29 January 2012

Pampers : Mainan Harga oleh Giant

Masa teman bawa anak g memain kat taman... jumpa la sorang jiran nie... dia kater kat Giant ader buat promotion pampers... kira lebih murah sikit la dari biasa. dia cakap last ari nie... kalu esok rasanya dah balik harga asal.

Makanya, memang teman plan nak beli pampers pun, cuma kat Tesco takde promosi. bila teman dapat tau, teman pun curi masa untuk g ke Giant... lagipun, ade giant yang dekat je ngan rumah teman... dalam 8 minit je... kalu laju sikit dalam 5 minit pun buleh sampai.


memang betul seperti  yang diceritakan... memang giant ader buat promosi pamper... selalu pampers kat giant memang lebih mahal dari kedai ubat cina yang biasa teman beli.... bila time promosi je harganya lebih murah sikit... kira beza dalam 1 atau 2 ringgit la..

bila teman dah bayor... teman tengok kat resit, untuk pampers Pet Pet L68, harga asal giant tulis, RM 45.99, dapat potongan RM 13.11... so harga Pet Pet tu, RM 32.88...  bagi kome yang biasa beli pet pet nie, mesti kome rasa harganya sebenar tak la semurah maner... tu yang teman pelik, bila pulak giant pernah jual pet pet nie sampai RM 45.99 pada harga biasa ... nie yang teman rasa giant nie main harga... 

lagi satu, teman beli pampers Mammy Poko L56...kat resit giant tulis, harga asal RM53.99, dapat potongan  RM 12.11, so harga Mammy Poko tu, RM 41.88... persoalannya betul ke harga asal, mammy poko tu RM53.99... teman jarang beli...sekali sekala je... tu pun teman pakaikan kat anak teman waktu malam je.

banyak lagi barang yang kita boleh pantau harga kat giant nie.... namun sebagai pengguna, teman sangat sedar benda nie.. cuma apa yang teman buleh buat... pendek kata, kalau mahal jangan beli, kalau murah baru beli.

26 January 2012

Restoran Al-Hameeds

Restoran Al-Hameeds nie baru bukak cawangan dia kat PUJ 3. Tak jauh dari MyMydin Puncak Jalil, selang 4 pintu rasanya. Sebelum nie ader kedai mamak yang lain yang berniaga di kedai nie, maybe tak laku. Lepas tu, baru Restoran Al Hameeds nie ambil alih tapak nie.

Dari segi design, memang kedai nie nampak cantik, susunan dan hiasan yang digunakan sangat sesuai.

Dari segi kebersihan, tahap kebersihan agak kurang memuaskan. Walaupun hiasan cantik, tapi kurang dijaga kebersihan menjadikan kedai nie nampak kusam je.

Dari segi rasa, roti canai di agak sedap, lembut. biasanya roti canai mamak nie agak liat. Teh tarik pun sedap, kira standard mamak la.

Dari segi harga, agak mahal la jugak. Dah nama pun kedai mamak, harga mahal pun orang kita tak marah. Roti canai kosong, sekeping RM1, teh tarik gelas kecik, RM1.20. kat tempat lain ader yang lebih mahal.

Pekerjanya teman tengok, banyak yang baru sampai dari India kot. Entah la, banyak lagi yang perlu depa baiki..cari la pekerja yang smart sikit. 

itu pandangan teman kat kedai nie, tapi kedai mamak nie maner pun sama je. Tepuk dada, tanya selera.

25 January 2012

Mee Mastan Ghani di Teluk Intan

Kalau kome selalu berkunjung ke Teluk Intan... salah satu makanan yang popular di pekan ini adalah Mee Mastan Ghani. Mee Mastan Ghani, meruapakan hidangan mee rebus yang telah bertapak di Pekan Teluk Intan sejak zaman 60an lagi.

Dulu masa teman masih kecik, kalu dapat ngikut bapak teman pegi Teluk Intan, memang tak pernah miss untuk singgah makan mee rebus Mastan Ghani.. sambil makan-makan kat kedai, pasti akan jumpa kawan-kawan kampung yang turut sama menikmati mee ini sebagai makan tengahari.

