29 March 2011

SATU ORANG SATU KOMPUTER


Satu orang satu komputer. Kata-kata ini membuktikan bahawa masyarakat masa kini semakin celik komputer serta berminat dalam teknologi maklumat dan komunikasi. Memiliki komputer riba kini tidak lagi dianggap barangan mewah tetapi satu keperluan kepada setiap orang sama seperti telefon bimbit yang kini setiap orang memilikinya, termasuk kanak-kanak. Ia antara barang kemestian yang perlu dibawa ke mana-mana.

Bagi yang masih belum ada komputer sendiri atau sedang tercari-cari jenis komputer bagaimana yang hendak dibeli, ikuti serba sedikit panduan mencari komputer yang sesuai membantu anda menyelesaikan masalah.
 
Pertama, sebelum membeli komputer anda perlu menyiasat ciri-ciri yang diperlukan iaitu Random-access Memory (RAM), kelajuan pemproses, keupayaan grafik, ruang cakera keras dan sebagainya.
 
Beli hanya apabila anda benar-benar perlu. Tidak kira berapa lama anda menunggu untuk mendapatkan tawaran harga yang terbaik, dengan ciri-ciri yang sama, harganya akan susut dalam jangka masa enam bulan.
 
Buat keputusan ciri-ciri yang anda perlukan berdasarkan penggunaan komputer itu nanti. Contohnya, jika anda merancang menggunakannya untuk mereka bentuk grafik, bunyi dan video, anda memerlukan lebih banyak RAM. Jika anda memerlukannya untuk membuat banyak kerja-kerja yang computational (contohnya, mencari melalui pangkalan data yang besar atau menonton video), anda akan memerlukan pemproses yang berkuasa hebat.
 

Buat keputusan jenis komputer yang anda perlukan, sama ada memerlukan komputer riba (laptop), yang boleh dibawa ke mana-mana, atau komputer meja. Pilih jenama komputer berdasarkan kualiti, harga dan khidmat bantuan teknikal yang ditawarkan.
 
Berdasarkan keperluan yang anda gemari, anggarkan konfigurasi utama yang anda perlukan ;
 
 pemproses (AMD atau Intel Celeron atau Intel Pentium III/IV),
 kelajuan (900Mhz atau 1.0Ghz atau lebih)
 jumlah RAM (64MB atau 128MB atau lebih)
 saiz pemacu keras (10GB atau lebih) dan monitor
 Monitor (15” atau 17”-CRT atau panel rata)
 Pemacu tambahan (Pemacu CD ROM, DVD-ROM,Perakan CD-RW, ZIP)
 Perkakasan tambahan (Modem, Sound Card, Video Card, Speaker)
 
Pastikan beberapa banyak slot kad dalam (internal card slots) tambahan dan ruang pemacu cakera yang anda perlukan bagi memberi lebih ruang untuk perluasan dan peningkatan keupayaan komputer anda pada masa akan datang.
 
Tetapkan apakah perisian pra-pasang (pre-installed) yang anda mahu atau perlukan. Sekurang-kurangnya dapat sistem pengoperasian , seperti windows, program anti virus dan program pemprosesan kata (word processing), spreadsheets dan pangkalan data.
 
Pilih jangka masa jaminan atau khidmat yang diliputi berdasarkan keperluan anda. Tidak kurang pentingnya, anda juga mestilah sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini teknologi dengan membaca ulasan tentang produk terbaru yang berada di pasaran dari majalah atau internet.
 
Fahamilah bahawa RAM adalah tempat sementara di mana komputer anda menyimpan data untuk diproses. Walaupun lebih banyak RAM lebih baik, anda tidak perlu RAM yang banyak jika anda mengehadkan penggunaan komputer hanya untuk membuat tugasan yang mudah seperti pemprosesan kata dan memeriksa baki.
 
Permainan komputer memerlukan banyak RAM; grafik dan bunyi memerlukan lebih lagi. Pemproses masa kini biasanya cukup laju, melainkan aplikasi yang memerlukan lebih kuasa seperti streaming video.

27 March 2011

Sekolah Kebangsaan Ayer Mati



Sapa pernah dengo nama sekolah nie... pastinya ramai tak pernah dengokan... ejaan pun, ayer mati... bukannya air mati.. tu tanda sekolah ni antara sekolah yang telah wujud sejak beberapa abad yang lalu...ye la... rasanya mak aku pun dulu belajo kat sekolah nie... sampai la anak dia (adik aku ) yang last sekali, no 8, pun belajo kat sekolah nie...

yang menariknye, bangunan sekolah nie bertiang, berlantai papan dan berdindingkan papan...ader satu lagi... bangunan baru 3 kelas..yg dibina menggunakan konkrit... belah belakang... tapi selalu kena banjir.

kome nak tau tak... sekolah nie telah melahirkan ramai tokoh-tokoh yang terkenal...orang-orang tua kampung ler yang bagi tau...tapi yang deme selalu cakap, Tan Sri Megat Junid Megat Ayoub... maybe dia tokoh paling berpengaruh lahir dari sekolah nie...

kat sekolah nie la jugak aku dan ramai lagi kawan-kawan kampung aku yang belajo mengenal ABC, belajo mengira dan sebagainya sebagai satu pendidikan formal... yang perlu kita lalui... demi mengubah nasib diri dan keluarga...

Pernah sekali, berita berkaitan SKAM nie masuk  muka depan Berita Harian... seingat aku dalam tahun 2001 (kalu tak salah la)... bukan pasai dapat keputusan terbaik...tapi pasai murid yang belajo kat sekolah cuma tinggal 3 orang sahaja... cikgu ader 6 orang. 

