan proses pembelian seterusnya. Perlulah diingatkan semula, geran adalah perkara paling penting di dalam proses pembelian tanah. Anda dialu-alukan ke Pejabat Tanah untuk mendapatkan nasihat atau pandangan perundangan. Kami akan berusaha untuk membantu anda sedaya upaya.

KENYATAAN PENTING : Penerangan di atas adalah sangat ringkas bagi memudahkan kefahaman kepada rakyat yang tidak mengetahui prosedur undang-undang tanah. Terdapat prosedur-prosedur teknikal yang tidak dinyatakan dan anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan dari Pejabat Tanah berkaitan.
Kata kunci :-
Pemilik : Orang yang memiliki tanah yang namanya tertera di dalam geran.
Pembeli : Orang yang berminat membeli tanah.
Ejen : Individu yang dilantik secara sah oleh pemilik tanah.
Sindiket : Pihak tidak bertanggungjawab sama ada yang berlakon sebagai pemilik tanah atau wakilnya, atau yang mengusahakan tanah kerajaan tanpa kebenaran, atau yang mendakwa bahawa tanah tertentu adalah milik mereka sedangkan tiada dokumen geran yang sah.


Penafian : Maklumat ini diperolehi daripada Facebook. Bukan hasil penulisan sendiri. 

15 March 2017

KENAPA BELI RUMAH KENA PAKAI PEGUAM BERBANDING BELI KERETA?


"Aku xtau apa fungsi peguam perumahan ni selain dari nak duit duit duit. Beli kereta ratus ribu pun xpayah peguam2. Beli rumah 180ribu sampai dua peguam nak kena bayar. Ni peguam dah call nak kena bayar strata la ape la. bayar itu la ini la." - Pembaca Siakapkeli

Kata-kata di atas adalah antara tohmahan yang sering dilemparkan kepada kami, peguam hartanah. 

Telinga kami mungkin sudah tepu mendengar persepsi segelintir masyarakat terhadap kami. Biarlah, jika begitu persepsi segelintir mereka. Kami tidak mampu tutup mulut orang. Kerana kami percaya masih ramai lagi di luar sana yang memahami dan menghargai peranan kami dalam membantu melindungi hak dan kepentingan manusia.

Dalam posting ini saya tidak bercadang untuk menjawab secara spesifik tentang tohmahan di atas. Tetapi saya hanya ingin menjelaskan kenapa dalam sesuatu urusan jual beli hartanah, perlu bagi seseorang itu melantik peguam berbanding dalam urusan jual beli kenderaan.

1. Tempoh pinjaman beli kenderaan adalah lebih singkat berbanding tempoh pinjaman pembelian hartanah. Tempoh pinjaman kenderaan kebiasaannya adalah antara 5 hingga 9 tahun sedangkan tempoh pinjaman perumahan/ hartanah menjangkau sehingga 35 tahun.

Atas sebab ianya melibatkan tempoh pinjaman yang panjang, maka adalah perlu pihak-pihak dalam sesuatu urusan jual beli hartanah melantik peguam untuk melindungi hak dan kepentingan mereka sejak daripada awal transaksi lagi. Walau bagaimanapun sekiranya anda yakin anda mampu lindungi hak dan kepentingan anda sendiri, dan pihak bank juga yakin terhadap anda, anda boleh sahaja tidak lantik peguam. 

2. Urusan jual beli kenderaan hanya melibatkan 3 pihak sahaja, iaitu penjual kenderaan, bank dan pembeli. Sedangkan dalam urusan jual beli hartanah, transaksi nya akan melibatkan banyak pihak termasuklah pembeli, penjual, bank penjual, bank pembeli, LPPSA, pejabat tanah, pejabat duti setem, majlis daerah, pihak berkuasa negeri dan sebagainya. 

Adakah anda mampu berurusan dengan semua pihak tersebut untuk menyelesaikan urusan transaksi jual beli hartanah anda? Jika mampu, boleh sahaja anda tidak lantik peguam untuk mewakili anda dan anda boleh uruskan nya sendiri. Dipersilakan.

3. Urusan jual beli kenderaan hanya akan melibatkan satu peruntukan undang-undang sahaja iaitu Akta Sewa Beli.

Sedangkan dalam transaksi jual beli hartanah terdapat pelbagai undang-undang yang berkaitan dan terpakai, termasuklah Akta Kontrak, Kanun Tanah Negara, Akta Pemajuan Perumahan, Akta Hakmilik Strata, Akta Setem dan banyak lagi. 

Oleh yang demikian mampukah anda memahami semua akta-akta tersebut? Jika jawapannya ya, bisa sahaja anda uruskan sendiri urusan jual beli hartanah anda. Boleh jimat duit, bukan?

4. Urusan jual beli kenderaan tidak akan melibatkan prosedur yang complicated. Semuanya telah disebut dengan terperinci satu persatu dalam Akta Sewa Beli.

Sedangkan prosedur urusan jual beli hartanah kadangkala agak complicated dan memeningkan. Peguam sendiri pun kadang kala sampai migrain hendak menyelesaikan masalah yang agak complicated tersebut.