Sejak teman dah berkeluarga nie, teman masih lagi akan pergi makan Mee Rebus Mastan Ghani jika teman singgah atau lalu kat Teluk Intan. Kiranya salah satu agenda wajib jika teman balik kampung la. Cumanya, sekarang teman biasa pergi makan dengan kedai Abdullah Mastan Ghani, lokasinya berhadapan dengan Pasaraya The Store.  apa yang teman tau, Abdullah nie anak kepada Mastan Ghani, tapi kedai asalnya masih ader dan beroperasi macam biasa. Maksudnya ader banyak cawangan gak Mee Mastan Ghani nie.

Jika nak dibandingkan dengan kedai yang asal, kedai Abdullah Mastan Ghani punye mee rebus lebih sedap, kira rasa dia lebih 'kick'... kt kedai asal, kuah mee rebus dia agak biasa je. Kedai Abdullah ni agak sempit sikit, kalu waktu puncak dalam kul 12 - 1pm, memang penuh dan kena menunggu la meja kosong.

Makanya, jika kome singgah atau lalu kat Pekan Teluk Intan, jangan lepaskan peluang untuk mencuba. Tapi kalu kome nak pergi dalam pukul 3pm ke atas, kalu nasib baik masih ader, tapi rasanya mee rebus dia dah abis. Serius cakap, memang laku.

23 January 2012

IP MAN

Ip Man 1 dan Ip Man 2... cerita yang sangat menarik untuk ditonton. Jalan ceritanya ringkas dan padat. Aksi kung fu wing chun sangat hebat. Tidak kelam kabut macam Jackie Chan.

Ketenangan watak Ip Man dalam menghadapi semua masalah sangat mengagumkan. Setiap tindakan yang dibuat nampak sangat jujur. Nilai 'berani kerana benar' boleh dilihat melalui watak Ip Man.

Satu lagi, walau sehebat mane kita, keluarga adalah tonggak disebaliknya. Kena tau masa bila keutamaan harus diberikan kepada keluarga, masa bila untuk berjuang menentukan nasib diri.

Maruah diri perlu dihormati, walaupun berbeza bangsa dan agama....satu nilai yang sangat menarik untuk difikirkan.

22 January 2012

Lost World of Mersing

Kali pertama teman datang ke Bandar Mersing, rasanya dalam tahun 1997 kot... masa tu, kelab kenu UUM buat program Ekspedisi Kepulauan Mersing. Tapi masa tu, teman haram tak tau jalan dia, ye la naik bas memang tido je la sepanjang perjalanan.

Tup tup tahun 2009, teman sekali lagi datang ke Bandar Mersing. Sebab apa teman gelarkan lost world of mersing, kerana Mersing ni terasing dari mainstream bandar di Johor... kalu dari Kluang, makan masa 2-3 jam jugak untuk sampai ke Mersing nie... kalu ikut Muadzam pun makan masa 2-3 jam jugak... lepas tu kita akan melalui kawasan Kelapa Sawit dan hutan.... habis je segala hutan nie, tetiba muncul pulak sebuah bandar yang bertamadun.

Kat Bandar Mersing, buleh dikatakan yang sebuah bandar yang agak sederhana besar... kat bandar nie terdapat sebuah Jeti Feri untuk ke Pulau Tioman... pasaraya yang ader pun cuma pasaraya kampung ke. Kedai-kedai jualan pun biasa je. La nie, teman akan selalu pergi ke Bandar Mersing.  Mencari barang keperluan yang sepatutnya.

Endau Road Tour

Raya Cina 2012 telah menjelma... jatuh pulak pada hari Isnin dan Selasa, maknanya semua orang dapat cuti free selama 4 hari termasuk la dengan teman. cuma untuk kali nie, teman balik kampung mentua teman kt Endau, Johor.

Kome pernah ke sampai ke Endau, Johor. Yang biasa kita dengar, Endau Rompin kan, tu dirujuk sebagai Taman Negara. Sebenarnya Endau nie adalah bandar atau pekan yang menjadi sempadan antara Johor dengan Pahang. Kat sebelah Pahang, pekan yang bersempadan adalah Tanjung Gemok, Rompin. Pekan Endau nie pekan kecil ajer... lebih kurang macam Pekan Kampung Gajah,Perak juga... cuma kat sini, tempat pendaratan ikan oleh nelayan. Tentu la ikan kat sini segar dan sedap.