Sekarang, SKAM ini hanya tinggal kenangan sahaja... bangunannya masih kekal utuh dikampung tapi bersemak samun... sekolah nie telah ditutup secara rasmi oleh PPD... murid kampung aku yang masih bersekolah rendah kena pegi ke SK Bandar... sekolah terdekat... tapi sekolah tu pun rasanya akan menerima nasib yang sama dengan SKAM...cuma menunggu tahun je...

Apa pun, bagi aku, SKAM adalah pencetus inspirasi budak-budak kampung bagi mencari cahaya kehidupan, mengubah nasib diri dan keluarga...

25 March 2011

PENGURUSAN BANJIR


Perubahan iklim, pembangunan pesat dan kehilangan kawasan hutan antara punca negara mengalami banjir yang ekstrem kebelakangan ini. Banyak pihak berpendapat banjir tidak boleh dibasmi, hanya boleh dikawal. Sejauh mana kecanggihan teknologi, mustahil untuk memastikan dengan tepat bila banjir akan berlaku.

Pada masa sekarang apa yang ada, dengan menggunakan model kebarangkalian berdasarkan pergerakan awan atau taburan hujan untuk membuat ramalan kejadian banjir.

Bagi menghadapi kemungkinan bencana alam ini, negara kita mempunyai sistem kawalan banjir dalam bentuk berstruktur dan bukan berstruktur. Kawalan berstruktur membabitkan binaan termasuk empangan, benteng, rumah pam, pintu air dan pembetungan. Sistem amaran banjir ialah contoh kawalan bukan berstruktur membabitkan pemasangan sensor di kawasan berhampiran sungai bagi memastikan paras air tidak melebihi tahap bahaya kepada penduduk.

Langkah kawalan sedia ada boleh ditingkatkan keberkesanan dengan memanfaatkan teknologi. Sistem amaran awal ialah satu cara mengesan banjir dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini, sekali gus langkah pertama ke arah usaha menangani bencana itu. Paling mudah ialah menggunakan telefon bimbit yang dimiliki hampir semua orang. Kita boleh gunakan alat telekomunikasi itu untuk menyebarkan maklumat dan amaran banjir dengan lebih berkesan dan segera.

Contohnya, apabila paras air sungai meningkat kepada paras bahaya, amaran yang terhasil daripada sensor disalurkan kepada satu stesen dan seterusnya ia disebarkan kepada pengendali telekomunikasi untuk menyebarkan maklumat itu kepada pengguna talian berhampiran.

Menerusi penyebaran ini, masyarakat lebih bersiap sedia untuk berpindah. Sistem ini juga membantu melicinkan pergerakan pengurusan kawalan banjir di sesebuah kawasan membabitkan penggemblengan kerjasama semua pihak.

Permukaan boleh resap air semakin berkurangan akibat pembangunan pesat apabila banyak kawasan lapang dijadikan tapak membina bangunan atau dijadikan jalan raya. Akibatnya, apabila hujan lebat, air tidak meresap ke dalam tanah, sebaliknya terus ke sungai dan membuatkan banjir berlaku dengan segera.

Bagi menggantikan kawasan telap air yang semakin berkurangan itu, penggunaan tangki terbuka yang diletakkan di atas bangunan komersial mahupun kediaman untuk menakung air. Dengan meletakkan tangki di atas bangunan, jumlah air hujan yang mengalir terus ke sistem saliran dapat dikurangkan dan melengahkan masa berlaku banjir atau mungkin mencegahnya.

Air hujan yang tidak dirawat ini akan mengalir ke saluran paip yang berbeza dengan saluran air dirawat untuk dikhususkan bagi kegunaan tertentu sahaja seperti mencuci kereta atau berkebun. Ini kerana secara purata kegunaan air domestik untuk memasak atau minuman hanya 20%, manakala 80% untuk tujuan lain seperti di bilik air dan membasuh pakaian.

Menggunakan kaedah ini kos merawat air dapat dikurangkan dan dapat memastikan pengurusan air lebih optimum berbanding statistik ketika ini yang menunjukkan taburan hujan yang tinggi tetapi hanya 10% daripadanya dimanfaatkan sebaiknya.

Walau secanggih mana teknologi yang kita bangunkan bagi mengawal banjir tidak akan bermakna jika tiada kesedaran mengenai kepentingan menghargai sumber bekalan air yang begitu kaya di negara ini.

Aspek pendidikan perlu dititikberatkan dalam usaha membudayakan pengurusan air berkesan dalam kalangan masyarakat negara ini terutama generasi muda. Peranan menguruskan air membabitkan kepakaran semua bidang termasuk jurutera , pendidik, peguam dan ahli sains.

Pengurusan air juga seharusnya di bawah kerajaan pusat kerana dikhuatiri menimbulkan kerumitan untuk diselaraskan terutama apabila membabitkan pentadbir yang berbeza dari segi ideologi politik.

24 March 2011

PINJAMAN BANK BANTU BELI RUMAH


Memiliki rumah sendiri adalah satu keperluan kerana ia lebih ekonomi berbanding menyewa memandangkan kadar sewa rumah terus meningkat saban tahun khususnya kawasan Bandar. Ada sesetengah penyewa terpaksa membayar sehingga RM1,000 sebulan, sedangkan jika memiliki rumah sendiri dengan bayaran bulanan pada harga yang lebih kurang sama, akhirnya rumah itu akan menjadi milik sendiri.

