22 December 2010

Majlis Kahwin Semakin Ringkas ?


  1. Bila cuti sekolah bermula, kad jemputan ke majlis perkahwinan rancak diedarkan. Kebiasaannya hujung minggu semasa cuti sekolah memang diperuntukkan bagi menghadiri majlis seperti itu. Adakalanya lebih daripada satu undangan mesti dipenuhi. Adat orang Melayu setiap jemputan akan dihadiri jika tiada aral melintang.
  2. Majlis perkahwinan zaman sekarang juga semakin ringkas. Jika di Melaka dahulu terkenal dengan adat tiga hari tiga malam tetapi kini ia tidak lagi menjadi amalan. Tiada lagi malam berinai curi dan berinai kecil, yang tinggal hanya malam berinai besar dan 'hari langsung'.
  3. Kalau dulu dua malam sebelum pengantin disandingkan, akan ada 'latihan' untuk pengantin perempuan tapi kini tidak lagi. Menarik juga adat lama itu. Pengantin lelaki dan perempuan yang kebiasaannya dipilih oleh keluarga tentunya kekok jika disandingkan. Maklumlah kedua-duanya jarang bertemu.
  4. Oleh itu pengantin perempuan akan disandingkan bersendirian bagi mengatasi rasa gemuruh. Seperkara yang paling menarik perhatian saya adalah kemunculan 'pasukan kelakar' di hadapan pelamin semasa upacara berinai curi dan berinai kecil. Pasukan tersebut (yang terdiri daripada adik-beradik dan sanak-saudara) berpakaian lucu dan membuat pelbagai aksi di hadapan pengantin.
  5. Tujuannya untuk menguji sejauh mana pengantin mampu menahan ketawa atau berkata-kata. Maklumlah pengantin zaman dulu dimestikan menjaga adat - tunduk semasa bersanding, tidak bercakap, senyum sederhana dan jangan sesekali ketawa.
  6. Jika ada pun sekadar menjeling pengantin lelaki, itu pun dengan penuh sopan tetapi mencuri tumpuan. Berbeza dengan pengantin zaman sekarang - bersembang, gelak ketawa dan tersenyum lebar adalah perkara biasa.
  7. Tidak ada salahnya lantaran adat dahulu tidak lagi terpakai sesuai dengan peredaran zaman. Biar pun kemeriahan majlis perkahwinan semakin menyusut tetapi banyak kelebihannya terutama dari segi penjimatan kos dan tenaga. Banyak yang boleh dijimatkan apabila majlis perkahwinan diringkaskan seperti sekarang ini.
  8. Namun jika dilihat dari pelbagai sudut hakikatnya belanja untuk kenduri kahwin sekarang jauh lebih tinggi berbanding dahulu. Daripada sekecil-kecil bunga telur hinggalah kepada jamuan di dewan atau hotel, kesemuanya menelan belanja yang besar.
  9. Begitu juga majlis kahwin di kampung. Khemah pelbagai warna dan reka bentuk menjadi selain pilihan katering dengan bermacam sajian makanan. Budaya 'bersaji' semakin tidak mendapat tempat sebaliknya tetamu selesa dihidangkan dengan jamuan berselerak.
  10. Begitu juga budaya bergotong-royong menyediakan juadah kenduri yang kurang diamalkan lantaran ada keupayaan untuk membayar perkhidmatan memasak dan menyediakan makanan.
  11. Kemeriahan 'main jirus-jirus' selepas majlis kahwin berakhir juga semakin luput. Pengantin biasanya dijirus atau disapu arang ketika sibuk menyental periuk dan mengemas sisa-sisa kenduri.
  12. Kemudiannya melarat kepada sanak-saudara yang sibuk membantu menyelesaikan segala urusan yang berkaitan. Riuh-rendah dan kemeriahan itu semuanya semakin luput.
  13. Generasi akan datang mungkin tidak akan tahu bahawa semua itu pernah wujud dan menjadi sebahagian daripada budaya yang merapatkan hubungan ahli-ahli masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Bertindaklah dengan berfikir dan bertanggungjawab.