Elok juga teman kabo kat kome, perjalanan nak sampai ke Endau dari Putrajaya. Jumlah jam perjalanan lebih kurang dalam 5 @ 6 jam jugak... mula-mula, teman akan lalu kat Lebuhraya LEKAS, sampai la kat simpang Empat Senawang.

Dari Senawang, teman terus ke Kuala Pilah. Jalan sini biasanya akan jammed sikit tambah-tambah pulak kalu musim cuti panjang. Lagipun jalan dia satu lanes ajer... so paham-paham la, nak overtake pun susah...

bila sampai Kuala Pilah, teman terus ke Bandar Baru Serting @ Bandar Seri Jempol.. antara pekan yang akan dilalui untuk sampai ke Bandar Seri Jempol... teman akan lalu Pekan Batu Kikir. Biasanya kat Serting nie, teman akan singgah kat masjid disini .

Selepas Serting, teman akan lalu jalan ke Bandar Muadzam, Pahang. Yang nie la, perjalanan yang paling jauh dan agak membosankan. Jalan pula satu lane je, banyak lori trailer..kira kanan pokok kelapa sawit.. bila nak dekat ngan Bandar Muadzam teman akan ambik jalan ke Kuala Rompin... yang nie pulak kira laluan kedua terpanjang yang perlu teman lalu...

Bila dah sampai simpang tiga ke Kuala Rompin, teman rasa lega sebab dah semakin hampir untuk sampai ke Endau.... Kuala Rompin, terdapat sebuah pekan kecil jugak..kat pekan nie ader KFC tau... kira standar gak la, walaupun pekan nie tidak sebesar maner.

Demikian perjalanan yang biasa teman tempoh bila nak balik kampung mentua... walaupun agak jauh, biasanya perjalanannya lancar, kereta banyak jugak cuma tak la sampai jammed. Untuk make sure perjalanan balik kampung nie berbaloi, biasanya teman akan programkan aktiviti yang sesuai.

20 January 2012

Mydin


Teman nak berkongsi tentang buku yang telah teman baca iaitu 'Mydin Di Sebalik Tabir'. Pernigaan Mydin ni sebenar agak dekat di hati teman sebab sorang adik teman dan sorang house-mate teman pernah bekerja dengan Mydin. Makanya sedikit sebanyak teman selalu la dengar cerita-cerita berkaitan dengan Mydin dari mereka berdua. Ader yang baik dan ada juga kelemahan yang diceritakan.

Berbalik kepada buku pasai Mydin nie... buku ni ditulis oleh isteri kepada Dato' Ameer Ali, penulis ni juga merupakan Pengarah Sumber Manusia di Mydin. Buku ini bermula dengan menceritakan berkaitan 'Tuan Mydin' yang merupakan pengasas kepada perniagaan Mydin. Bagaimana Tuan Mydin membesar, berniaga dan membina jati diri dan keluarganya. diceritakan pada bab-bab awal. Kemudiannya, disambung penceritaan berkaitan Dato' Amer Ali, yang telah membawa jenama MYDIN ke arah perniagaan peruncitan yang lebih luas sehingga muncul sebagai salah satu hypermarket yang berjaya di Malaysia. Gaya penulisan buku agak santai dengan disusuli gambar-gambar yang memberikan penceritaannya lebih berkesan.

Suka juga teman nak kongsikan, banyak perkara-perkara menarik yang teman dapat bila membaca buku ini, seperti :

1.  Perniagaan Mydin merupakan perniagaan keluarga. Semua pengurusan atasan Mydin terdiri daripada anak, menantu, cucu kepada Mydin itu sendiri. Hubungan kekeluargaan yang erat antara mereka mungkin kunci kejayaan perniagaan Mydin.

2.  Perniagaan Mydin bermula dari kedai runcit biasa, yang bertapak selangkah demi selangkah sehingga bertaraf Hypermarket. Asas perniagaan semasa pembabitan awal dalam perniagaan runcit ini, mungkin kekuatan kepada perniagaan Mydin untuk maju.

3. Retail is detail. dah nama pun di peruncitan, mesti terlibat dengan barang sangat pelbagai. yang kecil macam sudu, cawan sampai la ke barang yang mahal. makanya, ketelitian memang penting.