Yang penting memiliki rumah sendiri adalah satu kepuasan, kerana selain kehidupan yang terjamin, kita boleh melakukan apa saja, termasuk mengubah suai rumah dan menghias mengikut cita rasa dan selera sendiri tanpa perlu mendapatkan kebenaran tuan rumah. Walaupun memiliki kediaman sendiri seolah-olah memerlukan perbelanjaan besar tetapi kenyataannya jika anda memiliki satu unit kediaman yang baik di lokasi yang baik adalah satu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.

Oleh itu, terpulanglah kepada kemampuan si pembeli, sama ada dia mampu membeli dengan tunai. Bagi yang kurang berkemampuan cara terbaik adalah menggunakan wang simpanan yang dijadikan wang pendahuluan, bayaran guaman, duti setem dan insurans kebakaran.

Bakinya jika boleh mengeluarkan caruman KWSP serta mengambil pinjaman dengan bank. Biasanya pakej pembinaan perumahan yang ditawarkan bank meliputi pinjaman bertempoh atau kemudahan overdraf atau gabungan kedua-duanya sekali.


Pinjaman bertempoh adalah kemudahan yang ditawarkan dengan pembayaran balik ditetapkan dalam tempoh tertentu, iaitu kebiasaannya berdasarkan bilangan baki tahun anda bekerja sebelum menghampiri persaraan. Bagaimanapun sesetengah bank akan membenarkan peminjam melanjutkan tempoh pembayaran balik melewati sehingga tempoh persaraan. Pinjaman jenis ini memerlukan anda membuat bayaran balik secara bulanan.

Sementara pinjaman overdraf pula adalah satu kemudahan yang diberikan bank untuk dijelaskan oleh peminjam dalam tempoh yang ditetapkan. Ia tidak ada bayaran bulanan tetap, tetapi peminjam tidak boleh berhutang sehingga melepasi tempoh masa yang ditetapkan.

Bagi yang kali pertama membeli rumah, anda tidak perlu gusar kerana wujud pelbagai produk pinjaman yang ditawarkan di pasaran. Malah kini pemaju perumahan menyediakan senarai bank yang anda boleh hubungi untuk mendapatkan pinjaman. Bagaimanapun memilih produk pinjaman perumahan, perkara penting yang perlu diambil kira adalah kadar faedah yang dikenakan.

Ini kerana ada sesetengah bank menawarkan pinjaman perumahan yang kadar faedahnya rendah pada tahun-tahun awal pinjaman untuk disesuaikan dengan tahap kewangan pembeli muda yang baru bekerja dan hanya ada bajet terhad.

Bagaimanapun, pinjaman jenis ini kadar faedahnya tinggi pada jangka masa panjang. Ada juga bank yang menawarkan pinjaman kadar faedah tetap sepanjang tempoh pinjaman bagi menarik peminjam yang mahukan kepastian dalam jumlah pembayaran balik bulanan mereka. Kadar faedah tetap ini biasanya tinggi berbanding kadar faedah terapung yang terikat dengan kadar Kadar Asas Pinjaman (BLR).

Selain kadar faedah, anda juga perlu melihat faktor jumlah pembiayaan keseluruhan kerana semakin tinggi jumlah pinjaman bermakna semakin tinggi bayaran bulanan yang perlu dijelaskan. Sesetengah bank memberikan jumlah pinjaman sehingga 95% daripada nilai rumah. Bayaran bulanan yang tinggi mungkin menjejaskan bajet bulanan anda pula. Bagi mengelakkan masalah, anda perlu bijak mengatur jumlah bayaran bulanan bagi pinjaman perumahan dan kereta hendaklah lebih melebihi satu pertiga daripada jumlah pendapatan bulanan isi rumah.
















KG. PADANG @ KAMPUNG KUALA PARIT ?



Ada apa dengan dua kampung nie... ini lah kampung asal teman... kampung nie bukan terkenal cam Kampung Baru kat KL atau Kampung Bahagia kat Teluk Intan... tapi hakikatnya ini kampung tempat teman dilahirkan.

Tapi kenapa sampai dua kampungkan... nak dijadikan cerita, kampung ni sebenarnya bersebelahan antara satu sama lain... pada masa dulu-dulu, sebelum merdeka, ramai orang melayu memilih untuk tinggal  perkampungan di tepi sungai... jadi bilangan penduduk di kawasan kampung ini adalah ramai... nak tau ramai ke tidak penduduk kampung tersebut.. kena bilang berapa banyak menesah @ surau yang ada dalam kampung tersebut.. berdasarkan cerita orang tua, dulu kat kawasan kedua terdapat dalam 5  buah surau.

Tapi selepas merdeka, pembangunan pun mula masuk ke kawasan kampung... migrasi penduduk kampung ke bandar, terutama anak-anak muda pun semakin tinggi... masing-masing nak mengubah nasib diri dan keluarga..ader juga yang mula berpindah ke tanah rancangan FELCRA... kat kawasan ni FELDA takder dibangunkan... oleh itu, penduduk kampung pun semakin berkurangan.

klu ikut alamat kat surat beranak aku... tempat lahir guna nama Kampung Kuala Parit la..., tapi aku tak pasti lak kenapa bapak aku selalu cakap 'kita nie duduk kat Kampung Padang'... aku tanya la lagi... dia cakap 'dulu kampung padang ngan kuala parit nie ader 2 JKKK, tapi lepas tu, tok penghulu gabungkan jadi satu JKKK...'

tapi itu, sekarang nie...kat Kampung Kuala Parit, hanya tinggal sebuah rumah sahaja... bayangkan dari berpuluh-puluh, akhirnya tinggal sebuah je... rumah adalah rumah pusaka opah...yang sekarang Mak Bonda aku yang tinggal... Nie adalah hasil pembangunan minda dan pembangunan fizikal, dimana semua penduduk asal telah berpindah .... demi kemajuan ekonomi masing-masing.