Maka, jika anda sanggup dan mampu menyelesaikan kerumitan dalam urusan jual beli hartanah tersebut secara sendiri, silakanlah uruskan sendiri transaksi jual beli hartanah anda.

5. Urusan jual beli kenderaan tidak mengkehendaki dokumen-dokumen yang berkaitan ditandatangan di hadapan peguam sebagai saksi. 

Tetapi dokumen urusan jual beli hartanah mengkehendaki ianya ditandatangani di hadapan peguam atau pegawai pejabat tanah. Sebagai saksi, peguam tersebut terpaksa berhadapan dengan liabiliti dan mereka juga akan dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah kelak sekiranya terdapat apa-apa dispute melibatkan dokumen yang disaksikannya tempoh hari.

Maka sanggupkah anda menjadi saksi terhadap semua dokumen jual beli yang anda sendiri tandatangan.? Dan sanggupkah anda hadir ke mahkamah sebagai saksi untuk mengesahkan penyaksian terhadap dokumen yang anda sendiri tandatangan?

Jika sanggup, anda boleh sahaja sediakan perjanjian sendiri dan menjadi saksi kepada diri sendiri atas semua transaksi jual beli hartanah yang anda lakukan.

Dan jika terdapat sebarang perbalahan di kemudian hari anda sendiri lah yang perlu tanggung liabiliti dan hadir sendiri ke mahkamah memberi keterangan.Dan apabila peguam telah mewakili anda dalam transaksi jual beli hartanah anda, sudah pastilah akan ada caj perkhidmatan dikenakan. Melainkan peguam tersebut adalah bapa atau ibu anda sendiri. 

Sama juga sekiranya anda sakit, anda perlu berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan. Dan sudah pasti anda akan dikenakan caj perkhidmatan terhadap rawatan dan ubat yang diberikan. Tetapi anda berhak untuk tidak berjumpa doktor sekirnya anda mampu merawat sendiri penyakit anda tersebut.

Oleh yang demikian, berdasarkan sebab-sebab di atas, adalah perlu untuk anda lantik peguam dalam sesuatu urusan jual beli hartanah. Bukan untuk orang lain, tetapi demi kebaikan diri anda sendiri juga.

Harap penjelasan ini dapat merungkai kekeliruan persoalan yang dibangkitkan oleh pembaca di atas. Itu pun bagi orang-orang yang ingin memahami. Jika masih tidak mahu faham, kami serahkan semuanya kepada Allah Taala.

Tiadalah daya, tiadalah upaya kami untuk memberi kefahaman kepada manusia, melainkan Dialah jua yang berkuasa atas segala-galanya.

Wallahuaklam.

Terima kasih,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

29 February 2016

Harga rumah semakin mahal

Bagi yang telah membeli rumah, akan suka untuk membeli rumah untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya. Maybe tujuannya untuk menambah aset disamping merancang untuk menyewakan rumah tersebut. Sudah pasti rumah yang hendak dibeli, bukanlah rumah yang mahal. Rumah lingkungan harga RM200 ribu adalah logik untuk dibeli bagi tujuan untuk disewakan. 

Tetapi untuk mencari rumah baru yang dalam pembinaan pada RM200k kebawah, adalah sangat susah. Kalau nak cari kawasan lembah klang, boleh dikatakan hampir tiada pun pemaju yang nak jual rumah pada harga tersebut. Maka, mula lah kita marah dan menyalahkan pihak berkuasa yang gagal mengawal harga rumah yang melampau.

Harga rumah ditentukan oleh pasaran. Maknanya pemaju bebas untuk meletakkan sebarang harga yang dirasakan sesuai. Jika rumah tersebut mendapat permintaan, maknanya harga yang pemaju tetapkan adalah harga yang munasabah berdasarkan ada pembeli yang berminat. Cuba kalau takde pembelian, pemaju akan beri diskaun untuk menarik minat pembeli. Sebab itu, jika anda perasan projek fasa 1 yang sold out, lebih murah berbanding dengan fasa dua. Sebab apa, pemaju sudah tahu demand projek di lokasi tersebut.

Ramai yang berharap agar pihak berkuasa masuk campur dan tentukan harga jualan rumah tersebut. Isunya, kenapa pihak berkuasa perlu masuk campur, kos pembangunan projek perumahan adalah ditanggung 100% oleh pemaju yang memiliki tanah tersebut. 

Yang ada kuasa dalam mengawal adalah kerajaan negeri, itu pun lebih kepada kawalan pembangunan. Kawalan pembangunan ini akan memastikan bagi satu kawasan perumahan tidak tertumpu kepada pembinaan  rumah jenis tinggi sahaja, perlu ada peratusan bagi rumah kos rendah dan kos sederhana. 

Sebab itu, tidak salah untuk anda membeli rumah secara subsale.

Lamanya Tak Menulis

Cubaan untuk menulis... susah nak masuk sekarang ni. sebab tu senyap je. Harap artikel lama masih menjadi rujukan.