4.  Mydin bukan sahaja berkembang menjadi hypermarkat, malah tindakannya mewujudkan MyMydin di kawasan-kawasan perumahan satu tindakan yang sangat bijak. Boleh dikatakan Mydin dekat pengguna.

Sebenarnya banyak nilai-nilai positif yang boleh kita perolehi bila membaca buku ini. Walaupun, dulu bila beli barang kat Mydin orang cakap takder kualiti, tapi pada hari ini persepsi itu makin terhakis. Mydin sekarang duduk di arus perdana.



18 January 2012

Taman Puncak Jalil (PUJ)

Sengaja teman nak crita sikit pasal Taman Puncak Jalil, teman tak duduk kat taman nie, cuma teman selalu lalu kat kawasan taman nie untuk pergi ke opis.. mulai dari tahun 2008, teman dah lihat perkembangan dan kemajuan yang berlaku disekitar Taman Puncak Jalil nie...

Turning point yang memangkin kemajuan taman ini adalah penyiapan lot-lot komersial di sekitar PUJ3. Bagi teman, lokasi lot-lot komersial nie sangat strategik, ditengah-tengah rumah di PUJ ini. Ye la, sebelum penduduk kat PUJ ni kena pergi ke Equine untuk membeli barang keperluan. Tapi sekarang, tidak perlu lagi. Antara kedai-kedai yang teman rasakan yang mendapat sambutan seperti MYMydin, 7eleven, kedai makan K-Chiang Mai. Tak perlu rasakan teman listkan kedai-kedai yang wujud kat PUJ.

Dengan perkembangan ini, teman rasa harga hartanah kat kawasan PUJ juga makin naik. Dulu kalau sebut PUJ, semua orang takut nak masuk, sebab banyak rumah kosong. Tapi sekarang tidak lagi, malahan lokasi PUJ nie sangat strategik untuk KL, Puchong, Seri Kembangan dan Putrajaya.

17 January 2012

Pemandu Lelaki vs Pemandu Wanita

Kalau berbincang berkaitan isu ini, rasanya 2 hari 2 malam takkan habis... orang lelaki, pasti akan mengatakan mereka yang lebih hebat dan pandai memandu, mereka mesti kata orang perempuan ni yang selalunya memandu lembab dan sering menimbulkan masalah. Begitu juga sebaliknya, bagi orang perempuan pula, mesti depa kata kemampuan mereka memandu sebenarnya setara dengan orang lelaki. Malah ada yang claim mereka lebih cekap lagi.

Hakikatnya, keupayaan pemanduan lelaki dan perempuan ini adalah lebih kurang sama je. Memang banyak kes yang dikaitkan kemalangan disebabkan orang perempuan yang gagal mengawal kenderaan dengan baik. Ada yang panik dan macam-macam lagi puncanya. Tetapi orang lelaki juga menyumbang ke arah faktor yang sama.

Satu lagi, jika melibatkan suami dan isteri yang kedua-duanya boleh memandu. Jika isteri memandu sendirian atau bersama anak-anak, rasanya si suami tak jadi masalah dan yakin akan kemampuan isterinya memandu kenderaan. Tetapi jika suami turut serta dalam kenderaan tersebut, sudah pasti memang suami keberatan untuk membenarkan isterinya memandu. Terdapat banyak kemungkinan, tapi kemungkinan yang paling besar disebabkan rasa tidak yakin dengan isteri atau rasa ego lelaki yang tinggi dan malu, jika jadi penumpang sahaja. Rasanya elok juga la, lelaki yang memandu, tapi jika sudah mengantuk dan melibatkan perjalanan yang jauh, berganti memandu merupakan tindakan yang bijak supaya selamat dalam perjalanan.

16 January 2012

Ombak Rindu

Kekuatan sebenar filem 'ombak  rindu' terletak kepada lagunya yang sedap didengar. Seingat teman untuk filem yang romantik memang sangat perlu diselangi dengan kemerduan lagu-lagunya. Cuba kita tengok filem hindustan, lagu-lagunya yang merdu menyebabkan kita asyik menonton. Resepi ini adalah didalam ombak rindu. Sebab itu, filem ini sangat mendapat sambutan di panggung wayang. Ye la, kebanyakan penonton dipanggung kan pasangan yang sedang bercinta.