23 March 2011

PEKAN KAMPUNG GAJAH


Bila dengo je nama Kampung Gajah, apa yang korang bayangkan... kalu ayat loyar buruknye, mesti la kampung tu banyak gajah.... dulu, opah aku pernah citer, nama Kampung Gajah disebabkan kerana banyak gajah di hutan rimba berhampiran dengan Bukit Tunggal, Kampung Gajah. Gajah-gajah ini berkeliaran mencari makan dan makan pokok pisang, umbut kelapa dan buah ketior yang dipunyai penduduk kampung. Oleh itu kawasan ini dinamakan Kampung Gajah.

tapi sekarang nie, Kampung Gajah... sekor gajah pun takde... usahkan gajah... gading gajah pun takder.... ianya bukan sekadar sebuah kawasan perkampungan, ianya adalah sebuah pekan kecil, macam pekan koboi la.... serba serbi ada la kat pekan kampung gajah ni.... ada Agrobank ngan BSN, kedai makan, pejabat pos dan yang paling banyak adalah kedai runcit... tak tau macam maner depa depa dok bersaing sesama sendiri.... klinik kesihatan pun ader....  penduduk kat pekan nie buleh dikatakan hampir 100% orang melayu....

dulu pekan kat kampung gajah nie... kedai dia banyak kat tepi tebing sungai perak... tapi sekarang semua dah pindah... dah takder dah kedai kat tepi tebing... banyak dah kedai-kedai baru yang dibina dikawasan pekan....

Bas dan Teksi... sedih sikit nak citer... kat pekan kampung gajah ader la sebuah stesen bas... tapi perkhidmatan basnye macam hidup segan mati tak mau....maybe sebab orang kampung kaya-kaya kot... depa tak heran sangat nak naik bas.... tak pasti sebab ape bas sikit sangat... rasanya dalam 2 jam satu je...

kedai makan... bagi aku, takder la kedai makan yang special kat pekan kampung gajah nie... takat makan untuk kenyang je la...dulu, aku ader gak dengar citer, kena hati-hati makan kat pekan nie... takut kena santau... tapi itu dulu la... sekarang aku tengok takder pun orang kena... minta-minta dah takder la orang yang mengamalkan benda-benda tak baik cam gini.

litar lumba... kat pekan nie... ader dibina satu kawasan litar lumba... litar nie dibina atas pulau .. dulu masa Tan Sri Ramli Ngah Talib jadi Timbalan Menteri Pengangkutan... masa tu dia bina litar luba nie... sekarang tiap-tiap hari ahad ramai mat-mat rempit dan drifter yang turun padang untuk beraksi.....

satu lagi, biasa orang akan konfius antara Kampung Gajah dengan Batu Gajah... sebenarnya ia adalah dua tempat yang berbeza... Batu Gajah dekat Ipoh, daerah Kinta... Kampung Gajah dekat dalam Daerah Perak Tengah.

Anak Sungai Perak

Bila sebut sungai..pastinya dalam kepala aku mesti bayangkan Sungai Perak. Sebabnya, aku dibesarkan di perkampungan tradisional di tepi tebing sungai perak. Apak, Mak ngan Opah selalu crite, masa zaman dulu, sungai perak nie penghubung utama nak beli barang dapur dan barang lelain la... orang kampung aku, bila  deme nak pegi cari barang dapur, depa selalu cakap 'nak keyoooo' ... tu maksudnya nak pergi mudik kehilir la... pergi ke pekan teluk intan atau dulu-dulu orang teluk ensen..


masa tahun 50an, 60an, bukan takat bot bawak orang kampung keyoo ke teluk enseng je... orang penerangan, orang kesihatan.. masuk kampung pun naik bot juge....orang penerangan biasenye deme buat tayangan wayang pacak....aku kecik lagi... ingat2 lupa... tapi orang kampung memang suka bebenor nengok wayang pacak masa tu.... dan orang kesihatan biasa depa masuk kampung sebab nak kasi ubat cacing kat budak2.... ye la dulu-dulu orang maner kisah sangat ngan benda makan2... semua main belasah je.....

satu lagi bila cakap bab Sungai Perak nie, aku paling suka mandi sungai.... tambah2 bila masa air kering.... pasir pun timbul..... ye ler, keme belajar berenang bukan macam orang sekarang.... belajo kat kolam renang, keme dulu kalo nak pandai.... mandi ler kat tebing... lama2 pandai ler.... takat lemas minum air dua tiga teguk tu biasa le.... masa sekolah rendah, lepas je balik sekolah janji ngan budak2....'woi jom mandi tebing'... tu makna mandi sungai ler.... biasanya keme balik rumah dulu, makan pastu bawak kain ngan baju sembahyang, pakai seluar pendek siap2... terus pergi menesah (surau).... menesah nie tepi sungai....apa lagi, berendam la kitaorang 3-4 jam kat dalam air..... kadang-kadang tu, masa nak pegi mandi waktu zohor, bila naik dah masuk asar dah.... masing-masing mata keme dah merah....

22 March 2011

PANDUAN MENDIDIK ANAK


Terima Seadanya
Dalam apa keadaan sekalipun, sama ada serba kekurangan atau keperitan, tanggungjawab serta matlamat hidup perlu diteruskan. Persediaan minda, emosi, fizikal, psikologikal serta rohani dipertingkatkan supaya tidak terlalu mudah dipengaruhi perasaan yang boleh melemahkan semangat. Terimalah seadanya dan resha serta yakin bahawa setiap dugaan itu pastinya ada hikmah daripada pencipta.

