"Aku xtau apa fungsi peguam perumahan ni selain dari nak duit duit
duit. Beli kereta ratus ribu pun xpayah peguam2. Beli rumah 180ribu
sampai dua peguam nak kena bayar. Ni peguam dah call nak kena bayar
strata la ape la. bayar itu la ini la." - Pembaca Siakapkeli
Kata-kata di atas adalah antara tohmahan yang sering dilemparkan kepada kami, peguam hartanah.
Telinga kami mungkin sudah tepu mendengar persepsi segelintir
masyarakat terhadap kami. Biarlah, jika begitu persepsi segelintir
mereka. Kami tidak mampu tutup mulut orang. Kerana kami percaya masih
ramai lagi di luar sana yang memahami dan menghargai peranan kami dalam
membantu melindungi hak dan kepentingan manusia.
Dalam posting
ini saya tidak bercadang untuk menjawab secara spesifik tentang tohmahan
di atas. Tetapi saya hanya ingin menjelaskan kenapa dalam sesuatu
urusan jual beli hartanah, perlu bagi seseorang itu melantik peguam
berbanding dalam urusan jual beli kenderaan.
1. Tempoh pinjaman
beli kenderaan adalah lebih singkat berbanding tempoh pinjaman pembelian
hartanah. Tempoh pinjaman kenderaan kebiasaannya adalah antara 5 hingga
9 tahun sedangkan tempoh pinjaman perumahan/ hartanah menjangkau
sehingga 35 tahun.
Atas sebab ianya melibatkan tempoh pinjaman
yang panjang, maka adalah perlu pihak-pihak dalam sesuatu urusan jual
beli hartanah melantik peguam untuk melindungi hak dan kepentingan
mereka sejak daripada awal transaksi lagi. Walau bagaimanapun sekiranya
anda yakin anda mampu lindungi hak dan kepentingan anda sendiri, dan
pihak bank juga yakin terhadap anda, anda boleh sahaja tidak lantik
peguam.
2. Urusan jual beli kenderaan hanya melibatkan 3 pihak
sahaja, iaitu penjual kenderaan, bank dan pembeli. Sedangkan dalam
urusan jual beli hartanah, transaksi nya akan melibatkan banyak pihak
termasuklah pembeli, penjual, bank penjual, bank pembeli, LPPSA, pejabat
tanah, pejabat duti setem, majlis daerah, pihak berkuasa negeri dan
sebagainya.
Adakah anda mampu berurusan dengan semua pihak
tersebut untuk menyelesaikan urusan transaksi jual beli hartanah anda?
Jika mampu, boleh sahaja anda tidak lantik peguam untuk mewakili anda
dan anda boleh uruskan nya sendiri. Dipersilakan.
3. Urusan jual beli kenderaan hanya akan melibatkan satu peruntukan undang-undang sahaja iaitu Akta Sewa Beli.
Sedangkan dalam transaksi jual beli hartanah terdapat pelbagai
undang-undang yang berkaitan dan terpakai, termasuklah Akta Kontrak,
Kanun Tanah Negara, Akta Pemajuan Perumahan, Akta Hakmilik Strata, Akta
Setem dan banyak lagi.
Oleh yang demikian mampukah anda memahami
semua akta-akta tersebut? Jika jawapannya ya, bisa sahaja anda uruskan
sendiri urusan jual beli hartanah anda. Boleh jimat duit, bukan?
4. Urusan jual beli kenderaan tidak akan melibatkan prosedur yang
complicated. Semuanya telah disebut dengan terperinci satu persatu dalam
Akta Sewa Beli.
Sedangkan prosedur urusan jual beli hartanah
kadangkala agak complicated dan memeningkan. Peguam sendiri pun kadang
kala sampai migrain hendak menyelesaikan masalah yang agak complicated
tersebut.
Maka, jika anda sanggup dan mampu menyelesaikan
kerumitan dalam urusan jual beli hartanah tersebut secara sendiri,
silakanlah uruskan sendiri transaksi jual beli hartanah anda.
5.
Urusan jual beli kenderaan tidak mengkehendaki dokumen-dokumen yang
berkaitan ditandatangan di hadapan peguam sebagai saksi.
Tetapi
dokumen urusan jual beli hartanah mengkehendaki ianya ditandatangani di
hadapan peguam atau pegawai pejabat tanah. Sebagai saksi, peguam
tersebut terpaksa berhadapan dengan liabiliti dan mereka juga akan
dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah kelak
sekiranya terdapat apa-apa dispute melibatkan dokumen yang disaksikannya
tempoh hari.
Maka sanggupkah anda menjadi saksi terhadap semua
dokumen jual beli yang anda sendiri tandatangan.? Dan sanggupkah anda
hadir ke mahkamah sebagai saksi untuk mengesahkan penyaksian terhadap
dokumen yang anda sendiri tandatangan?
Jika sanggup, anda boleh
sahaja sediakan perjanjian sendiri dan menjadi saksi kepada diri sendiri
atas semua transaksi jual beli hartanah yang anda lakukan.
Dan
jika terdapat sebarang perbalahan di kemudian hari anda sendiri lah yang
perlu tanggung liabiliti dan hadir sendiri ke mahkamah memberi
keterangan.Dan apabila peguam telah mewakili anda dalam
transaksi jual beli hartanah anda, sudah pastilah akan ada caj
perkhidmatan dikenakan. Melainkan peguam tersebut adalah bapa atau ibu
anda sendiri.
Sama juga sekiranya anda sakit, anda perlu
berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan. Dan sudah pasti anda akan
dikenakan caj perkhidmatan terhadap rawatan dan ubat yang diberikan.
Tetapi anda berhak untuk tidak berjumpa doktor sekirnya anda mampu
merawat sendiri penyakit anda tersebut.
Oleh yang demikian,
berdasarkan sebab-sebab di atas, adalah perlu untuk anda lantik peguam
dalam sesuatu urusan jual beli hartanah. Bukan untuk orang lain, tetapi
demi kebaikan diri anda sendiri juga.
Harap penjelasan ini dapat
merungkai kekeliruan persoalan yang dibangkitkan oleh pembaca di atas.
Itu pun bagi orang-orang yang ingin memahami. Jika masih tidak mahu
faham, kami serahkan semuanya kepada Allah Taala.
Tiadalah daya,
tiadalah upaya kami untuk memberi kefahaman kepada manusia, melainkan
Dialah jua yang berkuasa atas segala-galanya.
Wallahuaklam.
Terima kasih,
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
No comments:
Post a Comment
Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.