Kalau nak diikutkan jalan ceritanya, banyak jugak unsur kebetulan untuk menjadikan  ceritanya bergerak . Kebetulan yang sangat memberikan impak kepada cerita, semasa izzah lari keluar dari kelab malam, masa mengejar pakciknya. Tiba-tiba muncul hariz, yang macam nak terlanggarkan Izzah. Lagi satu, sangat kebetulan tauke kelab malam tu pernah minta tolong hariz untuk dapat permit kelab Malam. Kalau tak, tak dapat si hariz nak menebus si izzah dari kelab tersebut.

Satu dialog yang teman susah nak terima, masa hariz jumpa Izzah dan marah sebab dia kutip izzah dari lembah yang hina. tak logik, rasanya izzah tu belum terjebak jauh pun masa kat kelab...tup-tup kata hariz yang kutip... macam tak sesuai je.

apa, pun filem nie sebenar hiburan yang menyampaikan mesej. Ada elemen yang baik dan boleh diteladani... elok kita contohi dan sebaliknya.

14 January 2012

Pasar Borong Selangor

Semenjak dah berkeluarga nie, baru la teman biasa pegi beli barang basah kat Pasar Borong Selangor. Kome tau tak kat maner pasar borong selangor ini. Buleh dikatakan, pasar borong kt kawasan Seri Kembangan. Untuk lebih tepat lagi, kat kawasan taman equine. tak berapa jauh dari Jusco Equine. Kalu tengok kat signboard, pasar borong ni dibuka 24 jam. maknanye, kome bule pegi pada bila-bila masa la untuk pegi beli barang basah/dapur...

Ikut pemerhatian teman, pasar borong nie banyak dikunjungi oleh peniaga-peniaga kedai makan... lagipun, teman selalu pada waktu pagi... dalam kul 7am. ye la.. kalu teman pun bukak kedai makan, pasar borong la yang menjadi pilihan... kelebihannya lebih kurang macam one stop centre, semuanya ade.

Dari segi harga, teman rasa tak banyak beza ngan beli kt tempat lain... ikan, ayam dan daging, kan barang kawalan... maknanya harga jualan kat mane-mane pun lebih kurang sama je. Maybe berbeza dari segi kualiti je.... walaupun gitu, teman tengok ada jugak harga ikan yang sama, tapi berbeza mengikut penjual.... mungkin saiz ikan pun mainkan peranan... lagi besar ikan, makin mahal la harganya dan sebaliknya... harga kawalan yang kerajaan tetapkan, mungkin ambik kira pukul rata je kot.....

Dari segi kesegaran ikan, tak semua ikan yang dijual oleh penjual kt pasar nie, ikan yang segar...ada jugak yang teman tengok mata ikan yg dah merah... cuma dia akan letak harga yang murah la sikit... sama jugak ngan sotong dan udang.... rupanya, kat laut tu ader pelbagai jenis udang dan pelbagai jenis sotong... masa memilih nie, tepuk dada, tentukan kosnya je la... nak yg murah atau yang mahal sikit.... atau nak yang baik punya.

Ramai bangla dan india yang berniaga. itu la yang teman perasan kat pasar borong selangor ni. tak tau la kenapa jadi cam gitu... pasar ini diuruskan oleh PKPS. Maybe pengurusan pasar ini tak perasan atau ader sebab lain yang teman sendiri pun tak tau. Cumanya, bangla-bangla ini mungkin bekerja, dan tauke depa dah percaya kat depa untuk buat jualan... termasuk urusan penentuan harga dan pembayaran.

Parking space. Bagi teman parking memang banyak... tak timbul isu takder tempat nak parking. lagipun kadar keluar masuk kereta pun tinggi...maksudnya, sapa yang dah selesai membeli akan terus pulang, masuk pula orang lain...putaran ini akan sentiasa berlaku.

Bagi teman, jika kome pun selalu nak ke pasar, eloknya buat senarai semak atau listkan barang yang nak dibeli. sebabnya, satu takut terlupa, kedua, takut terbeli barang yang tak perlu, ketiga, mudah untuk bertindak dan mencari.