Makan Bersama
Cuba sedaya upaya untuk mengumpul kesemua ahli keluarga untuk makan bersama dengan mewujudkan suasana yang riang di antara satu sama lain. Ini juga merupakan masa yang terbaik untuk berkongsi pengalaman atau pandangan sambil usik-mengusik mengenai sesuatu isu yang boleh diterima oleh semua ahli keluarga.




Beri motivasi dalam hal-hal akademik
Anak-anak sememangnya kurang berminat untuk belajar, apatah lagi terpaksa membuat kerja-kerja sekolah atau membaca buku untuk menghadapi peperiksaan. Leteran serta rungutan tidak membantu, tetapi sebaliknya ia akan menimbulkan rasa marah dan bosan. Beri dorongan seperti menyatakan hasrat yang terpendam di hati betapa bangga sekiranya dapat melihat anak sendiri naik ke pentas menerima hadiah kerana cemerlang dalam akademik.

Jangan sekali-kali memarahi anak di tempat terbuka
Kadangkal tingkah laku anak tidak menyenangkan tetapi ini tidak bererti bahawa teguran boleh dilakukan pada bila-bila masa atau dimana-mana tempat. Perasaan anak juga perlulah diambil kira dan sebarang teguran serta nasihat hendaklah dilakukan di tempat yang tertutup supaya perasaan malu atau mungkin dijadikan bahan ejekan ahli keluarga tidak berlaku.



Berikan hadiah sekiranya perlu
Memberi hadiah membantu untuk mempertingkatkan motivasi anak untuk berusaha bersungguh-sungguh. Berikanlah hadiah seperti yang dijanjikan mengikut kemampuan lebih-lebih lagi hadiah yang sememangnya ingin diberikan serta hadiah itujuga dapat membantu mempertingkatkan lagi proses pembelajaran. Namun begitu, perlulah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang baik tidak semestinya disusuli dengan hadiah.

Gunakan Ugutan dalam keadaan tertentu
Kadangkala ugutan membantu untuk merubah diri seseorang. Selagi ugutan itu tidak menyakit atau memudaratkan diri anak serta dapat memberi kesedaran, pendekatan ini tidaklah begitu keterlaluan. Bertegas adalah penting untuk mengejutkan anak yang sedang lena dibuai mimpi atau angan-angan yang tidak kesampaian.

17 March 2011

Bila Migrain Menyerang ?


Sakit kepala disebabkan aliran darah dan perubahan kimia di otak.

Perubahan ini akan menyebabkan arteri yang membekalkan darah ke otak tersekat dan menimbulkan sakit kepala diikuti oleh rasa tidak selesa pada perut, loya dan pening. Migrain mungkin antara penyakit paling lazim di seluruh dunia hinggakan banyak hasil seni juga lahir berkisar penyakit ini.

Wanita lebih tinggi mendapat migrain berbanding lelaki iaitu kebiasaan sebelum haid dan selepas menopaus. Kanak-kanak dan orang tua, khususnya yang berusia 55 tahun ke atas, sakit kepala yang dialami mungkin bukan disebabkan migrain, sebalik berpunca daripada penyakit lain yang lebih serius.

Kira –kira 40 peratus migrain dialami di seluruh kepala, 40% bermula pada sebelah kepada dan merebak ke seluruh kepala, manakala 20% lagi bermula pada sebelah dan tidak merebak ke seluruh kepala.

BAHAGIAN MIGRAIN

Migrain boleh menyerang di bahagian dahi depan kepala, atas, sisi kanan dan sisi kiri serta belakang kepala sehingga menyebabkan seseorang rasa tidak selesa dan mengganggu kehidupan sosial mereka.

Migrain di depan kepala. Ia berkaitan dengan masalah tekanan, kurang tidur, demam atau kurang darah.

Sisi kiri dan kana kepala. Migrain focul yang tidak spesifik.

Belakang kepala. Sakit kepala occipital, ada kaitan dengan darah tinggi, avmalformation dan anuersym (tidak boleh di rawat)

Atas kepala. Ia adalah sakit kepala vertex headache. Mungkin ada kaitan dengan ketumbuhan yang sangat berbahaya dan perlu rujuk kepada doktor.

TANDA MIGRAIN
Gangguan visual
Nampak tompok atau kilauan cahaya
Sensitif pada cahaya terang dan bunyi bising
Mual atau muntah
Gangguan pada telinga seperti bunyi berdesing dan kaki sakit macam tercucuk jarum
Lemah atau kebas pada anggota badan.

KAEDAH RAWATAN
Pengambilan ubat sesuai dan selamat seperti pil penahan sakit, suntikan tahan sakit, atau ubat merehatkan otot.
Rehat atau tidur di bilik yang senyap dan tidak terdedah dengan cahaya terang.
Urut, meditasi atau yoga untuk melancarkan kitaran darah.
Botox
Pembedahan

14 March 2011

ETIKA BERPAKAIAN KETIKA TEMUDUGA

Ketika menghadiri sesuatu temuduga, penampilan adalah aspek penting yang perlu dititik beratkan oleh calon. Ini kerana pandangan pertama penemuduga terhadap calon terutama menerusi cara berpakaian memberi satu persepsi buat penemuduga terhadap calon yang akan ditemuduga. Untuk menghadapi temuduga, calon perlu berpakaian kemas dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki kerana semua itu dinilai oleh pihak penemuduga. Ini kerana cara berpakaian akan mencermin anda yang sebenarnya.

