21 November 2013

Erti Hidup Pada Memberi

Kali pertama aku membaca statement ini semasa aku membaca buku tulisan Ustaz Hasrizal Jamil, bertajuk Secangkir Teh, Pengubat Letih. Namun pada masa itu, aku sekadar membaca kenyataan ini tanpa mampu menghayati maksud sebenar disebaliknya.

Kemudian, aku terbaca kenyataan yang hampir sama, iaitu Nikmat Hidup Dalam Memberi, dalam buku tulisan Saudara Nazali Noor, buku bertajuk Ulu Yam Di Liverpool.

Dalam buku Bersyukur Saat Diuji, tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim, turut ada menyebut hasrat yang lebih kurang sama, penggunaan perkataan sahaja yang berbeza. 

Nampaknya, aku telah menangkap sesuatu maksud disini, hasil daripada 3 buku yang aku baca, konsep 'Memberi' ini mempunyai keistimewaannya sendiri. 

Mungkin anda juga biasa mendengar, para ilmuan agama yang menekankan keperluan kita untuk bersedekah. Mengikut pemahaman aku sendiri, memberi atau bersedekah adalah satu perbuatan yang sama. Niatnya baik, tujuannya baik dan pengamal juga akan turut mendapatkan kebaikan. Dan aku juga percaya, anda juga pasti mengetahui akan perkara ini. Tetapi sejauh mana kita mampu melaksanakannya. 

Disini suka untuk aku nyatakan memberi ini bukan sekadar menghulurkan wang ringgit kepada orang lain, ruang lingkup adalah lebih luas. Yang mudahnya, memanglah dengan menghulurkan wang ringgit, tetapi bagaimana jika kita tak mempunyai kemampuan. 

Kita boleh memberi bantuan tenaga empat kerat, bantuan suara, bantuan buah fikiran, bantuan kenalan, dan berbagai-bagai lagi. Tetapi semua ini akan kembali kepada persoalan sama ada anda nak memberi atau tidak. 

Jika anda mengetahui 'rasanya' dalam erti hidup pada memberi, cuba anda laksanakan satu pemberian. 


18 November 2013

Mendepani Cabaran

Apa perasaan anda, apabila menghadapi sesuatu cabaran. Pastinya, anda akan berasa susah hati, berat hati, takut, gementar mahupun seribu satu perasaan yang bermain di minda. Hakikatnya, memang bukan mudah untuk berdepan dengan sesuatu cabaran.

Sebab itu, saat itu juga biasa kita akan memohon pertolongan daripada tuhan untuk membantu kita menghadapi cabaran tersebut, setidak-tidaknya kita mohon diberi kekuatan untuk menghadapi cabaran tersebut.

Bila difikirkan, adalah lebih baik agar kita hadapi sahaja cabaran tersebut, risiko untuk berjaya atau gagal pasti ada. Jika berjaya, kita akan mendapat satu kepuasan, tetapi sebaliknya, namun kegagalan bukanlah pengakhir kepada segalanya.

06 November 2013

Berani Hijrah

Kalau tak silap, tajuk diatas merupakan tagline kempen di Sungai Limau. Tapi bukan isu politik yang nak aku ulas disini. Lebih kepada sambutan Maal Hijrah, yang telah disambut semalam. Cuma, pada pandangan aku rata-rata umat islam Malaysia menyambut sambutannya sekadar bercuti dan merehatkan minda. Ibaratnya sama seperti cuti-cuti umum yang lain.

Aku pun termasuk dalam kumpulan yang sama, menikmati cuti maal hijrah sebagai satu peluang untuk berehat-rehat di rumah. Sambil sambil tu, tengok la jugak anugerah tokoh maal hijrah yang disiarkan di televisyen. Sayangkan, sambutan yang tiada penghayatan oleh masyarakat secara umum.

Hasil daripada pembacaan aku melalui buku, Bersyukur Saat Diuji memang aku terkesan dengan mesej yang disampaikan. Buku ini ditulis oleh Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Penceritaannya mudah, beliau menggambarkan pengalamannya hidupnya, dilanda banjir, hilang orang tersayang, tetapi peristiwa ini dikaitkan dengan pandangan sisi belilau yang boleh memberikan keinsafan, boleh menyedarkan kita bahawa lumrah kehidupan ini kita akan diuji, tetapi hakikatnya kita perlu sedar bahawa ujian ini ada ganjaran disebaliknya.

Beliau turut menyentuh mengenai ujian badan, ujian suami, ujian isteri dan ujian kuasa. Semua benda yang berada di persekitaran adalah merupakan ujian. Bezanya, kita selalu menganggap kita tidak diuji disaat kita tengah bahagia, tengah gembira. Disini kita telah tersilap. 

Bagi yang mencari sesuatu dalam sebuah kehidupan, mungkin boleh membaca penulisan di buku ini. Insyaallah, anda akan menjadi seorang yang redha.