12 January 2012

Dia tidur di dalam ribut’



Ini mengisahkan perihal seorang pemuda mencari pekerjaan di sebuah ladang. Beliau memberikan surat sokongan kepada bakal majikannya.Di dalam surat sokongan tersebut hanya tertulis, “Dia tidur di dalam ribut”. Memandangkan beliau sangat memerlukan seorang pembantu, pemilik ladang tersebut terus mengambil pekerja itu bekerja di ladangnya.

Beberapa minggu berlalu, dan pada suatu malam, ribut yang kuat datang melanda. Terkejut dengan bunyi hujan lebat serta angin yang kuat, pemilik ladang melompat keluar dari bilik tidurnya dan menjerit memanggil pemuda yang baru diupahnya beberapa minggu yang lalu, tetapi pemuda tersebut sedang tidur dengan nyenyaknya. He slept through the storm.

Pemilik ladang terus berlari ke bangsal, tetapi dengan penuh hairan melihat semua haiwan peliharaan telah dikurung dengan selamat serta mempunyai makanan yang banyak. Pemilik ladang kemudiannya berlari ke ladang, dan melihat ikatan gandum yang dibalut kemas dengan kain tarpaulin serta tersusun yang amat rapinya.

Beliau seterusnya ke tempat simpan makanan, didapati pintu terkunci rapat dan bijirin dalam keadaan kering dan tersimpan dengan baik. Barulah pemilik ladang tadi memahami maksud “Dia tidur di dalam ribut” atau “He sleeps in a storm”. Mesejnya amatlah mudah tetapi penting.

Nilai

Seorang yang cekap dan berpengetahuan serta tahu apa yang perlu dilaksanakan. Dalam apa jua keadaan pekerja yang hebat boleh “tidur dengan nyenyak” kerana telah bersiap sedia terlebih dahulu bagi menghadapi apa jua kemungkinan.

Tetapi yang lebih penting, kita yang memilih, mendidik dan mengasuh pekerja-pekerja untuk negara kita, kita akan dapat tidur dengan nyenyak dan lenanya kerana mendapat pekerja-pekerja yang boleh tidur dengan nyenyaknya.

11 January 2012

Apa boleh buat?

cuba kome jawab soalan nie....
macamaner nak jawab.
'apa boleh buat'
statement ni mirip kepada mengeluh nasib diri..

namun, mari kita cari perkara positif.... 
kita akan bangun semula...
insyallah.

10 January 2012

Seimbangkan akal dan emosi anak kita

Menengking, mengherdik dan menjerit mahupun memukul anak sehingga membawa kecederaan dan menggugat emosi mereka, bukanlah cara bagi menangani anak yang bermasalah.

Sekalipun anak berkenaan degil, tidak dengar cakap, lasak dan sebagainya, ibu bapa perlulah mempunyai kesabaran yang tinggi untuk mendidik, mengubah tingkah laku serta membentuknya ke arah lebih baik.

Dalam dunia moden hari ini, cabaran kehidupan semakin banyak. Ibu bapa sepatutnya mempunyai kemahiran dan pengetahuan keibubapaan. Ini penting, terutama dalam memahami emosi anak dan juga diri sendiri. Malah, kemahiran dan pengetahuan sedia ada wajar dipupuk dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Begitu juga kekuatan dan pegangan agama perlu ada dalam setiap diri manusia.

Cabaran ibu bapa pada hari ini tidak sama dengan zaman dulu. Tekanan dialami bukan saja di persekitaran tempat tinggal tetapi di tempat kerja dan diluar yang membabitkan banyak perkara termasuk tekanan ekonomi, kerja serta banyak lagi. Kita seharusnya kembali dan mempunyai kesedaran serta pegangan kepada agama dalam diri agar masalah dapat ditangani dengan baik.

Anak atau zuriat yang dikurniakan Allah adalah amanah, rezeki dan tanggungjawab yang berterusan yang harus digalas oleh semua ibu bapa. Dalam setiap tindakan atau perbuatan kita perlu dilakukan dengan waras dan berfikiran positif. Tindakan memarahi dan memukul anak biasanya bertujuan untuk mendidik, tetapi sebelum bertindak seharusnya rasional dan fikirkan dulu kesan serta akibatnya. Anak sepatutnya dididik dengan baik dan dikasihi.