Bagi calon pekerja lelaki, adalah digalakkan untuk memakai baju kemeja lengan panjang berwarna cerah dan seluar slack berwarna gelap dan bertali leher. Bagaimanapun, cara berpakaian boleh disesuaikan mengikut etika berpakaian di tempat kerja berkenaan. Bagi calon lelaki, mereka harus ingat bahawa pemakaian seluar jeans dan baji t-shirt berleher bulat adalah tidak dibenarkan sama sekali. Pemilihan kasut juga penting dimana mereka mestilah memakai kasut bertumit dan berstokin warna gelap dan memakai tali pinggang yang mempunyai warna yang sama dengan kasut.

Selain pemilihan pakaian yang bersesuaian, rambut juga perlu diberi perhatian di mana rambut mestilah pendek dan kemas, dan sekiranya berjanggut, potongan rapi perlu dilakukan. Lelaki hanya boleh menggayakan aksesori seperti jam, tali leher dan ‘cuff-link’ manakala pemakaian cincin tidak digalakkan. Harus diingat bahawa anting-anting bertindik dan bertatoo adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Bagi calon wanita, mereka perlu memakai pakaian yang sepadan dan pastikan pemilihan warna yang sesuai dan tidak memakai pakaian yang berwarna terang. Pakaian yang dipilih mestilah tidak menjolok mata, selain itu tidak boleh berpakaian seperti lelaki dan pastikan anda memakai kasut bertumit.

Calon wanita yang tidak bertudung perlu memastikan rambut mereka kemas dan disisir rapi atau diikat. Sekiranya anda mewarna rambut, pastikan warna rambut tidak menyakitkan mata. Elak mewarna rambut dengan menggunakan pewarna berwarna merah, biru, ungu dan berwarna warni.

Wanita dan aksesori sememangnya tidak boleh dipisahkan, bagaimana untuk memakai aksesori mereka diingatkan supaya tidak memakai secara berlebihan terutamanya barang kemas.
Akhir sekali, pastikan anda mengguna solekan yang sesuai dan tidak berlebihan begitu juga dengan semburan pewangi. Jika anda mematuhi etika berpakaian seperti ini, pasti anda akan berasa tenang dan penemuduga juga akan berasa senang dengan anda. JADI PASTIKAN PENAMPILAN BERSESUAIAN DAN JANGAN BERLEBIHAN.

11 March 2011

CARA SIHAT UNTUK AWET MUDA

Semakin meningkat usia, perubahan fizikal setiap manusia tidak dapat dielakkan. Gaya hidup yang kurang mementingkan kesihatan seperti merokok, pengambilan makan berlemak, diet tidak seimbang, tekanan kerja dan tidak bersenam itu kelihatan lebih tua dari usianya. Tetapi dengan gaya hidup yang sihat, seseorang itu mampu mengekalkan keremajaan dan melambatkan proses penuaan.

Antara cara yang boleh diikut untuk melambatkan proses penuaan ialah mengamalkan pengambilan makanan secara seimbang dan teratur. Elakkan obesiti dengan mengambil makanan rendah lemak dan lebihkan sayur-sayuran dan buah-buah yang berserat tinggi seperti lobak merah, nenas dan jambu batu.
Pengambilan makanan tambahan seperti vitamin E juga dapat melambatkan penuaan. Ia dapat melindungi kemusnahan sel dan membantu kesihatan sel-sel tubuh. Herba juga dikatakan baik untuk pengaliran darah. Herba yang popular untuk kegunaan kesihatan seperti bawang putih, ginseng dan lada hitam. Misalnya, bawang putih didakwa dapat mencegah selesema, gangguan pernafasan dan penyakit usus.


Senaman berterusan boleh meningkatkan ketahanan fizikal dan mental. Ia bukan saja boleh mengurangkan berat badan, malah tekanan darah rendah, mengurangkan tekanan, mengawasi tahap gula serta meningkatkan sistem imuniti.

Perkara yang perlu dipertimbangkan untuk memilih jenis senaman ialah keupayaan dan keadaan kesihatan anda. Ini penting terutama bagi mereka yang mengalami masalah sakit sendi, sama ada disebabkan arthirtis, berat badan berlebihan atau penyakit lain. Bagi kumpulan ini, pergerakan cergas boleh memburukkan keadaan kerana ia memberi tekanan berlebihan kepada sendi bahagian kaki. Untuk kes sebegini, jenis senaman yang ada pergerakan perlahan dan lembut seperti tai chi atau qigong lebih sesuai. Ia bukan saja boleh membakar lemak, tetapi pada masa sama membantu mengekalkan kestabilan dan memberikan ketenangan fikiran.

Bagi menguatkan daya ingatan, amalkan tidur yang mencukupi, minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, membaca al-quran setiap hari bagi umat islam, makan makanan seimbang dan melakukan latihan ingatan dengan mencatat perkara yang hendak dilakukan setiap pagi dan mengemaskini sebelum masuk tidur.


Jika ingin berbadan kurus, pastikan wajah anda tidak terlalu cengkung kerana ia boleh menyebabkan anda kelihatan lebih tua dari umur sebenar. Minum air yang mencukupi mampu mengelakkan penyakit dan kulit akan kelihatan lebih menarik. Rajin-rajinlah ke klinik dan hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan tubuh badan dalam keadaan yang sihat. Pengambilan luaran juga memainkan peranan dalam usaha mengelakkan diri daripada dilihat lebih tua dari usia. Anda perlu bijak memilih fesyen pakaian dan aksesori. Gara yang mudah dengan merujuk pada media massa termasuk akhbar. Sesuaikan pemilihan pakaian dengan usia, kerjaya, keadaan persekitaran dan latar belakang keluarga.