Allah memberikan kita rezeki mendapat anak sedangkan masih terdapat orang lain yang merasakan kegetiran dan kekosongan tidak dikurniakan zuriat. Kita mesti bersyukur dan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya mendidik anak yang dikurniakan itu.

09 January 2012

IKEA

Semalam, 8 Januari 2011, aku ngan family pergi ke Ikea. Orang yang datang pun buleh tahan! ramai jugak... aku tengok ramai kaum cina yang datang shopping kat ikea pada masa nie... maybe sebab Chinese New Year dah dekat kan.

Rasanya ramai orang kate barang-barang kat Ikea ni cantik... tapi kualiti aku tak pasti. aku tengok banyak jugak produk yang 'made in china' walaupun Ikea nie pasaraya yang berasal dari Sweden. Produk China nie banyak yang cantik, tapi rendah kualitinya. Untuk kita bersangka baik, takkan pengurusan ikea tak nak jaga nama baik depa, jika ambil produk dari China... mesti depa dah test, untuk pastikan kualiti produk tu terjamin.

Satu lagi, setiap kali aku g ikea.. mesti ader orang putih yang sibuk membeli jugak. agaknya depa nie expatriate yang keja kat negara kita. tu tandanya, jenama ikea nie satu jenama yang global.

Sebenarnya, konsep perniagaan berasaskan household item memang mendapat tempat dihati masyarakat malaysia. cumanya tak banyak pasaraya yang menawarkan konsep perniagaan seperti ikea nie....yang banyak adalah kedai perabot, tumbuh bagai cendawan lepas hujan.

bab parking, nak dikatakan mudah dapat parking kat ikea nie tak jugak. kira nasib jugak, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. tapi semalam nasib aku baik, sebab cepat dapat parking. Tips nak dapat parking, pergi awal pagi, sebelum orang ramai. ataupun, waktu lepas lunch. Mata kita kena liar, mencari pemilik kereta yang dah selesai shopping dan dah nak balik.

04 January 2012

T.A.H.U.N 2.0.1.2

Tahun 2011 telah berlalu pergi... 2012 telah tiba.
Tahun berganti tahun... apa makna kepada kita?
Bagi teman, 2011 dilalui dengan penuh warna warni...
banyak perkara menarik yang teman  lalui...

Pertama, pasal keluarga...
ariana dah makin membesar... semakin 'banyak akal'.. bermacam2 keletahnya...yang membuatkan teman rasa 'happy; sangat. Mama Ariana pun teman rasa memang pelengkap kepada kami 3 beranak. Tanpa mama, tentu kami akan sunyi.

Kedua, Mak Piah, mak teman,
mak makin lanjut usia... namun mak masih sihat walaupun mak akan cepat penat, jika berjalan jauh. Aku bersyukur sangat kerana dapat menggembirakan mak, terutama bila balik kampung .... mak nampak happy melihat keletah cucunya, ariana. Seboleh mungkin aku nak mak happy dengan aku, perkara wajib, aku akan bawa mak pergi shopping barang dapur, setiap kali aku balik kampung... perkara wajib yang mak akan beli, beras, tepung dan gula... lapang sungguh dada aku bila dapat berbakti kepada mak.   

Ketiga, kerjaya
selagi belum tutup mata, kerja! kerja! kerja. walaupun aku rasa aku perlukan tempat baru dan suasana baru, aku tetap menjalankan tugas aku sekarang sebaik mungkin. yang bestnye, aku dapat merasa kenaikan gaji. bersyukur sangat. maybe rezeki ariana dan mama ariana.

Final, kehidupan.
Sebagai manusia dan khalifah dimuka bumi ini, aku bersyukur dengan limpah kurnia dan rahmat yang diberikan oleh Allah. Namun aku sedar, masih banyak ruang yang perlu aku baiki terutama dalam menunaikan 5 rukun islam.

AZAM 2012.
Biarlah aku kekal dengan apa yang aku miliki, jika dimurahkan rezeki perkara yang PATUT aku capai dalam 2012 adalah :
  • beli rumah 'lepap'
  • tambah ahli 'keluarga'
  • meningkatkan iman dan amal.