Gunakan pelembab dan pelindung matahari untuk penjagaan kulit. Dapatkan produk penjagaan yang sesuai dengan anda. Jika tidak pasti anda boleh bertanyakan kepada ahli farmasi dan pakar kulit. Sentiasa berfikiran positif dan menganggap setiap cabaran dan dugaan sebagai pendorong untuk berjaya dan melangkah ke hadapan.

10 March 2011

FORMULA MENGELAK SCAM


SCAM” ialah penipuan yang dilakukan oleh mereka yang suka menyorokkan identiti mereka. Berikut dicadangkan cara-cara untuk mengelakkan dari terkena.



N=NAME
Scam dilakukan oleh mereka yang suka menyorokkan identiti mereka. Pastikan anda ketahui nama sebenar dan juga maklumat peribadi siapakah yang mengendalikan sesuatu pelaburan atau peluang menjana pendapatan itu.

O=OVER PROMISE
Pelaburan atau peluang yang menjana pendapatan yang diberikan adakah ianya over promising atau janji yang berlebihan dan tidak masuk akal, kebanyakan SCAM akan menipu mangsa dengan cara membuat janji-janji manis yang berlebihan, atau OVER PROMISE.

S=SEARCH
Anda perlu membuat carian. Cara yang mudah adalah menggunakan enjin carian di dalam internet seperti google.com dan lakukan carian dengan cara menaip nama pemilik program tersebut.
C=CONTACT
Pastikan maklumat lengkap syarikat atau perniagaan tersebut. Jarang sekali mereka dedahkan alamat, nombor telefon, cara hubungi dan lain-lain. Sekiranya ada, cuba hubungi secara terus untuk memastikan kewujudannya.

A=ASK
Tanya orang ramai, kenalan dan tanya juga pakar-pakar industri. Jangan hanya tanya kenalan yang mempromosikan sesuatu program tersebut, kerana mungkin mereka juga tertipu dengan SCAM. Tanya orang lain juga supaya kita lebih banyak maklumat tentang sesuatu program.

M=MAKE SURE
Pastikan anda melakukan kesemua di atas, ulang kembali langkah N-O-S-C-A-M sehingga anda 100% berpuas hati dan rasa selamat dengan pelaburan anda.

Sekiranya anda tertipu dengan SCAM, bukan sahaja anda mengalami kerugian wang ringgit, tetapi anda juga akan merugikan masa dan usaha anda dalam memperoleh dan menjana wang tersebut. Dan yang penting juga, anda akan kehilangan keyakinan dalam memulakan perniagaan dan pelaburan sebenar.

09 March 2011

Cegah Anai-Anai Sebelum Parah

Masalah serangan anai-anai memang memeningkan kepada khusus bagi mereka yang gemarkan kediaman berasaskan kayu atau ala Bali. Serangan anai-anai bukan saja merosakkan perabot kayu, almari dan dapur anda, malah serangga yang kecil tetapi berjiwa besar ini juga gemar memakan kertas buku dan majalah serta pakaian yang baik tersimpan di dalam gerubuk khas rumah anda.


Jika anda menghadapi masalah anai-anai atau mahu mencegah di peringkat awal, anda tidal perlu risau kerana terdapat semakin banyak syarikat penghapus serangga beroperasi bagi menangani masalah itu.



Anai-Anai boleh merosakkan struktur kayu seperti rangka tingkap, lantai kayu dan rangka pintu. Haiwan ini bermula dari bawah tanah dan ia suka tinggal di celah kayu kerana tidak suka terkena matahari atau cahaya. Ia mempunyai permaisuri yang membiakkan anai-anaik itu. Jika dibiarkan anai-anai boleh melarat hingga ke bumbung dan itu akan membahayakan keadaan struktur rumah yang diperbuat daripada kayu.


Ada dua cara untuk mengatasi atau mengurangkan serangan anai-anai ini iaitu dengan menggunakan racun kawalan serangga atau pergi terus mendapatkan khidmat syarikat perundingan professional kawalan anai-anai yang berhampiran dengan tempat anda.


Serangan anai-anai sememangnya membawa kepada kemusnahan kepada kediaman anda. Sebab itulah pengawalannya perlu dibuat dari semasa ke semasa supaya kewujudan saran awal dapat dikenal pasti, manakala pengawal dan penjagaan rapi pula menjamin seluruh komuniti termasuk sarangnya berjaya dimusnahkan sama sekali.


Bagaimanapun jika serangannya agak berkurangan atau hanya pada tempat tertentu, ada juga kawalan yang mudah dan murah boleh digunakan. Contohnya, dengan menyediakan air panas mendidih dan siram ke kawasan yang diserang itu.


Dengan cara ini, koloni anai-anai, sarang termasuk telurnya akan mati dan binasa dalam masa beberapa saat. Ada juga menggunakan minyak hitam yang disapukan kepada benda berkayu bagi bertujuan mengelakkan serangan anai-anai.

07 March 2011

PERSEPSI MENANTU IKUT NEGERI


“Rohani dan Aziz, pasangan kekasih sama cantik dan sama padan. Keserasian mereka memang terserlah dan sesiapa yang melihat, tidak dapat tidak pasti berasa kagum dan cemburu melihat mereka. Selepas bercinta hampir empat tahun, Aziz yang berasal dari Pahang mengambil keputusan untuk berkahwin dan suatu hari membawa Rohani bertemu kedua ibu bapanya. Sebaik saja diperkenalkan, kedua orang tuanya gembira dan sangat berkenan kerana melihat kecantikan rupa paras Rohani, selain senang hati bakal bermenantukan seorang wanita yang penuh sopan santun, berbudi bahasa dan begitu menghormati orang tua. Pendek kata, tiada cacat cela Rohani. Tetapi segala-galanya berubah sebaik mereka mengetahui Rohani, orang Negeri Sembilan. Hilang terus kecantikan paras rupa, kehalusan budi bahasa sebaliknya timbul rasa takut. Aziz didesak memutuskan hubungan dengan Rohani “

Trauma menyelubungi perasaan ibu bapa Aziz gara-gara banyak mendengar cerita negatif mengenai orang Negeri Sembilan. Terlalu kuat mengamalkan Adat Perpatih, yang kononnya membolot harta benda lelaki (suami). Kisah cinta tidak kesampaian Rohani dan Aziz, bukan perkara biasa dan sehingga kini, dalam dunia serba moden, masih ada lagi masyarakat yang mempunyai tanggapan begini. Ada yang terlalu fanatik dan mempunyai persepsi negatif mengenai asal pasang dari negeri tertentu. Seringkali, ada ibu bapa yang bukan saja takut bermenantukan orang Negeri Sembilan malah negeri lain juga, khususnya Kelantan, Kedah, Johor, Sarawak dan Sabah.
Jika anak lelaki berkahwin dengan orang Negeri Sembilan dikhuatiri harta dibolot menantu perempuannya, selain bersifat queen control seperti asyik ingin pulang ke kampungnya saja berbanding kampung suaminya.

Ada yang takut bermenantukan orang Johor kerana hantaran yang begitu tinggi iaitu serba berdiri, bermakna dari persalinan dan kelengkapan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, perlu disediakan, termasuk rantai gelang dan cincin emas. Malah, jika mahu berkahwin dengan wanita Johor, hantaran sama perlu diberi kepada adik beradik lebih tua yang masih bujang sebagai bayaran ‘langkah bendul’ ( berkahwin dulu sebelum adik beradik yang lebih tua).
Berkahwin orang kedah, hantaran dan mas kahwin juga tinggi manakala jika berkahwin wanita Sarawak, perlu menyediakan perbelanjaan tinggi, mengikut besar kediamannya. Jika rumah ada lapan tiang, bermakna perlu menyediakan lapan lembu atau kerbau. Akibat persepsi yang kuat dipegang ibu bapa ini, banyak saja perkahwinan yang dirancang tidak berlangsung dan lebih teruk, rumah tangga yang dilayari tidak direstui, perjalanannya tidak selancar yang diidamkan, ada saja yang tidak kena dengan menantu hingga akhirnya berakhir dengan penceraian. Setakat ini tiada ada kajian yang sahih mengenai persepsi masyarakat yang bersifat kenegerian dalam perkahwinan. Mungkin persepsi itu wujud apabila melihat pengalaman buruk orang lain bermenantukan wanita dari negeri tertentu.Hakikatnya pengalaman itu kes terpencil dan tidak adil apabila semua wanita dari negeri terbabit dikatakan bersikap buruk seperti yang digembar-gemburkan. Sebenarnya ia bergantung kepada keperibadian seseorang, jika memang mempunyai sifat terpuji, hasilnya juga baik tidak kira dari mana asal usul mereka.

Sebagai contoh, ramai beranggapan wanita negeri suka bolot harta. Itu tanggapan yang salah. Negeri Sembilan memang kuat berpegang kepada Adat Perpatih yang memihak kepad wanita, iaitu dari segi pemberian harta pusaka. Tujuan itu adalah menjaga kebajikan serta maruah wanita dan masyarakat perlu memahami maksud adat itu. Adat itu tidak menindas pihak lelaki. Namun, persepsi negatif itu yang membayangi sesetengah orang tua sehingga melarang anak teruna berkahwin dengan perempuan dari negeri itu. Kebanyakan ibu bapa zaman dulu lebih suka anak mereka berkahwin dengan orang yang tinggal berdekatan dengan mereka.
Masyarakat dulu juga tidak begitu terdedah serta bercampur dengan orang luar berbanding sekarang, yang mana ramai anak muda berhijrah dari kampung ke Bandar untuk mencari pekerjaan sekali gus membuka lebih peluang kepada mereka bertemu pasangan hidup yang berasal dari negeri lain. Bila hubungan semakin rapat dan serasi mereka mengambil keputusan untuk berkahwin tanpa memikirkan asal dari negeri mana. Tetapi kemudian dihalang apabila membawa pasanganya berjumpa ibu bapa terutama apabila ada antara keluarga yang gagal dalam perkahwinan atau mempunyai pengalaman buruk berkahwin dengan orang dari negeri terbabit. Kalau pun berkahwin, jika ada masalah rumah tangga, perkara negeri akan dibangkitkan dan mulalah berkata ini bala atau bagi berkahwin dari negeri itu. Bahagia atau gagal sesebuah perkahwinan bukan disebabkan isu negeri tetapi pasangan itu sendiri dan ibu bapa juga tidak boleh terlalu tamakkan kasih saying anak sehingga menjejaskan perkahwinan anak.
.
Apa yang penting, memilih pasangan dan membina perkahwinan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru. Cari pasangan yang bertanggungjawab, jujur, penyayang dan bagi umat islam, ikut sunnah islam yang menetapkan empat perkara utama iaitu dari segi harta, keturunan, kecantikan serta agama pasangan supaya bahtera perkahwinan lebih diberkati serta tidak mudah musnah dilanda badai.